Ketika di Madinah, hanya dengan apa yang beliau bawa, dan menolak bantuan kewangan, Abdul Rahman Bin Auf telah membina dirinya untuk menjadi orang terkaya di kota itu dengan izin Allah SWT. Dengan mengambil kadar inflasi masa kini, dianggarkan beliau meninggalkan harta sebanyak 160 juta dolar, setelah beliau meninggal dunia. Tambahan pula, beliau meninggalkan satu legasi sifat murah hati yang menjadi inspirasi kepada setiap muslim hingga ke hari ini.
Sebagai salah seorang sahabat Nabi yang dijanjikan syurga, kehidupan Abdul Rahman Bin Auf menjadi contoh terbaik di sebalik maksud seorang lelaki muslim yang ideal.
Sanggup Berkorban Untuk Berhijrah
Di Mekah, Abdul Rahman Bin Auf dikenali sebagai usahawan perniagaan yang sangat berjaya. Beliau telah menjalinkan hubungan perniagaan dengan peniaga lain, seperti Abu Bakar RA dan Umayyah Ibn Khalaf, tuan kepada Bilal RA. Beliau berasal dari Bani Zuhra, satu bani Quraisy yang dihormati, dan bani keturunan ibu baginda Rasulullah SAW. Secara logika, beliau mampu untuk hidup dalam kekayaan dan keselesaan.
Namun, keselesaan dan kesenangan bukanlah matlamat lelaki muslim. Di Mekah, kebebasan untuk menganut Islam dikekang. Apabila Nabi SAW mengarahkan kepada sahabah untuk berhijrah ke Abisiniyah dan mendirikan sebuah komuniti Islam kecil di sana, Abdul Rahman Bin Auf mengambil peluang itu. Beliau bersedia untuk meninggalkan keselesaan di Mekah dan mengejar sesuatu yang lebih berharga kepadanya, iaitu akhirah.
Setelah mendengar tentang keislaman bani Quraisy, beliau pulang ke Mekah, dan kemudian berhijrah ke Madinah pula. Beliau di kelompokkan ke dalam golongan Ashab Al Hijratain, sahabah yang telah berhijrah dua kali. Tambahan pula, beliau perlu bermula daripada awal, untuk kedua-dua kali beliau berhijrah.
Penghijrahan Abdul Rahman Bin Auf sebanyak dua kali ini, mengajar kita bahawa jika perlu memilih di antara keselesaan dan penghijrahan yang mendekatkan kita kepada akhirat, maka pilihlah akhirat. Dan juga, kesenangan dan keselesaan tidak akan melahirkan seorang lelaki yang hebat.
Hanya bergantung kepada Allah SWT dan Diri Sendiri
Apabila Abdul Rahman Bin Auf berhijrah ke Madinah, Nabi SAW telah memutuskannya untuk bekerjasama dengan Sa’ad Bin Al-Rabi. Sa’ad telah menawarkan separuh daripada hartanya kepada Abdul Rahman. Namun, Abdul Rahman menjawab, “Semoga Allah SWT merahmati kamu, keluarga kamu dan kekayaan kamu. Tetapi aku tidak memerlukannya, hanya tunjukkan aku jalan ke pasaran.” Lalu beliau pun pergi ke pasaran dan mula menjual-beli, dengan apa sahaja yang ada ditangannya.
Sedikit masa selepas itu, beliau bertemu dengan Rasulullah SAW, yang hairan kerana terhidu wangian wanita pada baju Abdul Rahman. Rasulullah bertanya, “Apakah ini ya Abdul Rahman?” Abdul Rahman menjawab, “Ya Rasulullah, aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita Ansar.” Nabi bertanya lagi, “Dan apa yang kamu memberikan sebagai mahar?” Beliau menjawab, “Sedikit emas.” Nabi merasa bangga dengan sahabatnya, dan memberitahunya supaya mengadakan walima, jamuan makan untuk mewar-warkan pernikahannya. Maka dalam beberapa hari sahaja tiba di Madinah, Abdul Rahman Bin Auf menjemput keluarga dan sahabat lain ke walima-nya.
Dengan rahmat Allah SWT, etika kerja yang kuat serta kepintaran berniaga, Abdul Rahman telah mampu mengumpul duit hingga cukup untuk kehidupannya, dan bernikah dengan mahar emas. Jika kita diberikan bantuan kewangan, ingatlah kisah Abdul Rahman Bin Auf. Rasulullah bersabda; “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” Lebih baik untuk kita menghadapi sedikit kesukaran daripada meminta-minta.
