MENGHAYATI KALIMAH TAYYIBAH

MENGHAYATI KALIMAH TAYYIBAH

MASYARAKAT Melayu yang diikat dengan nilai-nilai Islam sentiasa menjaga tutur kata, kerana mereka percaya dengan menggunakan bahasa dan perkataan yang baik (kalimah tayyibah) akan membentuk masyarakat yang bermoral, beretika dan berakhlak mulia.
 
Islam amat melarang apa sahaja yang bersifat buruk termasuk mengeluarkan kata-kata kesat. Mereka yang gemar menggunakan kata-kata kesat adalah mereka yang amat gemar mengumpul dosa. Orang yang gemar mengumpul dosa adalah mereka yang sengaja menempah jalan ke neraka.
 
Kata-kata kesat yang diucapkannya akan menyebabkan berlakunya sakit hati. Dari sakit hati akan menyebabkan terjadinya pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Malah, jika pemimpin gemar bercakap dalam bahasa kesat, beliau akhirnya akan dilihat mati beragan kerana semakin lama semakin kehilangan sokongan. Mereka yang terus menyokong pemimpin tersebut hanyalah terdiri dari mereka yang sempit akal dan tidak memahami hakikat kehidupan beradab.
 
Pepatah Melayu penuh beradab. Bila nak menyindir orang yang suka bertutur dalam bahasa yang kesat, ada nasihat yang jelas, iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Orang yang sentiasa membudayakan dirinya sedemikian merupakan orang yang tidak dapat menjalinkan perhubungan yang ramah dan mesra dengan orang lain.
 
Nabi Muhammad SAW sentiasa memberikan teladan agar sentiasa menjaga bahasa lisan (lidah). Dan orang Melayu turut menyambung teladan itu dengan membentuk kerangka percakapan, jangan mengamalkan budaya lidah bercabang, berkata manis tetapi hati busuk, tanam tebu di bibir dan sebagainya. Ini membuktikan orang Melayu amat peka dengan pemilihan kata-kata, kerana kata-kata itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu dilihat berbudi bahasa ataupun berperangai buruk.
 
Ini membuktikan orang Melayu amat peka dengan pemilihan kata-kata, kerana kata-kata itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu dilihat berbudi bahasa ataupun berperangai burok.Orang yang berperangai buruk sentiasa menggalakkan orang lain bermusuhan. 
 
Apabila ada orang menyifatkan orang lain sebagai "anak babi", "baghal", "bahlol" dan sebagainya, secara automatiknya telah memberikan kesimpulan bahawa penutur itu sendiri merupakan mereka yang berjiwa kacau. Dia sudah tidak boleh memikirkan secara berhemah bagaimana untuk memecahkan persoalan, dia telah buntu dek dendam kesumatnya kerana hajatnya terhalang. Maka bagi menutupi resah dan gundah akibat kekecewaan, dengan menggunakan tutur kata yang kasar dan buruk, seakan-akan memberikan sedikit kelegaan kepadanya.
 
Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: Belum lurus keimanan seseorang itu sehingga lurus hatinya, dan belum lurus hatinya sebelum lurus lidahnya. Seseorang tidak boleh masuk syurga selagi ia belum dapat berbuat baik dengan jiran-jirannya."
 
Orang yang menggunakan kata-kata kesat dan kasar sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalutan jiwa. Bahasa yang kesat mencerminkan jiwa penuturnya yang dipenuhi dendam kesumat dan amat kacau. Dalam Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain."
(Riwayat NasaI, Hakim dan Ibn Hibban)
 
Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah."
(Riwayat Tarmizi)
 
"Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya."
(Riwayat oleh Ibn Abi Dunia dan Abu Naim dari hadis Abdullah bin Amru)
 
Jabir bin Samrah r.a. menyatakan; Aku pernah duduk disamping Rasulullah s.a.w. sedang di hadapanku ada bapaku, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya kata-kata kotor dan berkata-kata kotor bukan dari Islam, dan sebaik-baik keIslaman manusia adalah yang paling baik akhlaknya."
(Riwayat Ahmad)
 
Demikian juga dalam beberapa firman Allah di dalam al-Quran yang melarang mencarut yang bermaksud:
 
Ucapkanlah kata-kata yang baik sesama manusia.
(Surah al-Baqarah: 83)
 
Allah berfirman lagi:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, kerana barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.
(Surah al-Hujurat: 11)
 
Seorang Badwi berkata kepada Rasulullah: Aku mahu menjadi orang yang paling dihormati. Jawab Rasulullah s.a.w. :
"Jika kamu tidak mengata orang lain atau sebarang makhluk maka kamu adalah orang yang paling dihormati."
(Riwayat Imam Ahmad)
 
Perkara yang diucap oleh manusia dengan lidah secara sedar atau tidak adalah timbul daripada budinya. Budi itu adalah  keadaan rohani manusia atau sifat batinnya. Di sinilah segala kalimah-kalimah yang mengalir dari mulut dan lidah adalah ungkapan dari makna yang terkandung dalam batin kita. Lantaran itu bahasa manusia dipengaruhi oleh budi dan pekertinya. Dalam hal ini memilih kata-kata yang baik adalah termasuk budi pekerti yang tinggi.
 
