TOLAK ANSUR BERBANDING KEKERASAN

TOLAK ANSUR BERBANDING KEKERASAN

ALLAH s.w.t melarang setiap umat Islam melakukan sebarang bentuk keganasan. Ini ditegaskan secara jelas di dalam al-Quran bahawa unsur-unsur keganasan dan kekerasan boleh mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada manusia, malah seluruh makhluk di muka bumi ini.

Perlakuan yang bercirikan kekerasan di abad ini telah ditolak oleh keseluruhan masyarakat dunia. Masyarakat dunia hanya akan menerima sebuah sistem yang berdasarkan atas prinsip kedamaian dan antikekerasan. Dalam situasi apa pun kekerasan tidak dapat diterima oleh akal manusia moden. Komunisme, Fasisme, Nazisme Jerman adalah ideologi yang meletakkan ajaran-ajaran berasaskan kepada gerakan militan yang akhirnya hancur lebur.

Tidak ada satu kebaikan pun yang diperoleh hasil daripada tindakan kekerasan. Apa sahaja yang muncul hasil daripada tindakan kekerasan akan mengembangkan sikap egoisme yang akhirnya menghancurkan diri manusia itu sendiri. Sebaliknya sikap lembut dan antikekerasan akan menjernihkan hati nurani siapa sahaja.

Salah satu ujian yang besar adalah memperjuangkan kehendak tanpa kekerasan, tetapi hendaklah dengan rasa simpati dan hati yang tenang serta dengan mengemukakan bantahan yang logik. Malah, apabila terdapat perbezaan pendapat yang boleh mencetuskan pergaduhan, hati harus tetap dingin dan tenang. Bukankah al-Quran secara tegas mengajar agar umat Islam berdakwah dengan hikmah, memberi peringatan dengan baik, berdialog dan bertukar fikiran dengan baik?

Allah berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 34 yang bermaksud: Dan tidakkan sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada kamu) dengan cara yang baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa Perjanjian Hudaibiyah itu sendiri menggambarkan betapa kejernihan hati nurani umat Islam kerana peperangan dan kekerasan bukan jalan pintas untuk mencapai kemenangan 13 tahun dakwah Rasulullah s.a.w di Mekah penuh dengan sikap toleransi dan lemah-lembut.

Kalimah-kalimah Allah disampaikan dengan penuh berhikmah. Sebaliknya apabila menerima tentangan hebat daripada kaum Quraisy, Rasulullah tidak menentangnya, akan tetapi secara rahsia ia melakukan hijrah ke Madinah.
Iktibar daripada kehancuran kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah adalah disebabkan kelemahan mempraktikkan sikap damai dan toleransi terhadap musuh yang akhirnya menimbulkan pemberontakan demi pemberontakan untuk menghancurkan kerajaan.

Di sebalik sistem politik Islam yang buruk di bawah pimpinan Khalifah Umaiyah dan Abbasiyah, namun ribuan kitab hadis telah dapat dinikmati dan dibaca oleh kita sekarang adalah hasil daripada sikap para ahli hadis, sufi dan ulama yang menghindari cara-cara kekerasan dan konfrontasi dengan para penguasa.

Selama ratusan tahun para ulama bersikap toleransi dan antikekerasan terhadap mereka. Ini semua bukan sesuatu yang terjadi secara kebetulan, namun atas dasar ketaatan terhadap syariat. Dalam kitab-kitab hadis ada disebut secara terperinci tentang fitnah politik yang akan menimpa umat.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
Sebaik-baik pemimpin dan pemerintah kamu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihi kamu. Mereka mendoakan untuk kamu dan kamu mendoakan untuk mereka. Manakala pemimpin kamu yang jahat pula ialah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu.

Rasullulah ada ditanya: Apakah tidak boleh kami menentang mereka dengan pedang dan kekerasan, katanya: Tidak, selagi mereka menegakkan solat di kalangan kamu. Apabila kamu melihat sesuatu yang dibenci daripada pemerintah maka bencilah perbuatan itu dan jangan kamu menarik balik kesetiaan terhadap mereka. - (Riwayat Muslim)

Jelas sekali bahawa kecenderungan ke arah kekerasan atau keganasan terhadap sesuatu kerajaan tidak wajar sama sekali walaupun pemimpin itu fasik atau zalim. Sebagaimana pendapat yang dikemukakan oleh Imam Nawawi berkenaan dengan kepimpinan, beliau menyeru supaya memaparkan kebenaran kepada penguasa yang zalim melalui kata-kata bijak dan penuh hikmah tanpa menunjukkan tindakan berunsur subversif.  

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028687
Hari ini: 471
Minggu Ini: 3,109
Bulan Ini: 2,483
Tahun Ini: 28,687
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.