ISLAM BUKAN TEORI, GAHNYA ADALAH PADA PRAKTIKNYA

ISLAM BUKAN TEORI, GAHNYA ADALAH PADA PRAKTIKNYA

Kekuatan Islam sebenar bukan terletak pada teorinya, tetapi pada praktiknya. Praktik itulah yang akan meninggalkan makna yang besar (kesan dan pengaruh) dalam kehidupan sehingga Islam dilihat sebagai cara hidup yang terbaik bagi seluruh manusia, titah Paduka Baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Shah pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 pada Jumaat lalu (23 Ogos 2024).

Sultan Nazrin membawa sebuah anekdot mengenai pandangan seorang pelawat yang mengunjungi pameran Introduction to Islam yang diadakan di London beberapa ketika yang memberikan komen yang cukup praktikal untuk difikirkan oleh seluruh organisasi dan umat Islam dalam menyampaikan dakwah mereka.

Semasa berkunjung di pameran berkenaan, jelas Sultan Nazrin yang membaca perihal komen pengunjung berkenaan ialah bagaimana Islam itu dilihat daripada kacamata seorang yang mempunyai sedikit sebanyak mengenai Islam hasil pembacaan dan pengalamannya bekerja di beberapa buah negara Islam dalam jangka masa yang panjang.

Semasa ditanya oleh seorang daie, pelawat tersebut ditanya mengenai kesudiannya untuk membantu menceritakan tentang Islam kepada rakan-rakan dan kenalanya, jelas baginda, “pelancong itu menjawab “tidak perlu, kerana beliau tidak berminat dengan teori.”

Menurut Sultan Nazrin, pelawat itu memberikan pandangan bahawa “Islam ialah agama yang indah lagi menarik, agama yang menganjurkan hubungan dengan pelbagai pihak, merangkumi umat Islam dan bukan Islam.

“Islam mengajar kaedah beribadah dengan Tuhan secara jelas, kaedah melayan ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, dan masyarakat secara keseluruhannya. Malangnya, kata beliau, tingkah laku yang dipamerkan oleh umat Islam adalah di sebalik apa yang dituntut.”

Dalam memberikan pandangannya, menurut Sultan Nazrin lagi, pelawat yang dimaksudkan itu memerihal sepuluh perilaku yang telah mencemarkan kesucian Islam berdasarkan pemerhatiannya yang panjang.

Sepuluh perilaku itu, dilakukan oleh ramai pihak yang mendakwa beragama Islam; (1) menipu, bersumpah palsu, mencuri; (2) tidak menghormati masa, (3) memfitnah dan memperkecilkan sesama sendiri; (4) bersifat perkauman; (5) mengumpul kekayaan dengan cara yang salah; (6) tidak menghiraukan kebersihan; (7) memuliakan orang kaya, menghina yang miskin; (8) menggunakan undang-undang secara selektif; (9) memanipulasi agama untuk kepentingan diri; dan (10) kurang mendalami, memahami atau menghayati Islam walaupun lahir dalam Islam, lalu menjadi pengikut buta.

Sebenarnya, pengamatan pelawat berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu, sesuatu yang tidak pernah dibincangkan sebelumnya oleh cendekiawan Islam sejak beberapa dekad lalu.  Namun yang cukup mengecewakan ialah kelunturan semangat dan kelumpuhan sistem dalam diir umat Islam sendiri, termasuk mereka yang berstatus pemimpin yang diberikan peranan dalam organisasi Islam untuk melakar semula cita-cita Islam agar kembali bangkit membangun sebuah peradaban yang lebih cemerlang dan gemilang.

Memerihalkan cerita kemunduran umat Islam selepas nilai-nilai Islam dirempuh dengan faham sekular telah menyebabkan umat Islam semakin terkeliru, sama ada untuk meneruskan cara hidup yang benar-benar Islamik atau cara hidup yang dilihat mampu membina kehidupan yang lebih baik, bebas dan berjiwa individualistik yang berkembang dalam peradaban barat.

