Dari segi bahasa, hak (Ar.: haqq) boleh bermaksud kebenaran, kepastian atau ketetapan. Para ulama mentakrif hak sebagai suatu keistimewaan yang dilindungi. Ertinya, apabila seseorang berhak ke atas sesuatu, maka tidak ada seorang pun yang boleh membatalkan atau mempersoalkannya. Hak juga ditetapkan dalam ajaran agama, seperti ketentuan untuk menjaga keselamatan diri. Dengan demikian, sumber hak itu bukan manusia atau alam, melainkan Allah S.W.T. Agama menjamin hak tersebut bukan sahaja kerana sifatnya yang asasi, tetapi juga merupakan sebahagian daripada ajaran agama itu sendiri. Prof. Ali al-Khalif, ulama fikah dari Mesir, mengatakan bahawa hak merupakan manfaat yang diperoleh menurut ketentuan syariat Islam dan hekndaklah dihormati serta digunakan sesuai dengan tuntunan agama.
PEMILIK HAK
Jika dilihat dari segi pemiliknya, hak dapat dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama ialah hak Allah S.W.T., iaitu segala bentuk kegiatan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., misalnya ibadat, atau mencapai kebaikan umum. Hak Allah S.W.T. disebut juga hak masyarakat. Kedua ialah hak hamba, iaitu hak yang berkaitan dengan kepentingan individu. Disebabkan hak itu berkaitan dengan individu, maka hak itu boleh dipindahkan, dibatalkan atau diwariskan kepada orang lain. Ketiga ialah hak yang berkaitan dengan hak Allah S.W.T. serta hak hamba, misalnya ha katas keselamatan diri. Dalam hal ini hak Allah S.W.T. dilihat dari sudut bahawa ancaman terhadap diri akan menimbulkan kekacauan dalam masayarakat, sedangkan hak hamba dilihat dari sudut bahawa manfaat pemeliharaan diri itu kembali kepada setiap individu.
PENGGUNAAN HAK
Hak hendaklah digunakan sesuai dengan ketentuan agama dan prinsip kebaikan. Para ulama menyebut dua prinsip dan penggunaan hak. Pertama, hak tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Dalam Islam, hak seseorang tidak bersifat mutlak, tetapi dibatasi oleh hak orang lain. Kedua, dalam penggunaan hak hendaklah diambil kira kepentingan masyarakat umum. Oleh sebab itu, dalam menggunakan haknya, seseorang hendaklah mengambil kira sama ada haknya dapat mewujudkan kebaikan atau mendatangkan kemudaratan.
HAK MILIK
Kepemilikan seseorang terhadap sesuatu mempunyai keistimewaan kerana orang itu berhak untuk tidak dipersoalkan atas kepemilikannya itu. Sebagai pemilik hak, dia boleh memindahkan hak miliknya itu kepada orang lain dengan cara yang dibenarkan agama, seperti jual beli, hibah, sedekah, wakaf dan sebagainya. Sudah tentu, hak yang boleh dipindahkan itu adalah hak yang bersifat peribadi dan betul-betul menjadi miliknya. Seseorang tidak boleh memindahkan hak sesuatu yang menjadi milik masyarakat umum.
Dalam hidup, hak dan kewajipan umpama dua sisi pada satu mata wang yang tidak dapat dipisahkan. Seseorang tidak boleh hanya menuntut hak, sedangkan dia tidak melakukan kewajipannya. Jika seseorang berasa berhak untuk diperlakukan dengan baik, maka dia juga berkewajipan untuk memperlakukan orang lain dengan baik. Manusia memang perlu mengetahui haknya, tetapi yang tak kurang penting, dia juga mestilah mengetahui kewajipannya.
- Air merupakan contoh hak Allah S.W.T. kerana berkaitan dengan kepentingan umum, mengandungi manfaat besar dan tidak dikhususkan kepada invidu tertentu.
- Jalan raya, iaitu kaedah pengangkutan awam dan kemudahan awam lain digunakan untuk manfaat orang ramai. Pejalan kaki juga diberi hak untuk melintas jalan melalui lintasan zebra, manakala pemandu kenderaan hendaklah berhenti dan memberikan laluan. Seseorang tidak boleh menggunakan haknya jika memudaratkan orang lain. Dengan kata lain, hak hanya boleh digunakan apabila tidak mengganggu hak orang lain.
- Ulama sangat menggalakkan agar umat Islam terlebih dahulu menunaikan kewajipan daripada menuntut hak.