Demikian juga contoh teladan percakapan wahyu Allah kepada nabi-Nya sering memakai bahasa terpilih. Kalimah-kalimah kotor hanya lahir dari mulut orang yang kotor hatinya, orang kotor tidak menghasilkan yang bersih, dan orang baik tidak akan menghasilkan yang kotor. Orang yang kotor ialah orang yang imannya kosong di dalamnya. Justeru, kekosongan iman itu akan diisi oleh sifat benci dan dendam oleh iblis.
 
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Apabila seseorang berkata: Celakalah mereka! Maka orang yang berkata inilah yang paling celaka."
(Riwayat Muslim)
 
Ibrahim bin Masirah mengatakan: Dikatakan pada hari kiamat nanti mereka yang suka berkata kotor akan didatangkan dalam bentuk anjing. Umat Islam yang berakhlak seharusnya mencegah diri dari memaki hamun orang dengan kata-kata kotor atau mencarut. Itulah tanda keluhuran akhlak. Ia harus sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan bersungguh-sungguh menghina roh keimanan agar menjauhi dari perbuatan-perbuatan tersebut.
 
Ibn Masud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Mencari maki seorang Muslim termasuk perbuatan fasik, membunuhnya termasuk kafir."
(Muttafaq Alaih)
 
"Sesungguhnya Allah sangat murka kepada pelaku perbuatan keji dan kotor lidah."
(Riwayat Tabrani)
 
Sifat-sifat hina tersebut di atas tidak sepatutnya ada pada seseorang muslim yang terpelihara oleh agamanya. Ia seharusnya mencontohi perilaku Rasulullah s.a.w. yang selama ini hidupnya tidak pernah melontar kata-kata yang menyakitkan pendengaran atau melukai perasaan orang lain.
 
Berkata Anas bin Malik r.a. :
Tidak pernah Rasulullah s.a.w. melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mencaci maki. Ketika seseorang mencela Baginda orang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), Baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki?
(Riwayat Bukhari)
 
Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.
 
Abu Hurairah meriwayatkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Orang yang suka mengutuk tidak mendapat syafaat dan memberi kesaksian pada hari kiamat."
 
Dalam riwayat lain, Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan minum arak. Lalu dihadapkan laki itu kepada Nabi s.a.w. agar dihukum. Diantara para sahabat ada mengatakan: Saya memukul dengan tangan , Saya memukul dengan kasut dan Saya memukul dengan baju.
Ketika lelaki itu berpaling (ke arah para sahabat) seorang sahabat menyatakan semoga Allah s.w.t. menghinakan mu! Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w. :
"Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya."
(Riwayat Bukhari)
Daripada Abu Darda r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Aku memohon kepada Rasulullah s.a.w. : Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutus untuk memberi rahmat.
(Riwayat Muslim)
 
Begitulah Rasulullah s.a.w. dengan akhlaknya yang luhur telah memberikan contoh kepada umatnya agar selalu menghindari bertindak melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap permasalahan. Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat dalam kehidupan kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam ialah yang menjunjung tegaknya nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia.
 
Maksud sabda Nabi s.a.w. : Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu? Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta. Rasul berkata:
 
Maksudnya: Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat membawa amalan solat, puasa dan zakat. tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu. Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.
(Riwayat Muslim)
 
Sudah sepatutnya seorang muslim itu memelihara lisan atau lidahnya dari mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak menjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.
 
Daripada Ali bin Abi Talib r.a. , Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Yang berbuat keji dan yang menyiarkan kekejian itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.
(Hadis Riwayat Bukhari)
 
Dalam surah al-Humazah atau penyebar fitnah, Allah berfirman yang bermaksud:
 
Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.
(Surah al-Humazah : 1)
 
Dalam ayat ini Allah mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat terhadap orang-orang lelaki atau perempuan dengan kata-kata atau pun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.
 
Sesungguhnya Allah s.w.t. itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia bertutup.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan NasaI)
 
Sesungguhnya Allah s.w.t. itu indah dan mencintai keindahan.
(Riwayat Muslim dan Tarmizi)
 
Demikian juag firman Allah yang bermaksud:
 
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada  orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. An bukan pula mereka yang berlidah kotor.
( Surah an-Nahl : 125)
 
Sesungguhnya seseorang itu hendaklah berkata dengan perbuatan yang diredai Allah, dan tidak berprasangka. Pasti Allah mencatatnya atas keredaannya sampai suatu hari perjumpaan baginya. Sesungguhnya orang yang berkata dengan kalimat yang mengundang kebencian Allah dan berprasangka, Allah pasti mencatatnya atas kemungkarannya sampai hari kiamat.
(Riwayat Malik)
 
Aisyah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya: Aku tidak suka bercakap tentang kesalahan sesiapa sahaja walaupun aku diberi bayaran.
(Mishkat)
 
Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang dipaparkan jelas membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.
 
Ya Allah sebagaimana engkau telah memperbaiki bentuk kejadianku, maka perbaikilah akhlakku.
(Riwayat Ahmad)

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.