KEWAJIPAN MENCARI KEBENARAN

KEWAJIPAN MENCARI KEBENARAN

Pesan Surah Al-Hujurat ayat 6:
''Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiki dahulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang kamu telah lakukan.''(Maksud Al-Quran surah Al-Hujurat ayat 6)


Hari ini masyarakat seluruh dunia dilanda kemajuan teknologi maklumat dan teknologi elektronik. Kesan daripada kecanggihan teknologi komunikasi, kini sesuatu berita dapat disebar ke seluruh dunia pada masa paling singkat dan pantas.


Demikian pula dengan kewujudan internet. Dengan fungsinya yang sukar dikawal, internet menyajikan bukan saja maklumat formal dan baku tetapi juga maklumat yang kurang jelas kesahihan sumbernya. Kebimbangan ini mula dirasai. Masakan tidak, jika salah memilih maklumat yang disajikan maka kesannya amat buruk.


Impaknya dalam sekelip mata, seorang sahabat akan berubah menjadi musuh manakala pemerintah akan kehilangan kewibawaannya. Berita itu datang dengan cepat sehingga kebanyakkan kita tidak sempat untuk melaksanakan perintah Allah sepertimana maksud ayat al-Quran, surah al-Hujurat ayat ke-enam diatas.


Berita dusta yang disiarkan melalui internet khasnya media sosial dengan tujuan untuk menimbulkan huru-hara adalah sebahagian daripada agenda siri-siri fitnah yang dilakukan oleh manusia fasik dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menimbulkan suasana tidak harmoni di negara kita. 


Pengajaran dari surah al-Hujurat ayat enam itu jelas membawa maksud suatu larangan keras terhadap sikap mudah percaya dengan berita yang dibawa oleh seorang yang fasik. Ayat ini menuntut kita supaya sentiasa bijak dan berwaspada dalam menilai sesuatu berita yang diterima. Desas-desus mahupun laporan, terutama yang datang daripada sumber asing dan orang-orang yang tidak mengenalinya perlu diuji dan dibuktikan terlebih dahulu kesahihannya. Dikhuatiri, jika terus dipercayai dan seterusnya diceritakan kepada orang lain pula, maka kesannya akan membawa kemudaratan sehingga menyebabkan kita menyesali akibatnya. 


Ayat tersebut juga menjelaskan kepada kita agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan memandang jelek terhadap seseorang sehingga menyebabkan orang itu dihukum kerana berita yang tersebar itu mungkin ternyata hanya suatu pembohongan semata-mata. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (HR Muslim).


Sesungguhnya, sehebat manapun satu fitnah dan kebohongan itu direka, ia tidak akan bertahan lama. Serapat dan seketat mana satu pendustaan itu cuba ditutup-tutupi, suatu saat ia pasti akan terdedah baik dengan cara yang disengaja mahupun tidak disengaja. Hanya kebenaran sejati yang akan terpacak kekal selama-lamanya.


Penyebaran maklumat dan fitnah melalui media sosial yang berlaku dewasa ini suatu saat mungkin berubah wajah dalam bentuk dan wahana lain sesuai dengan peredaran zaman. Namun yang pasti, segala bentuk fitnah dan maklumat liar tidak akan berhenti meskipun alat perantaranya sudah berubah. Tiada pilihan lain bagi umat Islam semua itu mesti dihadapi. Hanya dengan keimanan dan ketakwaan sahaja yang mampu menyelamatkan kita daripada perangkap maklumat dan fitnah yang sentiasa mengintai kita.


Hakikatnya, masyarakat yang beriman dan berakhlak ialah masyarakat yang tidak mudah menerima dan mempercayai sesuatu berita itu dengan terburu-buru melainkan diselidiki terlebih dulu dengan saksama kebenarannya. Jika tidak ingin tergolong di kalangan orang-orang yang dikutuk Allah kerana penyebaran fitnah, maka berwaspadalah terhadap gejala-gejala yang menjurus ke arah itu. 


Jauhilah daripada memfitnah, berbohong, mencaci, mencarut, memaki hamun, mengutuk, membuat hukuman sendiri, menggalakkan keganasan, menghasut perbuatan jahat dan menyebarkan khabar angin yang kini bermaharajalela di dalam media sosial. Ia merebak umpama wabak dengan amat cepat lantas sukar untuk kita menepis dan melaksanakan perintah Allah sepertimana perintah Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-enam itu.


Sesungguhnya, sebagai manusia yang berakal, setiap berita yang diterima harus diperiksa kesahihan sumber-sumbernya kerana mungkin ia hanya bersifat provokasi atau fitnah. Sebelum diadakan penelitian yang saksama, jangan lekas percaya kepada berita daripada orang fasik kerana seorang yang tidak mempedulikan kefasikannya, tentu tidak akan mempedulikan pula kedustaan berita yang disampaikannya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.