Kedudukan Terkini Tabung Haji
Tabung Haji (TH) adalah antara institusi yang menguruskan kewangan umat Islam. Walaupun teras TH adalah untuk menguruskan bakal-bakal haji dan memastikan kebajikan mereka ketika di tanah suci. Namun dalam membaiki khidmat TH kepada bakal haji, TH juga menguruskan 9.15 juta pendeposit (2023) dengan simpanan bernilai RM89 bilion dan aset RM95 bilion (2024) sementara agihan keuntungan RM2.92 bilion (3.25%).
Untuk memahami portfolio perniagaan TH, sebahagian besarnya membabitkan pelaburan dalam bentuk pendapatan tetap (50%), ekuiti (35%), dan 91% pelaburannya berada di dalam pasaran domestik. Dengan profil sebegini kukuh, TH bukan sekadar tempat umat Islam menabung untuk haji, tetapi simbol kekuatan ekonomi Islam. Namun, kerana ia milik umat Islam, setiap isu yang berkaitan TH mudah pula dieksploitasi untuk kepentingan politik. TH mudah menjadi sasaran 'punching bag' untuk orang politik yang mengarahkan pencacai-pencacai "cytro" mencipta gelombang kebencian terhadap institusi yang dibanggakan umat Islam ini.
Apa Itu Penjenamaan Semula?
Ramai menyangka penjenamaan semula hanya tukar logo atau warna. Sebenarnya lebih besar daripada itu, ia melibatkan elemen-elemen strategik seperti
Identiti korporat baru dengan imej segar, moden, dan dipercayai. Strategi komunikasi baharu perlu disesuaikan dengan selera generasi muda.
Posisi dan persaingan pasaran memastikan TH relevan berbanding pesaing lain di bidang kewangan Islam yang agresif melalui projek penjenamaan semula. Lebih penting ialah pemberdayaan sumber manusia melalui budaya kerja dan perkhidmatan yang berkesan sesuai dengan transformasi ke arah digital dan Kecerdasan Buatan (AI) yang cekap dan mesra pelanggan. Penjenamaan semula adalah pelaburan strategik demi kelestarian, bukan pembaziran kosmetik.
Kenapa Guna Syarikat Bukan Islam?
Soalan ini perlu dijawab terlebih dahulu dengan panduan syarak sebelum membahaskan isu teknikal pentadbiran. Jawapan syaraknya ialah berurusan dengan bukan Islam dalam soal muamalat dan pemerintahan adalah harus selagi tiada unsur yang mengharamkannya. Di bawah adalah contoh-contoh yang menjadi panduan umat Islam;
Contoh Nabi ﷺ:
1. Berhutang gandum daripada orang Yahudi dengan gadaian baju besi.
2. Mengupah seorang musyrik, Abdullah bin Uraiqit, sebagai penunjuk jalan ketika hijrah.
Zaman Khulafa’ al-Rashidin
1. Umar pernah melantik seorang Nasrani Qibti sebagai pegawai perbendaharaan di Mesir kerana kepakarannya dalam bidang kewangan. Walaupun bukan Muslim, beliau diberi amanah selagi tidak menyentuh hal syariah.
2. Hubungan ekonomi dengan Zimmi.
3. Orang bukan Islam (ahl al-zimmah) dibenarkan menjadi pedagang, kontraktor dan penyumbang ekonomi. Bahkan mereka menikmati hak perlindungan negara Islam dengan membayar jizyah, sebagai timbal balik kepada perlindungan tentera dan sosial.
Zaman Bani Umayyah
1. Pada zaman pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan, orang bukan Islam masih digunakan dalam urusan pentadbiran kewangan kerana kepakaran mereka dalam sistem birokrasi Rom dan Parsi.
Zaman Bani Abbasiyyah
1. Khalifah al-Ma’mun menubuhkan Bayt al-Hikmah di Baghdad. Ramai cendekiawan Nasrani, Yahudi dan Majusi dilantik sebagai penterjemah karya Yunani, Parsi dan India ke dalam bahasa Arab. Antaranya:
2. Hunayn ibn Ishaq (Nasrani Nestorian) – pakar perubatan & penterjemah.
3. Sabit ibn Qurrah (Sabi’ah Harran) – ahli matematik & astronomi.
4. Ishaq ibn Hunayn dan ramai lagi.
Ilmu mereka dimanfaatkan untuk membina tamadun Islam tanpa menjejaskan identiti Islam, malah menjadi asas kepada kebangkitan sains dunia Islam. Ilmu mereka turut dimanfaatkan dalam ketenteraan. Ada tentera bukan Islam (termasuk tentera upahan Turki, sebelum mereka memeluk Islam) digunakan oleh khalifah untuk memperkuatkan angkatan perang.
