Kumpulan nama-nama yang menunjukkan kesempurnaan Allah SWT disebut al-Asma al-Husna, yang secara harfiah bererti “nama-nama yang baik”. Kata al-Asma al-Husna disebutkan dalam firman Allah SWT, “Katakanlah, ‘Serulah Allah atau serulah ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru.
Dia mempunyai al-Asma al-Husna (nama-nama yang baik)’”(Surah Al-Isra ayat 110). Yang dimaksud dengan seru dalam kalimat itu adalah berdoa. Dalam surah lain disebutkan pula al-Asma al-Husna: “Hanya milik Allah al-Asma al-Husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu” (Surah Al-Araf ayat 180).
Kedua ayat di atas merupakan anjuran bagi manusia untuk berdoa kepada Allah SWT dengan al-Asma al-Husna. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah, al-Asma al-Husna itu berjumlah 99, yakni 76 disebutkan dalam Al-Quran dan 23 dalam hadis.
Al-Asma al-Husna yang kita kenal sekarang ini berasal dari keterangan Imam at-Tirmizi. Dengan menghafalkan al-Asma al-Husna, hubungan yang mantap antara Allah SWT dan hamba-Nya terbina. Selain itu, melafazkan al-Asma al-Husna dengan khusyuk juga akan menimbulkan perasaan tenteram dan tenang. Dengan mengingat nama Allah SWT, hati selalu dekat kepada-Nya.
Salah satu nama Allah SWT yang paling banyak disebutkan dalam Al-Quran adalah ar-Rahman (Maha Pemurah). Nama itu sering digunakan dalam Al-Quran sebagai pengganti kata “Allah”. Ketika Perjanjian Hudaibiyah (628), suku Quraisy tidak menerima nama ini. Oleh kerana itu, nama ini diduga belum pernah dikenal dikalangan bangsa Arab.
Ar-Rahim berasal dari kata Arab rahima yang bererti menyantuni, Maha Penyantun. Nama itu sering diterjemahkan Yang Maha Pengasih. Ar-Rahim menunjukkan sikap santun Allah SWT dalam setiap kejadian di muka bumi ini. Kata itu sering digabungkan dengan kata ar-Rahman.
Dalam hadisnya, Abu Hurairah mengungkapkan: “Allah itu mempunyai sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Siapa saja yang dapat menghafal nama-nama itu tentu masuk syurga. Dia adalah tunggal (Esa), senang kepada yang tunggal/ganjil.” Imam Bukhari mengatakan: “Barangsiapa yang menghitungnya tentu masuk syurga.”
Dari 99 nama Allah SWT yang baik (al-Asma al-Husna), yang paling banyak disebutkan dalam Al-Quran adalah ar-Rahman dan ar-Rahim, selain kata Allah SWT itu sendiri. Kerana itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa kalau 99 nama Allah SWT itu disusun berbentuk seperti piramid, maka puncaknya ialah ar-Rahman dan ar-Rahim.
Inti ar-Rahman dan ar-Rahim itu adalah kasih. Dalam Al-Quran digambarkan bahawa Allah SWT mewajibkan kepada diri-Nya sifat kasih (Surah Al-Anaam:12). Selain itu, digambarkan pula bahawa sifat Allah SWT yang meliputi segala sesuatu iaitu firman Allah SWT yang bermaksud, “… Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu…”(Q.7:156).
Ada orang yang percaya bahawa sebagian nama al-Asma al-Husna mempunyai keistimewaan. Apabila nama itu dilafazkan dengan hitungan dan cara tertentu, maka akan mendatangkan keajaiban, seperti kekuatan, kesaktian dan rezeki melimpah. Namun, hal itu merupakan rekaan belaka kerana tidak ada dalilnya.Adapun yang memiliki dalil adalah melafazkan dan menghayati al-Asma al-Husna dengan hati khusyuk. Pelafalan dan penghayatan itu akan menyucikan serta menenteramkan batin pembacanya.
Hal itu terdapat dalam firman Allah SWT surah ar-Ra’d (13) ayat 28: “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”
