KEBUNTUAN FIQH AL-HARAKAH DAN HALATUJU POLITIK ISLAM?

KEBUNTUAN FIQH AL-HARAKAH DAN HALATUJU POLITIK ISLAM?

Sekitar akhir 1990an dan awal 2000an, para sarjana pengkaji fenomena politik Islam telah mula membicarakan soal "post-Islamism" dan "post-political-Islam" yang merujuk kepada fenomena pasca gerakan politik Islam. Perkara ini timbul kerana pengkaji "Islamism" atau "Islamic activism" mendapati gerakan politik Islam yang bersumberkan paradigma/manhaj Fiqh al-Harakah telah kehilangan jika tidak kehabisan dinamika dan relevan dalam menterjemahkan idealisme politik mereka. 

Dinamisme dan relevansi paradigma/manhaj Fiqh al-Harakah politik Islam semasa ala Syed Qutb, Abu al-'Ala al-Mawdudi malah Ayatullah Khomeini yang mendominasikan pemikiran politik Islam sejak tahun 1970an mula memperlihatkan ketidakupayaannya dalam menghadapi cabaran sosio-politik zaman dan lingkungan. Paling jelas idealisme "Pembentukan Daulah dan Negara Islam dan Perlaksanaan Syariah dan Hukum Hudud" kini ternyata mengalami kebuntuan/impasse bukan hanya kepada para pemimpin dan aktivis politik Islam tetapi umat Islam yang mendokong idealisme ini satu waktu dahulu.

Bagaimanapun kita mendapati kritik terhadap Fiqh al-Harakah gerakan politik Islam bukanlah satu perkara baru. Dahulu lagi Allahyarham Fazlur Rahman telah menyebut perkara ini, begitu juga Allahyarham Malik Bennabi. Malah di negara kita Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas juga seringkali memperkata persoalan ini dalam kuliah-kuliah beliau. Antara perkara pokok yang membawa kepada ketidakupayaan gerakan politik Islam ialah kurangnya perhatian yang diberikan terhadap dimensi tradisi keilmuan, kenegaraan dan kerohanian yang menjadi teras kepada kekuatan kebangkitan dan kesinambungan Peradaban Islam sejak zaman-zaman. Dalam bahasa yang agak "extreme" bahawa Fiqh al-Harakah gerakan politik Islam diatas obsesi politik dan kuasa semata-mata terjebak ke dalam situasi “intellectual bankruptcy, political expediency and spiritual impotency". 

Pada fahaman saya fenomena "paradigmatic exhaustion/fatigue” atau keletihan/kelesuan manhaji yang berlaku kepada Fiqh al-Harakah bukanlah hal yang memeranjatkan jika kita melihat lebih mendalam kepada asal-usul pemikiran Fiqh al-Harakah itu sendiri. Pengaruh tokoh-tokoh seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida (Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas ruh-ruh mereka) jelas sekali membentuk orientasi Fiqh al-Harakah dan modus operandi politik Islam. Tetapi yang lebih utama lagi bahawa kesemua tokoh-tokoh ini dikenali sebagai tokoh-tokoh modenis Islam. Dalam erti kata yang lain pembentukan Fiqh al-Harakah dan politik Islam terbina dari faham-faham modeniti yang anti-tradisi terbitan Era Pencerahan Eropah abad ke 18 yang meskipun telah di"Islamisasikan" masih meninggalkan kesan modeniti dalam pemikiran dan tindakan gerakan politik Islam sehingga ke hari ini. 

Fiqh al-Harakah dalam banyak hal dipengaruhi oleh pemikiran modeniti terutamanya dalam penolakannya terhadap tradisi keilmuan, kenegaraan dan kerohanian Islam dan juga penumpuan yang berlebihan terhadap persoalan politik dan kuasa semata-mata. Persoalannya ialah tanpa disedari bagaimana mungkin gerakan politik Islam dipengaruhi, dicorakkan dan diwarnakan dengan faham modeniti boleh mengemukakan alternatif Islam dalam menangani kemelut kehidupan manusia semasa? Cabaran kepada gerakan politik Islam ialah untuk mengeluarkan diri mereka terlebih dahulu dari penjara dan perangkap modeniti dan kemudian barulah mereka boleh menawarkan sumbangan Islam terhadap kehidupan masakini.  Jika tidak mereka akan terus-terusan berslogan dan beretorik kosong seperti yang kita saksikan 30-40 tahun kebelakangan ini!

