MANUSIA BERTOPENG SYAITAN

MANUSIA BERTOPENG SYAITAN

Dunia ini merupakan ujian Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa. Semakin hari, ia semakin dipenuhi dengan topeng dan kemunafikan, bukan dengan wajah manusia yang jujur dan yang benar. Inilah realiti yang pahit, namun tetap menjadi sesuatu yang terpaksa dihadapi dengan tabah.

Mungkin pernah terlihat antara kenalan, dalam bicara terukir senyuman, berkongsi makanan, dan gelak ketawa bersama-sama. Namun, sebaik sahaja memalingkan pandangan ke belakang, kebenaran yang berbeza muncul. Gelak ketawa dan senyuman, bertukar menjadi kutukan, kritikan, tohmohan dan adu domba.

Sesetengah orang akan kekal sebagai rakan selagi mana mereka mendapat manfaat daripada hubungan dengan kita. Sebaik sahaja kita menghadapi kesukaran, sebaik sahaja kita jatuh, mereka akan hilang seperti bayang-bayang di waktu senja. Mereka senyap dan lenyap dalam kegelapan malam. Entah mati atau masih hidup.

Dunia ini bukan diisi dengan orang-orang baik sepenuhnya. Dengan zaman yang semakin materialistik, semakin ramai golongan yang hanya menganggap hubungan antara manusia adalah satu strategi untuk menguntungkan diri sendiridan keluarga. Di sebalik topeng senyuman yang dipakai, mereka sentiasa merancang untuk mengambil kesempatan atas diri kita. Ingin mengambil keuntungan peribadi,

Ada yang tersenyum di hadapan, tetapi menghunus lidah tajam di belakang. Ada yang berkongsi makan dan ketawa, tetapi dalam diam memijak kita saat kita jatuh. Mereka tidak mempedulikan kita. Inilah jenis manusia yang bertopengkan syaitan laknatullah. Allah SWT telah memberi peringatan jelas dalam Surah Al-Baqarah ayat 9:
“Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar.” - (Surah Al-Baqarah, ayat 9)

Di zaman media sosial, setiap mereka yang bertopeng berlumba-lumba untuk menunjukkan diri mereka sebagai manusia terhebat, namun realitinya sangat berbeza. Mereka menipu dengan penampilan, watak kekayaan, namun langsung tiada kemahiran, kecuali kemahiran untuk menipu. Kemahiran adu domba.Kemahiran mengambil kesempatan atas kejujuran atau kelemahan orang lain.

Manusia bertopeng dan licik ini bukanlah fenomena baharu zaman ini. Mereka telah wujud sejak dahulu lagi. Dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari, Nabi SAW bersabda: “Sejahat-jahat manusia adalah mereka yang memiliki dua wajah. Dia datang kepada orang lain dengan wajah yang lain, dan dia pergi kepada orang lain dengan wajah yang lain pula.” - (Sahih al-Bukhari).

Imam al-Nawawi menafsirkan orang sebegini sebagai golongan munafik — mereka tidak pernah jujur dengan mana-mana pihak, hanya memanipulasi untuk kepentingan peribadi.  Untuk mengenyangkan perut mereka sahaja.
Maka apakah yang harus kita lakukan?

Pertama sekali, jangan biarkan pengkhianatan menjatuhkan kita. Jadikan pengalaman dengan manusia bertopeng sebagai pelajaran paling berharga. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Taubah ayat 51:
“Katakanlah: Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada-Nya orang-orang beriman bertawakal.” - (Surah Al-Taubah, ayat 51)

Kedua, percayalah kepada tindakan, bukan janji dan kata-kata manis. Jangan mudah tertipu dengan senyuman manja atau para pengampu. Manusia bertopeng itu selalunya berbicara indah, lemah lembut, tapi niatnya hanya untuk menipu.

Ketiga, kecilkan lingkungan kepercayaan. Lebihkan diam, banyakkan pemerhatian. Kerana ketenangan lebih berharga daripada berkawan dengan orang yang berpura-pura.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadith yang bermaksud: “Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” - (H.R. al-Bukhari 6133 dan Muslim 63)

Maka berhentilah mengharapkan kesetiaan daripada mereka yang tidak tahu erti setia. Berhentilah merayu kasih daripada mereka yang hatinya dipenuhi tipu daya. Walaupun pahit untuk ditelan, tetapi ia adalah kebenaran yang akan membebaskan jiwa kita. Jangan biarkan manusia bertopeng untuk menipu kita lagi. Semoga Allah SWT memberi kita sakeenah di atas muka bumi-Nya, dan jauhkan kita daripada mereka yang memiliki dua wajah.

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu”. (Surah al-An'am 112) 

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

032541
Hari ini: 110
Minggu Ini: 110
Bulan Ini: 6,337
Tahun Ini: 32,541
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.