OLeh kerana kebanyakan negara-negara Islam masih mempunyai nilai-nilai dan budaya berfikir yang diwarisi menerusi pengalaman kolonialisme, cara hidup Islam yang menepati ciri-ciri kebangunan sebuah peradaban yang besar semakin bergeser dengan rempuhan komersial dan teknologi yang dilihat cukup gah dalam persekitaran masyarakat moden.

Masyarakat moden ditandai dengan ‘terkeluar’nya pegangan manusia terhadap agama, sebaliknya lebih mengutamakan kepada etos kerja yang menjanjikan hasil yang lumayan dalam perspektif semakin produktif barangan berjaya dihasilkan, maka semakin besarlah pendapatan. Ini menunjukkan dalam diri umat Islam turut melupakan kewajipan asasnya, kerana perusahan-perusahan yang dimiliki oleh bukan Islam mengenakan cara kerja industri yang berdasarkan kerja shift.

Kita pernah diajukan dengan permasalahan tersebut, kerana hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat industri semakin tercabar oleh perubahan persekitaran di mana seorang suami bekerja sepanjang siang hari, dan pada malamnya, si isteri bekerja. Anak-anak membesar dalam situasi yang cukup berbeza dengan tradisi sebelumnya, ketika ibu adalah suri rumah tangga.

Situasi sebegini bukan sahaja menyebabkan masa yang sepatutnya dikongsikan bersama antara pasangan terjejas, bahkan anak-anak turut menjadi mangsa keadaan, kerana masing-masing membesar dalam suasana tidak lengkap, kecualilah dalam situasi ibu dan bapa mengambil cuti tahunan bersama.

Pola kemasyarakatan juga turut berubah akibat perkembangan industri, dan Malaysia juga tidak berkecuali apabila ramai pekerja-pekerja industri lebih mengutamakan wanita berbanding lelaki. Perihal keruntuhan budaya dan nilai-nilai agama dalam kalangan pekerja industri cukup memberikan kita kepada kelumpuhan sistem kawalan sosial, sebabnya, para pekerja tersebut kebanyakannya tidak mempunyai ikatan keluarga dengan penduduk setempat.

Ini merupakan gambaran lazim dan persoalan yang cukup membimbangkan di mana dalam keadaan-keadaan tertentu ia mula membawa masuk sistem budaya yang lebih bebas daripada barat sehingga banyak menimbulkan masalah sosial dalam kalangan pekerja industri atau kilang, seperti pergaulan bebas, berparti bebas lepas, hidup sebagai pasangan tanpa ikatan perkahwinan dan sebagainya.

Shahnon Ahmad pernah melakarkan kisah buruk masyarakat industri yang berjaya menukarkan cara hidup masyarakat Melayu sebelumnya, akibat tanpa kawalan sosial di petempatan pekerja kilang dan pengaruh budaya baharu itu akhirnya turut memberikan kesan kepada keluarga sesekali pulang kampung. Shahnon melakarkan hal itu dalam novelet TIVI (1995). Ia mengisahkan kejutan budaya sebuah keluarga kecil petani di Kedah iaitu pasangan  Jeha dan Mat Isa, yang mempunyai tiga orang anak, iaitu (dua perempuan, Chah dan Hasanah) dan seorang lelaki, Hassan.

Anak sulong, Chah bekerja sebagai operator pengeluaran (sebutan lazim ialah Minah Kilang) di Sungai Petani. Kilang itu adalah kilang membuat skru. Chah tidak melupakan tanggungjawabnya kepada keluarga, dan setiap bulan menitipkan sebahagian wang gajinya untuk membantu keluarga. Dan dalam masa yang sama, Chah mula berhadapan dengan ‘kejutan budaya’, mula terdedah dengan pergaulan bebas dan nilai-nilai yang bertentangan tradisi hidup sebagai gadis kampung.

