“Dia tinggalkan saya dan anak-anak… satu sen pun dia tak bagi. Nafkah? Tak pernah masuk. Bila saya minta, dia kata saya tak bersyukur.”
Begitulah kisah ramai wanita yang berstatus ibu tunggal. Dengan bekas suami yang sangat culas dengan hal nafkah anak-anak, dan sayangnya ia bukan satu kes terpencil. Hari ini, ribuan wanita Islam di negara kita terpaksa memikul beban hidup seorang diri oleh kerana suami atau bekas suami yang gagal menunaikan nafkah.
Adakah ini ajaran Islam? Atau hanya perasaan dendam seorang lelaki Muslim kepada bekas isterinya?
Statistik Mahkamah Syariah menunjukkan peningkatan aduan terhadap suami culas. Ada yang bertahun-tahun tidak membayar satu sen pun kepada isteri dan anak. Lebih menyedihkan, ada yang hidup mewah, dengan melancong, membeli kereta, sambil menunjuk-nunjuk di media sosial – tetapi enggan beri nafkah kerana dendam atau ego. Trend ini merupakan krisis tanggungjawab dari golongan lelaki, yang wujud di dalam masyarakat kita.
Dalam Islam, nafkah adalah wajib, bukan pilihan bagi mereka yang bergelar suami atau bapa. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 233, yang bermaksud:
“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” - (Surah Al-Baqarah ayat 233)
Nabi SAW juga bersabda:
“Cukuplah seseorang dianggap berdosa jika dia menahan nafkah terhadap orang yang berada di bawah tanggungannya.” - (H.R. Muslim)
Maka jelaslah bahawa hal nafkah itu bukan soal wang semata-mata, tetapi merangkumi soal amanah, akhlak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan kepada kaum lelaki. Memberikan nafkah kepada orang yang menjadi tanggungjawabnya wajib dilakukan oleh orang yang beriman (Q.2:267). Banyaknya nafkah yang diberikan hendaklah menurut kemampuan (Q.65:7). Dalam al-Quran surah Saba’ ayat 39 dinyatakan bahawa Allah S.W.T. akan menggantikan harta yang telah didermakan.
Oleh kerana kegagalan sesetengah lelaki melunaskan tanggungjawab nafkah ini, sebahagian aktivis feminis sering menyebarkan naratif bahawa wanita Muslim ditindas oleh agama mereka sendiri. Mereka mendakwa hukum-hakam Islam mengenai nafkah, talak, warisan atau poligami sebagai simbol ketidakadilan patriarki.
Namun adakah tuduhan itu benar, atau feminis Islam yang sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh? Islam tidak pernah menindas wanita. Bahkan, Islam datang untuk mengangkat martabat wanita dalam masyarakat yang pada masa itu langsung tidak memberi nilai kepada mereka.
Dalam surah An-Nahl ayat 97, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik…” - (Surah An-Nahl, Ayat 97)
Nabi Muhammad SAW tidak pernah memandang rendah kepada wanita. Baginda menyantuni isteri-isterinya, dan berdiskusi dengan mereka. Bahkan tradisi keilmuan Islam mengangkat wanita sebagai perawi hadis dan tokoh ilmu, seperti Saidatina Aisyah RA.
Masalah culas nafkah yang berlaku hari ini bukan kerana ajaran Islam, tetapi kerana sikap umat Islam yang bertindak mengikut emosi dan meninggalkan apa yang diajar oleh agama. Mereka inilah yang bersalah, bukan agamanya.
Undang-undang Syariah negara juga mengiktiraf hak wanita dalam isu nafkah. Melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atau Akta 303: Seorang isteri berhak menuntut nafkah semasa dalam perkahwinan (Seksyen 59) Bekas isteri berhak kepada nafkah edah dan mut’ah (Seksyen 60) Tuntutan nafkah anak-anak juga dibenarkan (Seksyen 72) Suami yang gagal boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islam dan sistem perundangan Syariah bergerak seiring untuk melindungi wanita.
Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Bagi orang laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” - (Surah An-Nisa’, Ayat 32)