SETIAP YANG BERNYAWA PASTI MERASAI MATI

SETIAP YANG BERNYAWA PASTI MERASAI MATI

Strategi Keluar Menuju Akhirat

Kullu nafsin dzā’iqatul maut…” - (Surah Ali-’Imran, Ayat 185). Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sesungguhnya kematian itu adalah satu ketetapan qada’ dan qadar Allah Azza wa Jalla. Namun di zaman ini, dunia korporat dan keinginan materialistik telah menjadikan kita obses dengan exit strategy. Bila mahu pencen? Adakah pelaburan saham cukup untuk bersara? Tetapi adakah kita merancang dengan teliti, exit strategI untuk ruh sendiri, menuju akhirat? Menuju alam baqa yang kekal abadi.

Seumur hidup kita, kita berbangga ketika berjaya membina syarikat, membina empayar perniagaan, dan mencipta warisan. Malangnya, kubur kita sendiri masih kosong tanpa bekalan amal. Bersediakah kita menghadapinya. Dunia ini hanyalah dunya al-faniyah - persinggahan yang menipu daya mereka yang lalai. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan seorang musafir atau seorang pengembara yang berhenti sebentar di bawah pohon, kemudian meninggalkannya.” - (H.R. al-Bukhari)

Ramai orang Islam hari ini begitu teruja dalam merancang 10, 20, 50 tahun ke depan. Sedangkan tiada kepastian bahawa mereka akan hidup walaupun seminggu lagi. Atau sesaat kedepan. Tanyalah Nabi nuh tentang seribu tahun yang telah ia jalani dimuka bumi ini. Ia akan memberitahumu bahawa umur di dunia ini sungguh singkat meskipun panjang. Tanyalah para thaghut dan orang-orang zalim tentang puncak pelajaran yang mereka bawa saat mereka keluar dari kehidupan ini. Mereka semua akan mengabarimu jangan percaya kepada dunia. 

Allah SWT menciptakan dunia ini untuk mengecewakan orang-orang yang beriman. Kerana jika kita terlalu selesa dengan kehidupan di atas dunia, mengapakah kita ingin berusaha sebaik-baiknya untuk akhirat? Nabi SAW menjelaskan bahawa dunia ini adalah tempat di mana kita menuai, dengan amalan yang akan kita manfaatkan di akhirat kelak. Jannah itu dikiaskan sebagai padang yang lapang, dan amalan kita yang akan mengisinya.

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud; “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”. - (H.R. Ahmad)

Dunia ini tidak dicipta untuk orang mukmin untuk menunaikan hajat peribadi, tetapi Allah SWT menjadikannya untuk kita menunaikan perintah-Nya sebagai hamba. Justeru sesiapa yang bebas di dunia ini dan melakukan apa sahaja yang dia suka akan menjadi hamba di akhirat. Tetapi jika kita taat kepada perintah Allah SWT, taat sebagai hamba Allah dan menjalankan hidup berpaksikan amar ma’ruf nahi munkar, maka kebebasan hakiki akan dapat dicapai di akhirat.

Selepas ruh berpisah dari jasad, kita akan masuk ke alam al-Barzakh. Alam yang dinyatakan sebagai perantara antara dunia dan akhirat. Di sana, tiada lagi jawatan CEO. Tiada lagi Datuk Seri. Tiada lagi Menteri. Malah jawatan PM yang diburu ramai. Yang tinggal hanyalah amal soleh (ṣāliḥāt), dosa (sayyi’āt), dan rahmat Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kubur itu sama ada taman dari taman-taman syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka.” - (H.R. al-Tirmidzi)

Justeru orang-orang yang bijak akan sentiasa bermuhasabah. Dengan bermuhasabah, kita dapat memperhatikan aspek kualiti dan kuantiti dari dua segi, yakni batiniah (hati) dan lahiriah (anggota badan). Yang dimaksud dari segi batiniah adalah perkara menjaga niat; apakah kita sudah ikhlas kerana Allah SWT atau belum. Dari segi lahiriah pula merujuk kepada praktik amalan ibadah yang kita lakukan, apakah kaifiyahnya sudah berusaha mendekati sesuai dengan apa yang Rasulullah SAW contohkan atau belum.

Bahkan kuantitinya juga, apakah kita merasa cukup dengan amalan yang wajib? Yang mana belum tentu jika Allah SWT menerima amalan tersebut? Sedangkan betapa banyak keutamaan amalan-amalan sunnah yang dapat menutupi kekurangan amalan kita yang wajib. Maka, adakah kita selalu mengerjakan amalan-amalan yang sunnah ini, atau mengabaikannya?

Mujahadah pula ertinya bersungguh-sungguh dalam berjuang untuk memerangi hawa nafsu, sifat keji dan keinginan melampau yang bertujuan menyucikan jiwa untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Dalam erti kata lain, mujahadah merupakan bentuk melawan nafsu amarah demi membentuk jiwa yang murni dan usaha bersungguh-sungguh ini dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: 
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya…

Ramai di kalangan manusia yang bijak dalam urusan dunia, merancang projek mega, memimpin organisasi, dan memegang kuasa. Tetapi apakah kita telah merancang strategi keluar dari dunia ini dengan sebaik-baiknya? Rasulullah SAW berpesan: “Orang yang bijak adalah orang yang menundukkan dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” - (Riwayat at-Tirmidzi) 

Oleh itu gunakanlah masa sebaik-baiknya ketika di dunia ini, buatlah amal kebaikan sebanyak-banyaknya dan tinggalkanlah kemungkaran, maksiat dan dosa.

Apabila dunia menguasai hati kita, di situlah permulaan kehancuran akhirat kita. Selagi kita ingat itu, dan menjaga batas-batas yang telah diletakkan Allah SWT, maka kita akan berjaya. Bukan sahaja di dunia, malah di akhirat. Itulah orang yang bijak.

Kullu nafsin dzā’iqatul maut – Setiap jiwa akan merasai mati. Persoalannya, adakah kita bersedia? Semoga Alah SWT memberi kekuatan dan selalu membimbing kita untuk tetap istiqamah di jalan-Nya sehingga dapat mencapai syurga-Nya dan dijauhkan dari seksa neraka-Nya.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

039938
Hari ini: 325
Minggu Ini: 2,403
Bulan Ini: 6,053
Tahun Ini: 39,938
Tahun Lepas: 52,147
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.