Chah turut menghadiahkan sebuah televisyen untuk menjadi alat menghabiskan masa lapang keluarga. Kehadiran peti televisyen ikut memberikan kesan dan perubahan budaya orang tua Chah dan adik-adiknya. Mat Hasan pula sanggup menggunakan sejadah sebagai lapik tv. Di tv ada macam-macam hal yang menarik sehingga berjaya mempengaruhi seorang bapa,  Mat Isa sendiri

Akibat ada aksi romantik atau separa lucah (di filem atau drama import) yang ditayangkan, Mat Isa mula ‘rasa cergas’ sehingga memperkosa anaknya sendiri, Hasanah. Mat Isa juga hampir berzina dengan Chah apabila anak sulong itu pulang bercuti, kerana budaya yang dibawa masuk itu adalah cukup terbuka, termasuk cara Chah berpakaian.

Novelet tersebut cuba menyampaikan semula makna ‘berpesan-pesan untuk kebenaran’ yang menjadi teras kehidupan beradab dan berperibadi mulia dalam Islam. Namun, tradisi itu semakin luntur, dan kelunturan itulah menyebabkan berlakunya kebejatan sosial dalam masyarakat. Kita tidak boleh menafikan, semakin ramai anak-anak Melayu yang beragama Islam (kerana lahir dalam keluarga Islam) semakin rosak akidah dan amalan budaya hidup.

Ada banyak faktor yang menyumbang kearah itu, namun yang cukup mendasar ialah kefahaman, penghayatan dan praktis nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian. Ertinya, secara teori memang Islam merupakan konsep yang cukup berkesan dan berwibawa dalam menangani kehidupan, namun pada praktisnya, banyak kelemahan dan kekurangan sehingga kebejatan sosial dalam kalangan generasi Islam cukup membimbangkan.

Aktiviti jenayah seperti penipuan, mencuri dan kini jenayah serta penipuan internet (scammer, pishing, hoax, buli siber,  pelaburan palsu dan sebagainya berkembang. Lebih menarik lagi, penipuan itu turut menggunakan selebriti, agamawan, tokoh politik bagi mempengaruhi orang awam, sebagai sebuah bentuk badan pelaburan yang berintegriti dan patuh syariah. Hasilnya, bukan sedikit pelabur telah ditipu dan wang hilang begitu sahaja, sehingga ada yang tertekan kerana tiada lagi simpanan atau menanggung hutang yang besar.

Dalam membicarakan perihal dan perilaku umat Islam, kita temui banyak kisah duka bagaimana umat Islam turut bersubahat menipu, sehingga cukup berani mempromosi sesuatu yang tidak wujud dan tidak menerusi media sosial, hanya kerana dibayar komisyen dan upah. Maknanya, perihal material sudah melangkaui jauh daripada hanya sebagai alat bagi membeli keperluan asas, kepada wang menjadi segala-galanya.

Hal ini turut memperkembangkan peranan pempengaruh atau influencer, kerana mereka ini sebenarnya ditaja atau dibayar untuk membuatkan sesuatu rekomendasi (recommendation) terhadap sesuatu produk, walhal mereka sebenarnya belum pernah menggunakannya (secara kerap dan lazim). Bahkan, produk yang dipromosikan itu hanya baru muncul di pasaran, tetapi sudah digembar-gemburkan ‘sangat hebat’. False advertising message.

Dunia menjadi semakin komersial, dan semua barang boleh dikomersialkan, termasuk ‘arca’ diri sendiri seumpama model, jika mempunyai wajah yang cantik (kurang cantik pun tak apa, sebab boleh disolek oleh pesolek professional), tubuh yang menggiurkan (lansing atau sedikit gempal), kulit yang putih, dan tentunya sempurna sifatnya (tidak cacat). Tidak hanya dalam kalangan wanita, lelaki juga ada peluang jika bertubuh sasa, macho dan kadangkala sedikit aura keperempuanan.