Zaman Andalusia (Sepanyol Islam)
1. Andalusia menjadi contoh masyarakat majmuk yang harmoni. Khalifah melantik Yahudi dan Kristian dalam pentadbiran, diplomasi, dan perubatan.
2. Hasdai ibn Shaprut (seorang Yahudi) dilantik oleh Khalifah Abd al-Rahman III sebagai pegawai tinggi dalam urusan diplomatik dan perubatan.
3. Orang Kristian Mozarab juga berkhidmat dalam kerajaan Andalus, terutama dalam bidang terjemahan dan ketenteraan.
Zaman Uthmaniyyah
1. Empayar Uthmaniyyah memberi ruang luas kepada bukan Islam (Yahudi, Kristian Armenia, Greek, Balkan) dalam bidang perdagangan, diplomasi, kewangan, dan ketenteraan.
2. Golongan "millet system" (komuniti agama bukan Islam) diberikan autonomi dalam urusan dalaman tetapi tetap menyumbang kepada negara.
3. Malah, jurutera, arkitek dan doktor bukan Islam pernah berkhidmat dengan sultan. Contoh terkenal ialah Mimar Sinan (asalnya seorang Kristian Balkan, kemudian memeluk Islam) yang menjadi arkitek agung Uthmaniyyah
Dari sudut sejarah berpandukan daripada contoh Rasulullah, melantik syarikat bukan Islam untuk kepakaran profesional adalah dibenarkan. Jika ada syarikat muslim yang setaraf, itu lebih baik. Tetapi jika tiada, maslahat lebih besar ialah memilih yang terbaik walaupun dari bukan Islam. Soal penjenamaan semula termasuk dalam soal khusus dan kepakaran. Sekali-kali ia tidak merendahkan keupayaan syarikat muslim yang lain, soalnya adalah merit dan keperluan strategik TH.
Beberapa Kritikan dan Jawapan Bukan Islam Urus Syarikat Islam
Ia bukan soal uruskan, ia adalah lantikan kepada tugas tertentu secara kontrak dan mesti dipenuhi sepertimana dikehendaki oleh kepentingan strategik TH. Identiti Islam TH bukan ditentukan oleh siapa yang buat "branding", tetapi hasil "branding" itu sendiri yang ditentukan oleh pasukan pengurusan dan diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah yang (ALP) terdiri daripada individu muslim yang dipercayai kelayakannya. Jika hasilnya menampilkan imej Islam yang lebih profesional dan global, ia sebenarnya membanggakan umat, bukan sebaliknya seperti didakwa.
Kos Penjenamaan Semula Mahal, Membazir?
Kos perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang. fitnah kos telah dijawab, iaitu RM5.9 juta sahaja dan bukan RM20 juta. Namun apa yang lebih utama ialah mencapai hasilnya, iaitu perlu meningkatkan keyakinan penyimpan dan membawa masuk berbilion ringgit deposit baharu, adakah itu pembaziran? Kaedah fekah dalam soal ini jelas memberikan kepercayaan kepada kebijaksanaan pimpinan TH, iaitu
> تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
“Tindakan pemimpin terhadap rakyat bergantung kepada maslahat.”
Maka, jika maslahat lebih besar, kos itu halal dan wajar diperuntukkan.
Tender Terbuka atau Rundingan Terus?
Ya, projek penjenamaan dilakukan melalui rundingan terus, tetapi ia sekali lagi dieksploitasikan atas sentimen. Ini adalah kerana rundingan terus dibolehkan dalam polisi perolehan sejak 2012, untuk projek strategik dan unik. Ia melibatkan penilaian teknikal dan komersial ketat yang. Harga dirunding telus dan diluluskan Lembaga Pengarah TH. Rundingan terus bukan bermaksud salah, tetapi adalah prosedur yang dibenarkan untuk projek perkhidmatan khusus dan strategik.
Kenapa TH Perlu Penjenamaan Semula?
TH kini bukan lagi satu-satunya pilihan simpanan Islam. Di bawah adalah pesaing utama TH
1. Bank Islam Malaysia Berhad yang agresif dalam projek penjenamaannya dan membelanjakan nilai yang besar untuk tujuan ini.
