APA SEBENARNYA YANG DICARI DALAM HIDUP?

APA SEBENARNYA YANG DICARI DALAM HIDUP?

Saya timbulkan pertanyaan itu setelah membaca beberapa kenyataan, peristiwa dan hal terjadi dalam masyarakat sepanjang minggu lepas. Saya menjadi sedikit teruja apabila ada kenyataan bahawa Syamsul Yusof berusaha untuk berbaik-baik semula dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyani setelah tiga tahun mereka bercerai.

Syamsul melafazkan cerai kerana Puteri Sarah Liyana memfailkan proses penceraian apabila suami berkahwin secara diam-diam di Thailand dengan Ira Kazar, seorang artis dan puteri seorang pelakon yang sangat kita kenal. Oleh kerana ada masalah dalam perhubungan mereka, Syamsul memfailkan proses penceraian mereka, namun dalam prosiding awal, Ira Kazar tidak hadir, yang kononnya, mengharapkan Syamsul tidak benar-benar berhasrat bercerai.

Saya tidak berminat membuat pelbagai spekulasi, sama ada bersetuju Syamsul kembali sebagai pasangan dengan Puteri Sarah Liyani kerana mereka memiliki dua orang cahayamata, atau mengesyorkan supaya menjalani kehidupan bermadu, dengan tidak menceraikan Ira Kazar, yang kini menjadi model tudung Datuk Aliff Syukri. Namun, apa yang tergambar ialah apakah benar kedua orang tua Syamsul sedikit gembira apabila ada berita bahawa anaknya mula menerima nasihat keluarga.

Dikatakan Syamsul semakin berjauhan dengan kedua ibu bapa sejak hidup bersama dengan Ira Kazar, kerana perkahwinan itu ‘tidak direstui’. Saya hanya mengharapkan dalam pelbagai persepsi, Syamsul dapat menerima kenyataan bahawa hidup bukanlah sesuatu yang mudah, dan juga tidak sebenarnya sangat sulit jika kita dapat memahami apa sebenarnya yang kita cari, dan bagaimana untuk mendapat bahagia.

Ia sangat berbeza dengan kisah sepasang selebriti ternama Hollywood yang pada minggu lepas cerita penceraian mereka heboh diperkatakan. Jennifer Lopez (JLo) memfailkan penceraian mereka, meskipun baru berusia kurang dua tahun, dan tidak ingin bersama lagi hidup sebumbung dengan Ben Afflek, mulai 26 April 2024 biarpun hanya difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada 20 Ogos 2024, yakni selepas empat bulan dilaporkan bercerai. (Berita Harian, 21 Ogos 2024)

Penceraian ini merupakan penceraian keempat buat JLo dan pencerian kedua bagi Ben Afflek. Setelah bercerai, pasangan itu tidak lagi dikenali Benifer, sebaliknya menggunakan nama asal mereka. Jennifer Lopez (JLo) berkahwin empat kali: (1) dengan seorang pelayan (pekerja bar) kelahiran Cuba, Ojani Noa (1997-1998); (2) bekas seorang penari, Chris Judd (2001-2003); (3) dengan penyanyi Marc Anthony (2004-2014); dan (4) dengan pelakon, Ben Afflek (2022-2024). JLo mempunyai sepasang anak kembar (lelaki dan perempuan) hasil perkahwinannya dengan Marc Anthony (yang dipanggil Muniz).

Sebelum bercerai dengan Muniz, JLo dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan penari latarnya, Casper Smith (2011-2016) dan kemudian bertunang dengan pemain baseball Noew York Yankees, Alex Rodrigues (Februari 2017).  Antara tahun 2001, JLo yang masih menjadi isteri Chris Judd dilaporkan turut menjalani hubungan cinta dengan Ben Afflek. Ben Affleck pernah berkahwin dengan Jenifer Garner pada tahun 2005 dan mereka bercerai pada tahun 2018. Ben dan Garner mempunyai tiga orang anak.

Setelah menunggu hampir dua dekad untuk hidup sebagai pasangan yang sah, dan cuba belajar daripada kesilapan lalu, mereka akhirnya disatukan dalam majlis gilang gemilang. Di majlis perkahwinan mereka, termasuk pernah membatalkan perkhawinan mereka pada tahun 2003, setelah JLo bercerai dengan Chriss Judd. 