Dunia komersial telah menyebabkan pelbagai profesyen berkembang, namun sebahagian besar profesyen tidak menuntut kepada pemekaran budaya hidup Islam, walaupun cuba mempromosikan produk muslimah (jubah, tudung, kosmetik dan sebagainya). Secara langsungnya, promosi tersebut membawa kepada ego, dan merasa lebih cantik daripada orang lain. Konsep berhias untuk suami (muhrim) semakin hilang, kerana tujuan berhias ialah untuk menarik perhatian di luar rumah, tatkala hadir majlis kenduri perkahwinan, hari jadi mahupun ke tempat-tempat tumpuan awam.

Kesemuanya telah menyebabkan jati diri sebagai umat Islam kian terhakis. Sikap individualistik semakin menebal dan kawalan sosial secara tidak langsung semakin berkubur. Natijahnya, pesan Islam yang cukup menarik dan berkesan “berpesan-pesan untuk mengerjakan kebaikan’ menjadi semakin luput bahkan timbul pula ketakutan baharu apabila menegur perbuatan lepas bebas.

Hal sedemikian bukan sahaja berlaku dalam kalangan generasi muda, bahkan generasi tua turut menjadi pelantun cerita-cerita gosip dan persepsi yang berkembang menerusi media, termasuk media sosial. Generasi kini lebih mengenali selebriti daripada tokoh-tokoh agama yang benar-benar berjuang di atas jalan dakwah.

Dalam keadaan tertentu, mereka lebih percayakan agamawan segera yang muncul dalam media sosial, yang kadangkala membawa tafsiran dan muatan mesej yang tidak kurang dengan muslihat, termasuk aliran-aliran kepercayaan yang bertentangan dengan pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang menjadi kerangka dasar Islam di Malaysia.

Agamawan yang menceburi kancah politik juga kadangkala menjadi semakin larut dengan kepentingan mendapatkan kuasa, mempertahankan kuasa sehingga menampakkan ciri-ciri dualism pendirian, yang saling bercanggah. Ini dapat dilihat dengan fenomena bahawa seseorang itu secara automatiknya menjadi kafir bila bersahabat dengan orang kafir. Sedangkan, dalam Islam, seseorang itu dikatakan kafir apabila kufur, yakni meninggalkan kewajiban dan keyakinannya kepada Allah SWT berubah, serta tidak lagi bersyahadah.

Oleh kerana munculnya adu domba, maka pelbagai unsur dan kata-kata yang bersifat fitnah mengambil ruang meraih kepercayaan dalam kalangan masyarakat awam. Fitnah menjadi semacam amalan yang wajib jika ingin menjelaskan bahawa kelompok sendirilah lebih baik daripada pihak lawan. Fitnah juga digunakan untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang selain merosakkan reputasi dan imej sesebuah organisasi.

Malangnya, fitnah menjadi menu harian, dari pagi sampai ke malam. Sedangkan mereka tahu, fitnah itulah menjadi punca perpecahan dan tragedi yang sangat kejam dalam sejarah Islam, termasuk fitnah sehingga terbunuhnya Utsman bin Affan, khalifah Islam ketiga, yang telah dijamin ‘syurga’ oleh Nabi Muhammad SAW.

Faham sekte, atau kepuakan cukup membuak-buak dalam persekitaran politik moden yang beracuan politik identiti. Ertinya, mesej-mesej berbentuk ujaran kebencian menjadi tetuang yang cuba ‘memanggil orang awam’ untuk merosakkan sistem, kerana peniupnya merupakan orang yang kecewa dan cukup kuat berfantasi.

Apabila kecewa, mengkritik sistem tetapi jika di sebaliknya, sistem yang sama dipuji melangit. Misalnya, setelah dijatuhkan hukuman kerana rasuah dan salah guna kuasa, undang-undang dan sistem mahkamah dicemuh sebagai ‘konspirasi’ atau ‘pembunuhan karakter’, tetapi jika mendapat DNAA (bebas tanpa dilepaskan, yakni boleh dibicarakan semula jika ada bukti atau petunjuk baharu), memuji sistem itu sebagai adil dan saksama. Neraca yang digunakan cukup berbeza dan persepsi sangat bercanggah, apabila ‘musuh’nya turut mendapat DNAA.

