TUTUR KATA BAIK ADALAH SEDEKAH

TUTUR KATA BAIK ADALAH SEDEKAH

SEBAGAI rakyat Malaysia kita harus menyokong setiap usaha kerajaan mempromosikan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni. Ini boleh dilakukan dalam bentuk muhasabah diri dengan meninggalkan sebarang jenis perkataan tidak baik yang mungkin sering menjadi bahasa pertuturan kita.MBarangkali kita mungkin menggunakan perkataan yang agak kurang elok atau sopan untuk mempamerkan kemesraan sesama sendiri.


Dalam hal ini, kita sepatutnya mencontohi junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang tinggi budi pekertinya dan tidak pernah berbuat keji, jauh sekali daripada bertutur secara kasar. Demikian juga kepada pemimpin tinggi yang dilantik oleh rakyat seharusnya menjaga perkataan buruk dan budi bicaranya terhadap rakyat bawahan.

Perkataan buruk tidak sepatutnya dilemparkan kerana ia melambangkan kebiadaban dan akhlak buruk seseorang, tanpa mengira latar belakang. Agama Islam adalah agama yang sangat mengambil berat tentang adab pergaulan yang baik. Cara pergaulan yang baik selalunya diikuti oleh tutur kata yang baik, sekali gus memberi kesan kepada orang lain bahawa dirinya mulia dan terhormat.

Tutur kata yang baik dan ungkapan yang indah akan memberi kesan di dalam hati sehingga setiap individu berasa bahawa kewujudan mereka sangat penting. Selebihnya ia bererti bahawa mereka juga berasa mereka adalah orang-orang yang dihormati.  Dalam sebuah hadis riwayat Muslim ada menyebut bahawa: Tutur kata yang baik itu adalah sedekah.

Tutur kata yang baik dan lembut sebenarnya mempunyai pengaruh yang kuat di dalam hati seseorang insan. Ia mampu mengangkat roh maknawiah, meyakini kepercayaan kepada diri sendiri dan mendorongnya untuk melakukan pekerjaan dengan sebaik-sbaiknya. Rasulullah s.a.w. dengan tutur katanya yang lembut telah berjaya menarik hati orang-orang di sekitar baginda. Tutur kata yang baik dan ungkapan-ungkapan yang disulami kesantunan dapat menyebarkan rasa kecintaan sesama insan.

Daripada Abdullah bin Amru, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Kiamat tidak akan terjadi sehingga ucapan kotor, kebiasaan berbicara kotor, pemutus silaturahim dan buruknya hubungan bertetangga semakin bermaharajalela. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, ditegaskan bahawa unsur-unsur ajaran yang meliputi iman Islam, dan ihsan.
Iman ada hubungan dengan akidah, sementara Islam berkaitan dengan amal ibadat serta muamalat. Ihsan pula merupakan satu suasana atau keadaan batin yang sering merasai ia dalam pengawasan Allah s.w.t.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa ihsan adalah :  Engkau beribadat (dengan kesedaran) seakan-akan melihat Allah s.w.t. dan jika tidak dapat melihatnya maka (Engkau harus yakin) bahawa Dia melihatmu. 

Dengan perasaan dan kesedaran seperti ini dapat dipastikan bahawa perilaku manusia akan terus dibimbing dan terarah sesuai dengan norma kebenaran dan kebaikan. Dalam konteks ini ajaran akhlak yang mulia dalam Islam tergolong dalam kategori ihsan. Dalam ajaran Islam secara keseluruhan mengandungi nilai akhlak yang luhur, mencakupi akhlak terhadap Maha Pencipta, diri sendiri, sesama manusia dan alam sekitar. Ajaran Islam tentang akhlak cukup luas ruang lingkupnya, sama luasnya dengan perilaku dan sikap manusia.


Rasulullah s.a.w. meletakkan bab akhlak sebagai isu penting dan menjadi dasar utama kerasulan baginda. Imam Baihaki meriwayatkan sebuah hadis yang menyatakan bahawa akhlak yang baik dapat menghapuskan kesalahan bagaikan air yang menghancurkan tanah yang keras, sedangkan akhlak yang jahat merosakkan amal seperti cuka merosakkan manisnya madu. Siapa yang tidak kenal dengan Ibnu Sina melalui kitab akhlaknya yang terkenal Risalah Fial-IIm al- Akhlak (Bab Akhlak).

Demikian juga Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dengan kitab Ihya Ulum ad-Din. Ibnu Maskawaih juga menyumbang karyanya yang sangat berharga mengenai akhlak dalam bukunya yang berjudul Tahzib Al-Akhlak.  Ibnu Hazim menyusun kitab akhlak yang cukup komprehensif iaitu Al-Akhlak wa asSiyar.

Gambaran ini menunjukkan bahawa akhlak adalah sebahagian daripada sistem ajaran Islam. Jelaslah bahawa nilai-nilai murni merupakan cermin keperibadian manusiawi - cermin yang seharusnya dipergunakan untuk mendandani wajah peribadi manusia menurut syariat Islam. Dalam hal ini, Islam adalah cermin abadi yang tidak akan retak walaupun dipukul badai zaman apa sekali pun.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.