Salah seorang pemikir Islam Syiah yang paling menonjol pada zaman ini ialah Syed Husein Nasr. Ketika Revolusi Iran meletus (1979), Nasr ke Amerika Syarikat (A.S) dan menetap di sana kerana tidak menyetujui revolusi para ulama. Menurutnya, Kerajaan Safawi tetap merupakan wakil terbaik pemikiran Islam Syiah. Beliau menyebarkan ilmunya di A.S, sekali gus mengkritik ideologi sekular Barat yang dianggapnya membawa banyak mudarat kepada Barat dan dunia Islam. Di pihak lain, beliau berusaha membangkitkan warisan pemikir Islam. Disebabkan pemikirannya tentang tradisi Islam dan keyakinannya tentang kemampuan Islam menghadapi tentangan dunia moden, Nasr digolongkan dalam kumpulan pemikir “neotradisionalis”.
FALSAFAH
Nasr menganut fahaman falsafah, iaitu manusia memiliki pengetahuan tentang asas ketuhanan yang pada prinsipnya dapat diperoleh oleh setiap orang, bersifat silang agama dan sejarah, dan dapat menyatukan manusia dan agama secara sejagat. Mengikut fahaman itu, di sebalik upacara keagamaan dan aspek sosial setiap agama ada satu tradisi asal.
MAN AND NATURE
Berkenaan kritikannya terhadap dunia moden, Nasr melihat bahawa dunia moden dipenuhi pelbagai perkara yang membimbangkan seperti peperangan, krisis ekologi dan pencemaran udara serta air. Oleh sebab itu, dalam ceramahnya pada 1966 di Universiti Chicago, Nasr berbicara tentang manusia dan persekitarannya yang membimbangkan. Ceramahnya itu kemudian dibukukan dengan judul Man and Nature: The Spiritual Crisis in Modern Man (1967).
PENGKRITIK IDEOLOGI SEMASA
Nasr terkenal sebagai pengkritik ideologi semasa seperti modenisme, rasionalisme, sekularisme dan materialism. Menurutnya, ideology itu menjadikan manusia moden terasing daripada keimanan. Hal itu menimbulkan pelbagai persoalan, seperti kemiskinan. Bagi Nasr, manusia moden khususnya di Barat, yang tidak lagi menghargai hal-hal suci (the secret). Dunia Barat telah kehilangan wawasan tentang hal yang bersifat abadi. Nasr mengungkapkan bahawa kebebasan manusia yang sebenarnya ialah kesedaran akan hubungan asas antara dirinya dengan Allah S.W.T, seperti yang terungkap dalam falsafah dan tasawuf Islam.
PENULIS PRODUKTIF
Nasr menghasilkan karya tulis dengan pelbagai tema. Tema tulisannya meliputi pelbagai bidang ilmu, daripada sains, falsafah Islam, sufisme, hingga kepada masalah yang dihadapi peradaban moden. Karya yang dihasilkannya banyak, antaranya termasuklah Three Sage Moslems (Tiga Muslim Yang Baik), Ideals and Realities in Islam (Cita-cita dan Realiti dalam Islam) dan Science and Civilization in Islam (Ilmu dan Peradaban dalam Islam). Sebahagian besar karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Daripada karya itulah pemikiran Nasr tersebar luas ke seluruh penjuru dunia.
SYED HUSEIN NASR
1933 – Lahir di Tehran, Iran
1958 – Memperoleh Ph.D dari Universiti Harvard
1962-65 – Menjadi professor tamu di Universiti Harvard
1965 – Menubuhkan Husyaimiyyah Irsyad
1968-1972 – Menjadi Dekan Fakulti Sastera dan Seni, Universiti Tehran
1970-1971 – Memegang jawatan pembantu rector Universiti Tehran
1973 – Keluar dari Husyaimiyah Irsyad
1975-1979 – Dilantik sebagai Presiden di Akademik Falsafah Iran
1979 – Menjadi kaunselor Arya-Mehr Universiti of Technologi
1990 – Menjadi professor pengajian Islam di Universiti George Washington di Washington D.C