Apabila mengumpul kekayaan menjadi matlamat hidup, maka itulah yang dicari jalannya bagaimana untuk mendapatkannya, biarpun kaedahnya salah atau bertentangan dengan undang-undang. Kadangkala, di sisi peraturan (undang-undang) tidak ada masalah, namun dari segi moral adalah salah, ia tetap dilakukan kerana prinsip moral itu boleh diubah.

Sesuatu nilai moral akan bertukar bila masyarakat berjaya menormalisasikannya. Ini bermakna, moral dan agama mempunyai persimpangan berbeza dalam sesetengan keadaan, dan dalam keadaan tertentu boleh hadir bersama, atau saling melengkapi. Namun kriteria agama mestilah lebih berwibawa ketimbang pertimbangan moral. Sebabnya, sebahagian makna moral merupakan refleksi agama.

Contohnya, bagi setiap muslim, bersalaman dengan kelainan jantina (bukan muhrim) adalah dilarang. Namun dari segi moral, ia dibolehkan. Jadi, dalam keadaan-keadaan tertentu, jika perlu bersalaman di atas kelainan jantina, Islam masih boleh dengan syarat tangan yang terbabit itu berlapik (pakai sarung tangan atau dialas dengan kain), dengan syarat, salaman itu tidak menimbulkan emosi berahi. Ia sebagai satu bentuk formaliti yang terbatas. Sebagai memenuhi keperluan majlis, yang tidak dapat dielakkan.

Anehnya, walaupun setiap orang Islam sedar bahaya fitnah, salah guna kuasa dan rasuah, secara jelasnya mereka turut mencabar hukum-hukum Islam berkaitan dengan perlakuan tersebut. Setiap umat Islam misalnya tahu bahawa mereka yang melakukan rasuah akan menerima azab yang pedih di padang masyar, tetapi umat Islam jugalah yang banyak menerima rasuah berdasarkan kes-kes yang berjaya dikesan oleh SPRM.

Terbaharu ialah bagaimana sekumpulan pegawai imigresyen bersengkongkol dengan pihak yang membawa masuk pendatang asing di KLIA sehingga tanpa dokumen yang sah pun mereka boleh lepas. Kakitangan imigresyen membuka laluan khas untuk mereka setelah mendapat tahu, penerbangan yang membawa pendatang asing telah mendarat. Mereka (pekerja imigresyen) dibayar upah yang lumayan untuk melepaskan setiap pendatang yang masuk tanpa dokumen yang sah.

Cerita lain ialah bagaimana kakitangan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) melindungi sindiket pemerdagangan manusia, kegiatan pelacuran, rumah-rumah hiburan yang beroperasi tanpa lesen dan lebih masa, kegiatan kumpulan samseng, dan perjudian. Aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang it uterus berkembang dan tidak dapat dihapuskan, kerana ia dilindungi oleh mereka yang bertanggungjawab menjalan penguatkuasaan. Mereka dilindungi, kerana pegawai penguat kuasa  mendapat habuan yang lumayan.

Kita juga mungkin rasa cukup marah apabila berlakunya ketirisan dana awam yang berlaku dalam Projek Jana Wibawa. Ia berlaku kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadi ‘pelincir’ dalam mengagih-agihkan projek tersebut, sehingga muncul nama-nama yang tidak sepatutnya ada dalam transaksi sedemikian.

Jana Wibawa untuk membantu kontraktor Bumiputera yang terkesan oleh pandemic COVID-19, tetapi beberapa nama individu bukan Bumiputera dan syarikat bukan Bumiputera ada yang meraih nilai kontrak yang cukup besar. Sebabnya, ada orang Melayu yang menjadi ‘runner’, yakni pelobi dengan dijanjikan komisyen yang cukup besar.