Ben dilaporkan meninggalkan kediaman mewah mereka yang berharga RM 300 juta beberapa bulan sebelum mereka dikatakan bercerai (26 April 2024) kerana antaranya tidak ada lagi persefahaman, dan tidak mampu menyelamatkan rumah tangga yang dibina penuh rasa gembira dan gilang gemilang itu.

Penceraian ini memberikan kita beberapa pengajaran, biarpun kita tidak seharusnya membuat perbandingan kerana adat dan resam budaya adalah berbeza. Kita boleh belajar daripada keruntuhan rumah tangga Benjamin Affleck dan Jennifer Lopez daripada beberapa kegagalan yang pernah mereka alami.

Secara jelas, pasangan itu merupakan mereka yang mempunyai pelbagai kemewahan kerana masing-masing mempunyai pendapatan lumayan hasil kerja keras mereka, sebagai penyanyi, pelakon dan berniaga, Namun, yang lebih penting ialah apa yang menjadikan mereka saling bercinta dan faktor yang membolehkan mereka akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin. Apakah kerana masing-masing merasakan apa yang mereka miliki boleh membuatkan mereka bahagia, kerana sama-sama ingin belajar daripada keruntuhan masa lampau?

Jika berdasarkan perspektif ini, tentunya antara mereka cukup matang untuk berhadapan dengan persoalan rumah tangga. Nampaknya, pengalaman masa lalu tidak menjanjikan Bennifer benar-benar bahagia sehingga akhir hayat. JLo kini berusia 55 tahun dan Ben Affleck berusia 52 tahun. Ada beberapa perkara yang menjadi ‘missing link’ kerana perkahwinan yang dilihat gah itu hanya mampu bertahun dalam tempoh dua tahun sahaja, dan tentunya ada hal yang sangat tidak beres.

Masing-masing memberikan alasan, kesibukan kerja dan jadual yang ketat, sehingga tidak ada lagi untuk sama-sama berada dalam keadaan masa berkualiti. Itu adalah alasan luaran yang kita nampak, dan mungkin menjadi perbahasan yang menarik bagi mereka yang pakar dalam kaunseling perkahwinan.

Saya tidak cenderung memahaminya sebagai sebab yang cukup menonjol, kerana saya lebih suka membahaskan persoalan kenapakah Allah SWT menciptakan manusia secara berpasang-pasangan dan diminta hidup dalam suasana saling memahami, kerana pekahwinan dalam Islam itu hadir sebagai salah satu bentuk ibadah. Konsep ini tidak ada dalam kalangan masyarakat, termasuk masyarakat barat dan sebahagian besar dalam budaya hidup masyarakat Islam sendiri.

Bagi sesetengah orang, pekahwinan turut dilihat sebagai satu bentuk perniagaan, dan hal yang menyokong kepada suasana itu munculnya ‘industri perkahwinan’ dalam bentuk ‘perancang perkahwinan’, pembekal goodies dan sajian, peralatan majlis perkahwinan, jurusolek dan pereka pakaian, serta  penyediaan pakej bulan madu.

Kalau tak percaya, tanyalah setiap pasangan yang berkahwin dalam suasana yang meriah dan penuh gah. Mereka akan mengatakan, akan berbulan madu sama ada dalam negara atau luar negara. Manakala sebahagian kecil mengambil rasa syukur itu untuk mengerjakan umrah dalam tempoh berbulan madu. Ertinya, mengerjakan umrah dilihat sebagai titik bulan madu, yang dilakukan secara serentak, walaupun ada perihal yang tidak sepenuhnya tercapai dalam konteks tujuan mengerjakan umrah dalam keindahan fasa berbulan madu.

Menurut pandangan Islam, dalam mengharungi kehidupan berkeluarga, ia bermula dengan niat dan mencari pasangan hidup, kerana perkahwinan bukanlah perilaku ‘main-main’ sebagaimana mula terjerut dalam persekitaran kekeluargaan dalam diri sesetengah. Ada yang memandang perkhawinan itu sebagai tiket untuk keluar daripada kutukan sosial kerana hidup membujang dianggap tidak manis pada adat dan budaya.

