Umat Islam. Dahulu dihormati, kini ditolak ke tepi. Dahulu disegani, kini tidak lagi ditakuti. Kekuatan ummah dalam jumlah tidak diterjemahkan menjadi satu tujuan yang bermakna. Mengapakah umat Islam begitu lemah, dan bagaimana untuk mengatasinya.
Umat Islam hari ini terpecah-belah dalam pelbagai aspek; perbezaan mazhab, politik, nasionalisme dan bangsa. Sementara itu, krisis moral seperti rasuah, zina, dan kehilangan al-haya’ atau sifat malu, membelenggu ummah, digandakan oleh kehadiran media sosial. Orang Islam bergantung kepada pada dunia Barat dalam pemikiran, ekonomi, dan budaya.
Sedangkan Tauhid, Dakwah dan Jihad, harus mengisi semua aspek kehidupan seorang Muslim, sama ada di kalangan pemimpin, penguasa, ketua keluarga, para pendidik dan asatizah, pekerja, ahli perniagaan, dan sebagainya, kerana Islam merupakan agama yang menyeluruh atau syumul. Ini bertepatan dengan konsep Islam sebagai ad-Din, yang merangkumi bukan hanya ibadah khusus, tetapi juga sistem hidup yang lengkap.
Al-Quran telah menegaskan kesatuan Iman dan Amal. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” - (Surah Al-Baqarah, Ayat 208)
Ayat ini menekankan perlunya komitmen menyeluruh terhadap Islam dalam semua aspek kehidupan. Di dalam sebuah hadith, Nabi SAW menerangkan tentang tanggungjawab seorang pemimpin dan setiap individu; “Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya.” - (HR Bukhari & Muslim)
Ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan prinsip tauhid dan dakwah sebagai asas kepimpinan dalam semua peringkat, termasuk keluarga, pekerjaan, dan pemerintahan. Berkenaan konsep Jihad pula, yang harus diamalkan oleh setiap muslim, ia adalah konsep yang luas. Tidak seperti yang digambarkan oleh propaganda Barat, yang menyamakan Jihad dengan peperangan dan pertumpuhan darah. Allah SWT berfirman; “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” - (Surah Al-Ankabut, Ayat 69)
Jihad bukan hanya bermaksud perang, tetapi juga usaha bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran, termasuk dalam pekerjaan, pendidikan, dan kepimpinan berlandaskan ajaran Islam. Setiap muslim berjihad dalam memerangi nafsu, syaitan dan penyelewengan intelektual.
Manakala Tauhid sepatutnya dijadikan sebagai asas kepada segala tindakan atau tingkah-laku seorang muslim. Allah berfirman di dalam surah Az-Zumar yang bermaksud; “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.” - (Surah Az-Zumar, Ayat 11)
Prinsip tauhid menuntut agar setiap tindakan seorang Muslim dilakukan dengan niat kerana Allah, termasuk dalam urusan duniawi seperti perniagaan, politik, dan pendidikan. Imam Al-Ghazali RH dalam Ihya Ulumuddin menegaskan bahawa setiap aspek kehidupan termasuk pentadbiran, ekonomi, dan keamanan perlu dipandu oleh prinsip Islam. Jika tidak, masyarakat akan rosak. Ibnu Taimiyyah RH dalam As-Siyasah Asy-Syar'iyyah pula menjelaskan bahawa pemerintah dan pemimpin wajib menjalankan tugas berdasarkan syariat, kerana kekuasaan adalah amanah Allah.
Dari sudut Dakwah, ia sebenarnya merupakan kewajipan setiap muslim. Dakwah bukan hanya tugas para ulama, tetapi juga tanggungjawab setiap Muslim dalam bidang masing-masing. Dakwah tidak bermakna berdiri diatas pentas untuk berceramah sahaja, setiap muslim diberi peluang untuk berdakwah, melalui adabnya, kelakuannya dan interaksinya dengan orang-orang lain.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar.” - Surah Ali Imran (3:104)
Ramai Muslim menganggap Islam sekadar ritual ibadah yang dijelmakan melalui solat, puasa, dan zakat, tetapi tidak menjadikan agama Islam sebagai panduan dalam politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial. Contoh yang boleh dilihat hari ini adalah seperti golongan pemimpin yang lebih mementingkan kuasa, mengagungkan ajaran Machiavelli, daripada menegakkan keadilan yang dituntut oleh agama Islam.