Tokoh-tokoh pengasas modenis awal abad ke 19-20 tersebut seperti al-Afghani, Abduh dan Rasyid Redha sangat tersirna dengan pengaruh modeniti khususnya sikap anti-tradisi Eropah Era Pencerahan Abad ke 18. Malah mereka adalah tokoh-tokoh yang kemudiannya meninggalkan kesan langsung terhadap corak pemikiran politik Islam selepas dari itu. Sebagai contoh gerakan Islam, Ikhwan al-Muslimin yang menjadi model dan inspirasi hampir semua gerakan politik Islam dunia adalah salah-satu kesan langsung dari pemikiran al-Afghani, Abduh dan Rashid Redha dari sudut amaliyyah dan jamai'yyah. Sejarah awal al-Syahid Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin yang mempelopori fenomena Fiqh al-Harakah dunia Islam jelas menunjukkan perhubungan yang rapat antara pemikiran ketiga-tiga tokoh ini dengan gerakan politik Islam sehingga ke hari ini. 

Perkara ini sangat perlu untuk diteliti sekiranya kita ingin mengenal pasti akar dan asal-usul Fiqh al-Harakah itu sendiri. Ini kerana kemudiannya paradigma atau kerangka tersebut memberi kesan terhadap orientasi, modus-operandi atau corak pemikiran gerakan politik Islam. Modeniti Era Pencerahan Eropah seperti mana yang telah dihuraikan dahulu terbina atas dasar anti-tradisi atau penolakan terhadap tradisi dan warisan silam. 

Sebagai contoh beberapa perkara asasi yang dipegang oleh modenis agama yang seiring dengan apa yang dipegang Fiqh Al-Harakah termasuklah: 

(1) Sikap menolak tradisi dan warisan silam Pemikiran dan Peradaban Islam sebagai menjadi beban dan punca kelemahan dan kemunduran umat Islam;

(2) mengganggap tradisi keilmuan Islam seperti tradisi Kalam, Falsafah, Usul-Fiqh, Fiqh Mazhab dan Tasawuf sebagai tidak relevan; 

(3) banyak tradisi pemikiran dan amalan umat Islam dianggap telah bercampur-baur dengan unsur-unsur yang tidak Islamik sama ada dari unsur yunaniyyah, israiliyyah dan syiah, justeru proses 'penjernihan' mesti dilaksanakan; 

(4) sebarang bentuk perubahan mestilah melalui perubahan sosial masyarakat, politik, kuasa dan undang-undang tanpa memberi perhatian kepada diri-individu umat itu sendiri.

(5) ketidakmampuan untuk menggarap kelebihan dan kekuatan sosio-budaya tempatan yang panjang yang lama dan sedia terinstitusi di Tanah Air dalam menggagaskan Fiqh al-Harakah.

Secara tidak sedar, Fiqh al-Harakah gerakan politik Islam banyak dipengaruhi oleh pemikiran modenis agama meskipun Islam tetap menjadi slogan utama perjuangannya.  Bagaimanapun setelah berpuluh-puluh tahun slogan-slogan ini dikumandangkan, ia masih kekal sebagai retorik kosong tanpa sebarang pencapaian yang cemerlang, komitmen yang konsisten malah yang lebih utama persediaan yang menyeluruh di pihak gerakan atau jemaah atau harakah atau parti Islam itu sendiri. 

Kebuntuan Fiqh al-Harakah politik Islam ini telah mencetuskan kesedaran baru dikalangan umat Islam yang menyedari bahawa agenda politik dan kuasa semata-mata tidak akan membawa umat Islam ke mana-mana seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini.

Kesedaran dan kebangkitan baru untuk menghayati kembali Tradisi atau Turath Keilmuan, Kenegaraan dan Kerohanian Islam merupakan fenomena global akibat dari kebuntuan jika tidak pun kegagalan politik Islam membina satu pemikiran kehidupan yang jelas bagi umat dalam menghadapi kemelut kehidupan semasa kerana kedangkalan mereka dalam memahami dan menghayati khazanah dan tradisi pemikiran dan peradaban Islam yang luas dan dalam. 

Justeru mereka yang terlibat dalam kesedaran dan kebangkitan semula Tradisi atau Turath hari ini mestilah mula menggarap kekuatan khazanah Keilmuan, Kenegaraan dan Kerohanian Peradaban Islam secara lebih menyeluruh dan tidak sekadar hanya berlegar kepada konsep dan faham “Negara Islam” atau “Daulah Islam” yang sempit yang dikemukakan oleh Fiqh al-Harakah.  Tasawwur dan citra Islam sebagai Agama bersifat Watan dan Peradaban sewajarnya melangkaui konsep dan faham modenis “Negara Bangsa Moden” yang menjadi Model “Negara Islam” semasa. Langkah ke arah Fiqh al-Watan politik Islam dan Fiqh al-Hadharah Peradaban Islam yang diperbaharui mesti dimulakan sekarang melihat kepada kebuntuan nyata lagi menganiayakan umat Islam ketika ini!

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.