Itulah maknanya jika penghayatan Islam tidak menjadi budaya yang mengakar dalam jiwa umat Islam, walaupun pelakunya adalah seorang anak tok guru (ulama), pernah mengajar agama di pondok ataupun di sekolah-sekolah agama, pernah menjadi iman sembahyang berjemaah, demi kerana pesona dunia sanggup meruntuhkan apa yang diketahuinya biarpun bertentangan dengan kehendak Islam, yakni larangan yang diberitahu oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an dan dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai bentuk pengajaran dan contoh teladan.

Atas kerakusan dan keserapahan falsafah yang diyakini telah menyebabkan umat Islam dilihat cukup kontradik antara tindakan dan keyakinan teoritikal. Itulah sebabnya Islam sentiasa menjadi ‘lawan’ dan juga serangan oleh peradaban lain, sebabnya, setiap orang akan membuat penilaian dan mengukur apa yang dilakukan oleh umat Islam, bukan apa yang semata-mata apa yang diajarkan oleh Islam itu sendiri.

Isu kebersihan turut menjadi sebab musabab bagaimana Islam dipandang serong oleh masyarakat bukan Islam, walhal secara teorinya, Islam sangat mementingkan kebersihan. Hal ini boleh sahaja kita sendiri alaminya bila berkunjung ke rumah-rumah ibadat umat Islam. Pengalaman yang cukup menyebabkan ‘orang ketawa’ ialah setiap kali berada di persekitaran tersebut, tandas berbau, air mengalir lesu, longkang tersumbat, dan tikus berkeliaran sana sini.

Pun pernah kita mendengar bahawa Islam ada di negara barat tetapi nilai kehidupan yang bercanggah dengan Islam sangat membarah di negara Islam sendiri, seperti kebersihan, amalan-amalan baik dan menjaga kelestarian alam sekitar. 

Kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi.  Kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.  Naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris

Soalnya, kenapa ada tikus lompat sana lompat sini? Jawabnya, kerana persekitaran rumah ibadat tidak bersih, ada sisa-sisa makanan yang tidak dibuang sepenuhnya.

Semuanya itu mempengaruhi persepsi, termasuk persepsi umat Islam sendiri yang sesekali singgah untuk bersembahyang jemaah di situ. Kita sangat bergantung kepada pekerja pembersihan, walhal sepatutnya kita sendiri wajib melaksanakan tanggungjawab tersebut, apabila terjumpa sampah, kutip.

Apabila melihat longkang tersumbat berikhtiar bagaimana untuk membolehkan air itu lepas keluar. Jika ada mangkuk tanda tidak ditarik picunya, maka kita bantu untuk mengepam keluar najis itu ke salurannya.

Kesemua kecenderungan perilaku, pemikiran dan ungkapan yang memerihalkan umat Islam itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam diri umat Islam itu sendiri. Bagi Sultan Nazrin, menyebabkan terdapat jurang yang besar antara teori dan praktis,

Oleh kerana itu, saran baginda, “menjadi tugas besar kita yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai khalifah untuk bersifat berani memamah realiti dan tidak bersifat defensif yang akan menyebabkan umat Islam terus berada dalam budaya penafian; di sebaliknya kita hendaklah memberikan fokus kepada kandungan daripada rangka, mementingkan ‘outcome’ daripada ‘output’,  mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.”

Secara statistiknya, jumlah penganut Islam di seluruh dunia adalah lebih besar daripada penganut-penganut agama lain, kecuali penganut Kristian. Namun, dalam masa beberapa dekad lagi, jumlah penganut Islam dijangka akan menyaingi jumlah penganut Kristian, disebabkan oleh faktor kelahiran semula jadi yang lebih tinggi dalam kalangan umat Islam, jumlah masyarakat barat beralih kepada Islam dan pendirian masyarakat barat menolak agama (sama ada menjadi ateis atau agnostik dan  free thinker).