Perniagaan hari ini dipenuhi riba dan penipuan. Orang Islam menyarung jubah dan janggut, memegang watak Islamik tetapi perniagaannya berasaskan penipuan. Sekularisme dalam pendidikan telah memisahkan nilai Tauhid dalam keilmuan. Manakala media dan hiburan dipengaruhi nilai sekular dan hedonisme.
Lihatlah bagaimana seorang pemimpin sanggup mencerca lawannya demi perebutan kuasa, dicanang ke hulu ke hilir kelemahan seteru politiknya, agar dirinya dilihat sebagai pilihan lebih baik. Adakah ini ajaran Nabi SAW atau ajaran Machiavelli? Sungguh lemah pengamatan Islam di kalangan pemimpin hari ini, baik yang sentris maupun yang islamis.
Umat Islam di bawah pula asyik menyibukkan diri dengan hal-ehwal media sosial, hingga muncul pihak yang bergaduh hingga bercerai sambil rakaman ‘live’. Hal-hal aib dibuka kepada umum tanpa rasa malu, mencerminkan kehilangan rasa malu atau al-haya’. Budaya influencer atau pempengaruh yang mempromosi gaya hidup hedonistik tanpa kawalan, mengagungkan kekayaan material dan populariti palsu.
Islam mengajar bahawa agama bukan hanya ritual, tetapi panduan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Doktrin Dakwah iaitu menyeru kepada kebaikan, Jihad iaitu berusaha menegakkan kebenaran, dan Tauhid iaitu mengikhlaskan segala amalan kepada Allah, harus menjadi asas dalam peranan seseorang, sama ada sebagai pemimpin, pekerja, tentera, atau ahli perniagaan.
Pendekatan ini juga selari dengan konsep Islamization of Knowledge (Pengislaman Ilmu) seperti yang digariskan oleh sarjana kontemporari seperti Ismail Raji al-Faruqi, yang menekankan perlunya integrasi nilai Islam dalam semua bidang kehidupan.
Ramai umat Islam hari ini bekerja bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana wang, pangkat, atau populariti. Sistem hidup mengikut acuan sekularisme dan kapitalisme ini sangat bercanggah dengan konsep yang diajarkan oleh syariah.
\Maka Ruh sebagai seorang muslim telah luntur dalam banyak aspek. Nabi SAW telah bersabda bahawa akan datang kepada umat Islam penyakit al-Wahn, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Berkata seorang sahabat, “Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?” Nabi menjawab, “Tidak! sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih-buih di lautan. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahn ke dalam hatimu.” - (HR Abu Daud).
Ummah ini tidak akan bangkit jika terus lena. Tidak akan kuat jika terus berpecah. Umat Islam harus menyedari kelemahan dan bersikap proaktif untuk perbaiki diri dan masyarakat. Tanamkan kalimah La ilaha illallah bukan hanya di lidah, tetapi dalam sistem nilai dan tindakan. Mulakan gerakan Ghazwul Fikri - satu revolusi atau reformasi pemikiran untuk ubah situasi getir ini.
Setiap Muslim harus menjadi agen perubahan dalam bidang masing-masing. Para pemimpin wajib berlaku adil dan amanah. Para guru harus mendidikdengan nilai-nilai Islam. Golongan usahawan perlu jauhi riba dan penipuan. Dan pengamal media wajib menegakkan kebenaran dan sebarkan dakwah, bukan maksiat.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada siapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada siapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”-(Surah Ar-Ra’d, Ayat 11)