Pernah muncul kenyataan daripada segelintir umat Islam, untuk lari daripada kutukan sosial itu, maka ada yang menyimpan harapan untuk berkahwin walaupun untuk tempoh yang singkat. Sebabnya, mereka mempunyai contoh, seseorang janda itu mendapat kebebasan yang lebih baik daripada kekal menjadi andartu, dan janda lebih berjaya dalam pelbagai bidang (kerjaya dan komersial) berbanding andartu dan pasangan berkeluarga,

Seorang janda tidak diikat dengan peraturan “izin suami’ untuk melaksanakan apa yang diimpikan, hanya bergantung kepada kehendak hati. Sebab itulah ada situasi janda lebih ‘bernilai’ berbanding gadis atau teruna bujang terlajak. Dalam media sosial ada seruan agar berkahwin dengan janda, sebabnya, selain berpengalaman menjadi isteri sekalian lama, corak pemikiran lebih terbuka, dan dikatakan ‘mendapat pahala yang lebih’.

Saya tidak pasti dalil bahawa berkahwin dengan janda mendapat ‘pahala’  yang lebih besar. Namun, pahalan dalam rumah tangga akan diraih oleh sesiapa pun sekiranya berlalu adil, bertimbang rasa dan saling melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Sebabnya, rumah tangga adalah salah satu tempat kita boleh mengumpul pahala, kerana ladang pahala seorang isteri sangat bergantung kepada layanan dan khidmatnya kepada seorang suami. Ladang pahala bagi seorang suami ialah tidak menyakiti hati seorang isteri, membina rumah tangga yang dipenuhi bau-bauan syurga di atas dasar keimanan.

Dalam situasi lain, seseorang yang berkahwin dengan anak orang kaya atau keturunan bangsawan, mereka akan dapat sebahagian daripada harta milik suami sekiranya berlaku penceraian. Ini menyebabkan ramai beranggapan, dengan berkahwin usahawan, anak orang kaya, jika berlaku penceraian, kehidupan akan menjadi lebih baik apabila keputusan undang-undang berlaku adil terhadap wanita.

Penceraian Ben Affleck dan JLo belum disahkan oleh mahkamah. Kedua mereka sedang menyediakan dokumen harta dan aset yang mereka miliki, mengikut laporan ia mencecah RM 1.8 bilion. Rumah mewah yang berharga RM 300 juta yang menjadi penginapan sebelum bercerai, dilaporkan sudah dipertimbangkan penjualannya. Ini bermakna, mahkamah akan membuat keputusan bagaimana harta itu akan dibahagi-bahagian antara mereka,

Kisah penceraian billionaire Bill Gates juga sangat menarik, kerana isterinya, Melinda Gates yang asalnya adalah pekerja Microsoft telah diberikan pampasan perkahwinan yang lumayan, selain masing-masing ada saham dalam entiti perniagaan tertentu dan masih menguruskan Melinda-Gates Foundation. Ia berbeza dengan keputusan penceraian antara Amber Heard dan Johnny Deep (2017). Mereka berpisah dalam keadaan penuh skandal, maka akhirnya Amber Heard yang pernah dikaitkan ada hubungan dengan Elon Musk, pemilik Space X, syarikat automotif kenderaan elektrik Tesla, dikenakan hukuman membayar pampasan kepada bekas suaminya,

Sebabnya, akibat pergaduhan antara mereka, Amber Heard mendakwa Johny Deep melakukan keganasan, yang akhirnya menyebabkan peluang berlakon ditarik balik, hilang sumber pencarian (pendapatan). Amber Heard terpaksa menjual barang-barang milik peribadi, dan masih belum cukup untuk membayar denda US $ 10 juta sebagai ganti rugi dan USD$5 juta (kemudian diturunkan kepada US$ 350,000) sebagai teladan, manakala Johny Deep perlu membayar sebanyak ganti guri sebanyak USD$ 2 juta tanpa ganti rugi teladan.

Perihal memilih pasangan, Rasulullah SAW bersabda, dengan maksud: Apabila datang kepada kamu (seorang lelaki yang hendak meminang anak perempuan kamu) yang engkau suka akhlak dan agamanya, maka kahwinkanlah (anak perempuan kamu) dengannya. Sekiranya engkau menolak (kerana mencari yang mempunyai kedudukan dan harta), nescaya akan berlaku fitnah di bumi ini dan kerosakan yang terbentang luas.” (riwayat Ibnu Majah, hadis no. 1967).