Kerjalah jika kita kekurangan pendapatan, dan bergantung kepada rahmat Allah SWT. Dikatakan bahawa Abdul Rahman sentiasa sedang membuat sesuatu, sama ada solat di masjid, atau berjuang bersama Nabi, atau pun berada di pasar mencari rezeki.
Tidak Mengejar Duit Semata-mata
Walaupun dikenali sebagai sahabah terkaya, Abdul Rahman Bin Auf sentiasa memastikan keutamaannya teratur. Beliau pernah berkata, :”Aku meninggalkan separuh daripada yang halal, kerana takut aku terlibat dengan riba’.” Baginya, keuntungan yang besar amat kecil jika dibandingkan dengan dosa memakan duit haram. Beliau telah meninggalkan harta buat seluruh umat Islam Madinah, setelah beliau meninggal. Umat Islam yang kaya seperti Uthman Ibn Affan RA pun menerima harta peninggalannya. Apabila ditanya mengapa Uthman menerimanya, beliau menjawab bahawa harta Abdul Rahman Bin Auf sudah tentunya halal dan suci. Keinginan Abdul Rahman kepada duit dan harta tidak pernah mengatasi keinginannya untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Allah SWT telah menghalalkan kebanyakkan perkara di atas dunia ini. Dalam mengejarnya, janganlah kita hilang fokus kepada akhirat. Mengejar harta, pelajaran atau populariti mesti berada di belakang keinginan kita untuk mengejar keredhaan Allah SWT.
Menilai Orang Dengan Sikapnya, bukan Harta atau Pangkat
Diceritakan ketika Abdul Rahman Bin Auf sedang berbuka, beliau mula menangis kesedihan. Beliau berkata, “Mus’ab Ibn Unaired telah shahid, dan dia lebih baik daripadaku. Dia telah ditutup dengan kain yang tidak dapat menutupi keseluruhan tubuhnya. Hamza telah shahid, dan dia lebih baik daripadaku. Dia tidak dikafankan dan dikuburkan dengan baju yang dia pakai. Sekarang ini, aku risau balasan baik telah dipercepatkan untuk kita, di dunia ini dan bukan di akhirat.” Walaupun beliau telah dijamin syurga, berjuang semasa perang Badar dan Hudaibiyah, namun Abdul Rahman tidak pernah angkuh dan ujub.
Abdul Rahman Bin Auf melihat dunia melalui lensa Islam dan ketakwaan. Oleh kerana itu, beliau menjadi buta terhadap pangkat, harta dan bangsa. Justeru, kriteria apakah yang kita guna apabila menilai seseorang?
Membelanjakan Harta Dengan Baik
Abdul Rahman Bin Auf mempunyai harta yang cukup untuk hidup dalam kemewahan. Namun beliau tetap memandang ke arah akhirat. Setiap kali Rasulullah SAW memerlukan duit, beliau akan menolong. Begitu juga jika Abu Bakar, Umar dan Uthman memerlukan duit, beliau pantas menolong mereka.
Semasa peperangan Tabuk, beliau menginfaq kepada ekspedisi itu dan membelikan kelengkapan perang bagi mereka yang tidak mampu. Setelah Nabi wafat, beliau bersedekah setiap masa kepada isteri-isteri baginda, dan membiayai mereka untuk menunaikan haji, setiap kali mereka keinginan.
Talha RA pernah berkata ⅓ umat Islam Madinah hidup dengan pembiayaan Abdul Rahman Bin Auf. Manakala ⅓ lagi telah meminjam darinya tanpa dikejar tentang pembayaran hutang, dan ⅓ yang lain menerima infaq secara terus daripadanya.
Harta dan kekayaan di tangan seorang yang baik menjadi manfaat, tetapi di tangan yang salah akan menjurus kepada korupsi dan ketamakan. Sekiranya kita menggunakan 100% harta kita untuk diri sendiri, tanpa bersedekah, maka kita tidak mengikuti jejak langkah seorang lelaki yang terbaik di dunia.
Abd Rahman Bin Auf menderma jumlah harta yang banyak pada perang Tabuk, munafik di Madinah mengejeknya dan mengatakan beliau hanya menderma untuk menunjuk kekayaannya. Allah SWT telah menjawab ejekan mereka di dalam Surah At-Taubah ayat 79 yang bermaksud;
“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Jika kita berdepan dengan ejekan dan momokan daripada pengkritik, ingatlah kisah Abdul Rahman Bin Auf. Semoga Allah SWT menjadikan kita lelaki seperti beliau, dan menyatukan kita dengannya dan Nabi SAW di syurga nanti.