SECARA fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia.
Amat menyedihkan apabila ada suara-suara yang mengajak umat Melayu agar bersatu maka mulalah kedengaran suara sumbang yang menolak gagasan penyatuan ini. Ini barangkali kerana perbezaan nyata dari segi ideologi atau fahaman kerpartian. Sebagai muslim sepatutnya tidak timbul dari kumpulan mana atau parti apa sekalipun kita tetap muslim maka kita tidak harus menolak ajakan untuk bersatu.
Kita sebenarnya menyedari hakikat bahawa umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri.
Sejarah mencatatkan sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain. Lihatlah negara kita tidak pernah aman dari perselisihan politik.
Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain.
Kita kena ingat kerana kita muslim maka ingatlah semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana Al-Quran itu panduan hidup muslim ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Sebanyak 42 kali perkataan yang bermaksud ‘kedamaian’ telah disebut di dalam al-Quran. Bagaimanapun, entah mengapa, kata tersebut hanya mudah ditemui sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan, tetapi amat sukar untuk dipraktik dan dilihat di alam nyata.
Kalau kitab dan Wahyu panduan umat Islam ditolak mentah-mentah oleh orang Islam sendiri maka kitab apa lagi yang terbaik untuk kita ikuti. Melihatkan percanggahan demi percanggahan pendapat dan tafsiran yang kadangkala terasa mengelirukan maka sudah sampai masanya untuk mereka kembali kepada kitab Allah dan sunah Rasul-Nya seperti mana firman Allah yang bermaksud: Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu adalah yang paling baik dan paling elok pula kesudahannya. (An-Nisaa ayat 59)
Permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.
”Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)”. (Al-Anaam159)
Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan di dalam masyarakat itu sendiri, malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai.
”Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bersengketa; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfaal 46)
Dan ayat yang paling popular tentang perpaduan ialah surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.”
Suatu perintah yang tegas dari Allah SWT agar kaum Muslimin bersatu padu dalam tali atau wadah yang satu iaitu Islam.
Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan keterangan dari Qatalah tentang maksud firman Allah tersebut. Ia berkata: “Sesungguh Allah membenci kamu berpecah belah dan melarang kamu mendekatinya, memperingatkan dan mencegah kamu daripada perbuatan demikian, tetapi Allah menyenangi kamu taat, mendengar perintahnya dan bersatu padu. Kerana hendaknya kamu menyenangi apa yang disenangi oleh Allah untuk kamu.”
Demikianlah menjadi kewajipan kita hulurkan tangan perdamaian sesama Muslim. Demikian juga terhadap bukan Muslim jika mereka menghulurkan tangan perdamaian, kita dituntut menerimanya.
Musibah atau bencana sentiasa dihindari orang, sekecil apa pun dan biasanya selalu dikonotasikan dengan keburukan. Dalam sebuah riwayat yang berstatus mursal: Ikrimah menuturkan bahawa ketika lampu yang digunakan oleh Nabi SAW tiba-tiba terpadam, beliau mengucapkan, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un!” lalu, ada sahabat yang bertanya, “Apakah peristiwa ini boleh disebut musibah, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Ya, setiap hal yang menyusahkan adalah musibah!”
Dengan memahami bahawa bencana itu mutlak dalam kekuasaan Allah, sekali gus menjadi peringatan dan ujian, seorang Muslim tidak akan mudah terikut dengan kejayaan orang yang hidupnya penuh maksiat dan dosa serta hidup dalam perpecahan.
Perpecahan sekecil mana pun merupakan satu musibah apatah lagi perpecahan bangsa Melayu yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah. Di samping mengunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpecahan yang terjadi, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir?
Inilah saatnya introspeksi diri mengapa musibah demi musibah kerap menimpa kita. Kerana segala sesuatu yang tidak kita inginkan di waktu yang tidak tepat, disebabkan oleh kesalahan yang kita perbuat sendiri, bukan datangnya dari Allah SWT. Bukankah setiap kesalahan dan kebaikan walaupun sekecil zarah akan diberi ganjaran?
Jika demikian, tentu musibah dan kenikmatan yang kita dapatkan tidak lepas daripada kesalahan dan kebaikan yang kita lakukan.Mereka tidak mengetahui bahawa lapang dan sempitnya rezeki tidak adakaitan nya dengan murka atau redha Allah, tetapi berkaitan dengan hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya. Perolehan seseorang – positif atau negatif – berkaitan dengan sikapnya terhadap hukum-hukum alam yang mencerminkan kehendak Allah itu.
Justeru, tiada alasan bagi sesama Melayu untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.
Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah.
Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.Justeru kita mengakui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.
Amat malang apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi SAW yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan. Umat Islam lebih sibuk dengan amalan dan urusan ibadah semata-mata tetapi mengabaikan persoalan muamalah yang berkaitan dengan penyakit perpecahan dalam masyarakat akibat perbezaan fahaman politik.
Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan parti-parti Melayu Islam di negara ini.