Hadis ini membawa maksud, dalam memilih pasangan, dua tonggak yang menjadi prasyarat paling atas iaitu beragama dan berakhlak. Ciri-ciri itu dapat memandu pasangan membimbing keluarga untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kata Imam al-Ghazali: orang yang menikah adalah orang yang berusaha menyempurnakan sesuatu yang Allah SWT cintai, sedangkan orang yang yang melajang (membujang, tidak berkahwin) adalah orang yang menghilangkan sesuatu yang Allah benci jika sesuatu itu dihilangkan.: (Imam al-Ghazali, Nasihat Pernikahan: Menuju Keluarga Samawa, Jakarta: PT Rene Turos, cetakan ketiga, 2021, hal. 23).

Dalam rumah tangga, Allah SWT memberikan ciri-ciri lelaki dan kepimpinan yang sangat diperlukan, dalam maksud firman-Nya:

Kaum lelaki (suami) itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (orang-orang lelaki dengan beberapa keistimewaan) atas sebahagian yang lain (orang-orang perempuan) dan juga kerana mereka (orang-orang lelaki) telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang sholeh itu ialah yang taat (kepada Allah) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak ada bersama kerana Allah telah menjaga mereka. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil), pulaukanlah mereka di tempat tidur) dan (kalau mereka juga masih berdegil), pukullah mereka  (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Benar.” (Surah an-Nisa’ (4), ayar ke-34)

Banyak teladan yang dapat kita pelajari dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW walaupun baginda sibuk berdakwah dan menguruskan umat Islam sepanjang hayatnya, termasuk ketika perkahwinan pertamanya dengan Khadijah binti Khuwailid (di Mekah) dan ketika Islam benar-benar muncul sebagai kaedah terbaik menguruskan umat (di Madinah). Setiap ketika baginda melayani isteri dengan baik, bergurau senda, ketawa dan terseyum manis walaupun ada ketikanya dirundung masalah, dan juga kekurangan makanan. Rasulullah SAW menurut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (berasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya. Maka jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)” (surah an-Nisa (4) ayat ke-10).

Pengajaran yang kita peroleh daripada ayat tersebut ialah berbuat baiklah kepada isteri sepanjang masa, selagi dia adalah pasangan kita, dan apabila seseorang suami melihat ada yang disenangi berlaku (dalam perilaku isteri), jangan melihatnya dengan rasa benci secara membuta tuli (membabi buta).

Lihatlah ciri-ciri positif yang ada, senaraikanlah sebanyak mungkin dan bandingkan perihal yang negatif. Apakah ciri-ciri positif lebih banyak daripada ciri-ciri negative? Apakah ciri-ciri negative muncul kerana ada tekanan atau timbul kerana suami tidak pernah peduli dan sukar bercakap dengan isteri? Jika kerana pergaulan kurang berlaku, perbaikilah tahap komunikasi dan jika sukar untuk diubah, berdoalah semoga Allah SWT bersedia membuka pintu hati,

Belajarlah daripada Rasulullah SAW bagaimana baginda berhadapan dengan situasi kusut dalam rumah tangga, dengan melihat akhlak yang ditunjukkan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun dengan tangannya, tidak pada perempuan (isteri), tidak juga pada pembantu, kecuali dalam perang di jalan Allah. Nabi SAW juga tidak pernah membalas ketika diperlakukan sahabatnya secara buruk, kecuali kalau pelanggaran atas kehormatan Allah. Maka, ia akan membalas ata nama Allah Azza Wa Jalla.” (Riwayat Muslim, hadis shahih).

Afiyyah binti  Huyay RA pernah menceritakan: “Ketika Rasulullah SAW sedang beriktikaf, aku datang menemui Baginda pada malam hari lalu aku berbincang sejenak dengannya. Kemudian aku berdiri hendak pulang, Baginda juga ikut berdiri bersamaku untuk menghantar aku pulang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim, hadis shahih).