2. Maybank Islamic, CIMB Islamic, Affin Islamic, dan Hong Leong Islamic,
3. Amanah Raya Berhad (pengurusan amanah)
4. Pasaran Sukuk dan Unit Amanah Islamik. Semua institusi ini agresif dengan pemasaran digital, produk moden, dan perkhidmatan mesra generasi muda.
Jika TH tidak memperbaharui imej, ia akan kelihatan ketinggalan. Penjenamaan semula adalah senjata untuk bersaing dan memastikan TH kekal sebagai pilihan utama umat Islam.
Naratif Lama, Wajah Baharu
Isu penjenamaan semula hari ini mengingatkan kepada isu lama ketika Menteri Agama waktu itu adalah Datuk Seri Datuk Mujahid Yusof Rawa menjadi Menteri Agama (2018–2020).
Dahulu TH dituduh “jual aset kepada bukan Islam.”
Hakikatnya, aset dipindahkan ke Special Purpose Vehicle (SPV) milik kerajaan (UJSB) sebagai langkah menyelamatkan defisit RM4 bilion.
Hasilnya, TH kembali untung, bayar hibah, aset lebih sihat.
Hari ini, TH dituduh menjalankan aktiviti penjenamaan oleh syarikat bukan Islam.”
Hakikatnya, pelantikan dibuat atas dasar kepakaran profesional, bukan penggadaian Islam.
Persamaan: kedua-duanya naratif politik berasaskan emosi dan sentimen, bukan fakta.
Kesan Buruk Fitnah Terhadap TH
Fitnah bukan sahaja merosakkan imej TH, tetapi boleh menggugat masa depan umat Islam sendiri. Ada kemungkinan berikut akan berlaku:
1. Pengeluaran Panik
Ada seruan untuk keluarkan simpanan. Jika berleluasa, TH boleh hadapi krisis kecairan (liquidity), malah boleh menyebabkan pasaran aset tidak terkawal.
2. Subsidi Haji Terancam
Kos bantuan haji bernilai RM400juta (2023) digunakan untuk menampung kos haji kepada yang layak. Jika deposit berkurangan, subsidi boleh tergugat dan B50 paling teruk terjejas.
3. Melemahkan Ekonomi Islam
TH mengurus berbilion ringgit aset umat Islam. Jika aliran keluar berlaku, kekuatan ekonomi Islam akan merosot.
Yang rugi bukan TH sahaja, tetapi umat Islam sendiri yang menghancurkan institusi Islam dengan fitnah dan sentimen.
Perspektif Syariah: Maslahah Jangka Panjang
Islam menekankan prinsip maslahat. Maslahah itu mestilah yang diterima dari sudut ia membawa pulangan yang baik dan meningkatkan kepercayaan serta mencapai tujuan utama TH diasaskan. Jika sesuatu langkah (seperti penjenamaan) membawa keyakinan, menarik pelaburan halal, dan mengekalkan kelestarian, maka ia dituntut. Penjenamaan semula bukanlah pembaziran, tetapi pelaburan untuk kelangsungan institusi Islam.
Kesimpulan: Rasional Mengatasi Emosi
Tabung Haji adalah amanah besar umat Islam, sebab itu ia diletakkan di bawah Akta Tabung Haji supaya dikendalikan secara telus dari sudut kepatuhannya kepada akta. Segala perjalanan operasi harian dan keputusan strategik, ia terpulang kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) yang terdiri daripada mereka yang ditapis kelayakannya oleh pemerintah dan pasukan pengurusan yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkelayakan.
Pimpinan TH bukanlah calang-calang tokoh, gaya dan cara sesetengah daripada kita mengkritik seolah-olah kita menjatuhkan martabat mereka umpama mereka ini tidak tahu menahu soal syarak dan profesionalisme.
Melantik syarikat bukan Islam harus demi kepakaran.
Kos penjenamaan semula adalah satu pelaburan, bukan pembaziran. Rundingan terus hendaklah patuh prosedur secara sah bagi projek strategik dan penjenamaan satu keperluan kritikal untuk persaingan sengit di pasaran supaya TH segar & relevan. Ingatlah fitnah hanya akan melemahkan umat Islam sendiri.
Umat Islam perlu bijak menilai isu ini. Jangan biarkan naratif lama diulang untuk memecah-belahkan keyakinan. Penjenamaan semula bukan soal logo, tetapi soal masa depan ekonomi Islam dan kita harus mendoakan supaya TH menjadi pemain utama dalam memartabatkan Malaysia sebagai Hub Kewangan Islam dunia yang berprestij.
Penulis YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Dewan Negara dan Mantan Menteri Agama (2018-2020)