Namun, bagi Sultan Nazrin Shah, kekuatan atau kegemilangan Islam bukan hanya terletak pada kunatiti semata, tetapi “…umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan kaedah menakut-nakutkan ummah, sehingga ummah mempunyai prasangka – mempunyai prejudis, tidak selesa – merasakan diri sebagai makhluk asing (alien) apabila berada dalam persekitaran yang dihadiri atau dikelilingi oleh bukan Islam.

Titah baginda lagi, “Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata, melalui dukungan para penganutnya. Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.  Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya.

“ Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang di uar-uarkan, atau apa yang dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah.”

Baginda yang merupakan lantikan Majlis Raja-Raya sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh selama dua tahun (2024-2026) menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj yang tamat tempoh menerajuinya pada 9 Mac 2024.  .

Dalam titah yang sama, Sultan Nazrin turut mengharapkan MKI menjadi “jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah lagi pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi hingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan ummah berpecah..”

Titah itu menunjukkan umat Islam wajib bersatu, kerana perpaduan (jemaah) merupakan tonggak penting yang menunjang makna solidarity dan kekuatan Islam, walaupun wujud perbezaan pendirian atau pendapat mengenai sesuatu perkara. Ianya dapat disatukan jika perbezaan pendapat diraikan bersama selagi tidak keluar daripada syahadah, kiblat dan kitab zuci yang sama.

Perbezaan ideologi politik bukanlah garis pemisah yang sepatutnya terjadi, sebaliknya, titah Sultan Nazrin, perlu diselesaikan menerusi syura, kerana : “Syura merupakan pendekatan pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam kerana syura membolehkan pemerintah mencari penyelesaian dan mencapai keputusan yang melibatkan rakyat dalam semangat muafakat dan perundingan.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memperkenalkan dan mengamalkan konsep syura sewaktu melaksanakan pemerintahan dan dalam usaha membangunkan ummah dan membina tamadun.

Jelaslah, umat Islam kembali memahami dan menghayati secara cermat makna-maka yang ada di dalam al-Qur’an, teladan Nabi Muhammad SAW dan kebijaksanaan para ulama dalam merungkaikan sesuatu perkara dengan ijtihad yang berterusan menjadikan Islam sebagai agama yang paling cepat berkembang, namun, dalam masa yang sama kerana melihat kepada kepentingan peribadi atau kelompok, ia tidak memberikan makna yang cemerlang dalam kebangunan Islam selepas runtuhnya empayar-empayar Islam yang terakhir, Empayar Utsmaniah pada tahun 1924.

Jadi, seruan membina peradaban Islam perlulah dilaksanakan dengan menyuntik semula semangat al-Qur’an kerana kandungannya cukup lengkap untuk memandu setiap umatnya menjadi umat Islam yang dinamik, berkeperibadian unggal dan penggerak tamadun baharu yang lebih baik, sebuah peradaban yang kental dengan nilai-nilai dan penghayatan agama.

Atas pentas (latar sejarah) tersebut, Sultan Nazrin optimis bahawa kegemilangan Islam masa hadapan sangat bergantung bagaimana umat Islam itu sendiri meraihnya. Ini kerana legasi Islam telah menunjukkan bahawa Islam mempunyai kekuatan yang cukup besar, tetapi apa yang penting ialah membentuk naratif masa hadapan dengan “ merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif “ dan merintis “ semangat dan naratif realis dan futuris”

Untuk merealisasikan cita-cita tersebut, sudah sampai masanya umat Islam bersatu dengan menajamkan harapan baharu itu, bukan lagi menjadi masyarakat pengguna sebaliknya mengorak langkah lebih professional menjadi kelompok pencetus atau pelopor masa depan (teknologi, ilmuan, pembaharu dan sebagainya). Oleh itu, budaya ilmu wajib dilaksanakan atau dibudayakan secara berterusan, kerana ilmu itulah yang menjadi teras kepada kemunculan sesebuah tamadun dan peradaban.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.