Kita seharusnya mencontohi bagaimana romantiknya Rasulullah SAW melayani isteri. Jika isteri sentiasa (atau sesekali meninggikan suara), menjadi pemberontak ataupun tidak menghormati suami, maka si suami perlu menunjukkan teladan bagaimana mengawal emosi, sebabnya, emosi lawan emosi akan berantakan. Sifat kuat atau qawwamah cukup diperlukan untuk menakluki emosi, fikiran dan perilaku isteri, bukan dengan cara kekerasan fizikal. Ingat, kekerasan fizikal akan menyebabkan suami berhadapan dengan aib, apatah lagi jika sanggup melakukan penderaan fizikal ke atas isteri.

Beberapa bulan lalu, seorang suami menolak isterinya ke gaung dengan harapan isterinya mati. Namun, Allah SWT menunjukkan bahawa isterinya tidak mati, bahkan mampu merangkak naik ke jalan raya sebelum berjaya dibantu oleh orang lain, dalam keadaan terluka. Akhirnya, sisuami dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan percubaan membunuh isteri sendiri. Seluruh negara membaca kisah tersebut, dan seluruh negara mengecamnya.  Itu adalah satu bentuk hukuman yang sukar untuk dihapuskan, dan sampai bila pun cerita itu akan diingati.

Begitu juga dengan cerita dan kisah cerai berai para selebriti, yang akan dijadikan bahan ejekan, kecaman mahupun sindirian, apatah lagi majlis perkahwinan mereka disambut meriah seperti perkahwinan keluarga bangsawan, dan diberikan hantaran yang luar biasa banyaknya. Jika perkahwinan itu bahagia, ia tidak menjadi bahan kecaman, tetapi jika setahun atau dua tahun kemudian bercerai-berai, ada yang akan berkata: Sanding gah, tapi rumah tangga hancur.

Apabila memerihalkan kisah penceraian JLo dan Ben Affleck minggu lalu, menyebabkan kita sendiri bertanya: Apakah yang mereka cari dalam hidup? Kalau nak dikatakan wang dan harta, mereka berdua mempunyai segala-galanya. Kalau nak dikatakan cantik, JLo juga adalah seorang wanita cantik (sempurna sifat fizikal), dan sama-sama mendepa nama besar dalam dunia lakonan, nyanyian (selebriti).

Ada hal yang kurang di antara, apakah kerana tidak ada masa kerana masing-masing sibuk menjadi punca penceraian? Sebenarnya, ada hal yang perlu diselami dalam kehidupan rumah tangga mereka berdua. Apakah tidak berlaku perselingkuhan? Kita tahu, sebelum berkahwin mereka berdua pernah berselingkuh.

JLo semasa masih menjadi isteri Marc Anthony, berselingkuh dengan sekurang-kurangnya dua orang, Ben Affleck (sejak mereka saling mengenali penghujung tahun 2000) dan dengan penari iringannya, Casper Smith. Tentu antara JLo dan Rodrigues ada hubungn sulit berlaku, kerana dalam masyarakat barat persoalan hubungan seks atidak menjadi halangan, ia dibolehkan atas dasar suka sama suka. Ia berbeza dengan kisah Hugh Grant, setelah ditangkap semasa melanggani pelacur, pertunangan dengan Elizabeth Hurley terputus. Hugh Grant dan Elizabeth hidup sebagai pasangan kekasih selama 13 tahun, akhirnya tidak jadi berkahwin.

Dalam kehidupan berumah tangga, ingatlah pada kejadian alam, termasuk perihal cahaya rembulan di langit waktu malam. Langit menjadi terangm (malam) kerana adanya bulan, cahayanya sangat indah. Namun dalam cahaya terang itu, ada gelapnya juga, kerana gelap itu juga adalah keindahan. Ertinya, jika dalam rumah tangga ada kekusutan, leraikanlah kekusutan itu sebaik mungkin, sebabnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, jangan lari daripada masalah.

Pasangan yang hebat ialah berjaya mempertahankan perkahwinan hingga ke akhir usia, dan untuk menjadi hebat, perlu bijak menyelesaikan masalah, bukan bijak berbohong. Allah SWT berpesan, dengan maksud:

“Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu. (Ingatlah)pada waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakana dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ia di sisi Allah adalah besar.: (surah an-Nur, ayat ke=114 dan 15).

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.