“Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?” - HR Muslim (2669)
Demikianlah keadaan umat Islam pada hari ini, yang begitu terpesona dengan ideologi dan amalan barat yang dianggap seperti jalan menuju kemajuan, dan cara hidup yang lebih superior.
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut, menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan syibr (sejengkal) dan dziro’ (sehasta) serta lubang dhob adalah permisalan terhadap tingkah-laku kaum muslimin yang begitu serupa dengan kelakuan golongan Yahudi dan Nasrani dari segi mengikuti mereka dalam hal kemaksiatan begitu juga perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. [Syarh Muslim ‘ala al-Nawawi; 2/219]
Sejak kebelakangan ini, trend Childfree semakin meluas dalam kalangan masyarakat muslim, khususnya bagi pasangan muda suami isteri yang baru berkahwin. Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan, lantaran kesannya dalam jangka masa panjang, yang akan mengubah struktur sosial setempat, malah turut memberi impak secara global.
Fenomena Childfree merujuk kepada pasangan-pasangan muda suami isteri yang memilih untuk tidak mempunyai anak. Gerakan ini bermula daripada pempengaruh barat, dan kini ditiru oleh pempengaruh serta kaum muda dalam negara, yang bersetuju dengan ideologi ini. Mereka memutuskan untuk tidak memiliki zuriat, dengan alasan sama ada ingin melancong dan bersuka-suka dahulu sebagai pasangan suami-isteri, ataupun menggunakan alasan takut dengan kos sara hidup zaman ini. Ada juga pasangan yang menyatakan di media sosial bahawa pengalaman buruk semasa mereka membesar, menjadi trauma untuk memiliki zuriat sendiri.
Jika hanya mengambil kira impak kemerosotan jumlah anak yang dilahirkan setiap tahun dari sudut ekonomi, fenomena ini akan mewujudkan masalah serius terhadap pembangunan negara. Dalam jangkamasa panjang, negara ini mungkin akan berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja berkualiti, dan perlu bergantung kepada tenaga kerja dari luar.
“Apabila tenaga kerja berkurangan, saiz ekonomi akan ikut menurun walaupun pengeluaran bagi setiap pekerja kekal sama. Dengan ketiadaan dasar migrasi yang liberal, negara-negara ini akan menghadapi banyak cabaran,” kata Dr. Christopher Murray, seorang pengarah di Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat.
Justeru kita perlu memahami tujuan berkahwin dan memiliki zuriat, dari sudut ajaran Islam. Islam merupakan agama atau sistem hidup yang menyeluruh, yang juga disebut sebagai syumul. Islam itu lengkap, dan setiap aturan berkaitan dengan semua aspek kehidupan umat manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya.
Antara tujuan utama perkahwinan menurut Islam adalah untuk melahirkan zuriat yang mulia. Di dalam surah An-Nahl, ayat 72, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud;
“Dan Allah menjadikan untuk kamu isteri-isteri (suami-isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan untuk kamu anak-anak dan cucu-cucu dari pasangan kamu, dan memberi kamu rezeki dari yang baik-baik…” - QS. An-Nahl, Ayat 72
Maka seorang muslim harus menanam hasrat untuk menimang cahaya mata, apabila memutuskan untuk bernikah. Hasrat ini mestilah seiring dengan usaha melestarikan pendidikan agama, di samping pengajian akademik. Manusia diciptakan sebagai Khalifatullah di atas muka bumi ini, supaya dapat melaksanakan tugas sebagai pembawa kemajuan peradaban, sekaligus memenuhi amanah Allah SWT.
Namun hari ini, sama ada termakan dengan hasutan dunia materialisme, atau terikut-ikut golongan kafir yang terlampau bimbang dengan peningkatan kos sara hidup, golongan muda mula takut untuk mendapatkan zuriat. Mereka mementingkan aktiviti melancong ke negara Eropah, mengumpul harta-benda seperti kereta mewah dan sebagainya, dan sama seperti orang kafir, merisaukan tentang ekonomi keluarga dan tidak mengendahkan janji-janji Allah SWT.
Setiap anak punya rezeki yang berbeza. Malah Allah S.W.T. telah mengingatkan dan menjanjikan kepada hamba-Nya untuk tidak takut dengan kemiskinan jika punya anak yang ramai. Surah al Isra’ ayat 31 yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah dosa yang besar.”
Ayat ini menceritakan tentang amalan dahulu, satu dosa besar yang selalu dilakukan oleh Arab Jahiliyah yang berkenaan dengan kebimbangan tentang rezeki. Adakah generasi ini menuju kembali ke zaman Jahiliyah, dan tidak percaya dengan janji-janji Allah dalam Al-Quran? Adakah mereka takut jatuh miskin disebabkan anak-anak nanti?
Sedangkan anak-anak yang soleh akan memudahkan ibu-bapa untuk ke syurga. Menurut Imam ibnu Jauzi, Allah akan meninggikan darjat ibu bapa di syurga nanti berkat dari doa dan istighfar si anak. Baginda SAW bersabda;
“Sungguh seorang manusia akan ditinggikan darjatnya di syurga (kelak). Maka ia pun bertanya “wahai Tuhanku, bagaimana aku boleh mencapai semua ini?” Allah menjawab, “Ini semua disebabkan istighfar (permohonan ampun kepada Allah yang selalu diucapkan oleh) anakmu untukmu.” – HR Ahmad & Ibnu Kathir
Maka berhenti meniru setiap gerak-geri dan budaya yang lahir dari Barat, sebuah masyarakat tidak bertuhan. Keruntuhan tamadun yang mereka alami pada saat ini, telah bermula dengan penolakan mereka secara terang-terangan terhadap agama dan iman.
Nikmat sebagai pasangan ibu-bapa, adalah sesuatu yang sukar untuk dikatakan. Ketika mendukung anak di pangkuan, seorang insan akan betul-betul memahami erti kasih-sayang ibu-bapa mereka dahulu. Mereka akan mula fahami erti pengorbanan, dan rahsia disebalik setiap tingkah-laku ibu-bapa mereka, akan mula terungkap. Seorang muslim juga akan belajar tentang kesyukuran, di setiap peringkat kehidupan sebagai ibu-bapa. Semasa kelahiran seorang anak, semasa menunggu keputusan peperiksaannya, ketika mereka juga berkahwin, hingga kelahiran cucu-cucu. Adakah kita mahu melepaskan nikmat sebegini, hanya kerana ingin simpan duit dan harta sendiri?