BAHASA CINTA KITA

BAHASA CINTA KITA

Dulu, hujan adalah satu anugerah, seperti sahabat akrab yang datang mewarna-warnikan hari-hari kami. Hujan turun di kampung kami tidak tentu masa. Namun, kalau hujan turun waktu kami sedang beriadah, dan tidak kedengaran pula bergementamnya bunyi guruh, atau tidak kelihatan pula kilat memancar, kami akan teruskan sahaja aktiviti tanpa sebarang kerisauan. Memang kami suka lencun kuyup dalam hujan meskipun kami tahu, suara bebelan ibu akan menunggu bila pulang ke rumah nanti.

“Demam nanti baru tau.”

“Dah selesema, batuk, baru berhenti ya?”

“Cuci badan semula dengan air bersih.”

Dan macam-macam lagi bebelan ibu, meski kini kita semua memahaminya sebagai sebuah ungkapan kasih sayang. Bebelan yang hakikatnya menjadi bahasa cinta seorang ibu.

Hujan selalu meluncurkan bahasa cinta Tuhan melalui curahan air yang menghijaukan tumbuh-tumbuhan, memberi erti kepada makhluk yang kehausan, menebar manfaat kepada insan yang selalu memerlukan air untuk meneruskan kehidupan.

Bagi petani, hujan adalah rahmat kehidupannya yang ditunggu-tunggu. Memesrai air hujan sentiasa menjadi rindu yang berulang lantas menjadi rezeki dan nikmat buat mereka berbagi rasa. Bagi tanaman, hujan adalah seperti tali yang berantai untuk saling menebar manfaat, kerana dengan hujan mereka tumbuh subur dan memberi buah serta sayur yang menjadi makanan kepada manusia dan haiwan. Bagi bumi yang kontang, hujan adalah impian dan kekasih yang sentiasa ditunggu, bila hujan turun, tumpahnya seperti air mata bumi yang sedang melepas rindu.

Apabila hujan mencurah pada waktu malam dan bunyinya bergemeretak di atap zink, rasa mengantuk lekas menerpa. Bunyi unggas dan katak akan sahut menyahut di belantara berdekatan. Udara akan menerpa melalui celah-celah dinding papan dan dinginnya seolah-olah terasa sampai ke tulang. Keadaan itu sering menanamkan pergolakan bawah sedar yang akan muncul semula apabila terganggu dengan desakan urbanisasi dalam pelukan belantara kota.

Saya selalu bertanya kepada diri, apakah kini saya selalu mengamati titis hujan dalam belantara kota seperti menghayati titis hujan saat tinggal dikelilingi belantara desa dahulu? Saat sibuk dengan desakan urbanisasi dan modenisasi, kita seringkali lupa kepada akar diri. Jarang benar mengambil masa bermeditasi, lantas tumpuan dan fokus tidak selalu diuji. Apakah itu adalah fokus dan tumpuan sebenar kita? Atau hanya alat pada sebuah matlamat?

Bahasa Cinta Insan

Hujan yang melimpah mengirimkan bahasa cinta Tuhan. Bahasa adalah wadah berkomunikasi yang menghubungkan antara dua entiti atau identiti berbeza. Bukanlah bahasa itu hanya terkurung pada ungkapan lisan semata-mata, tapi juga pada ungkapan jasmani dan rohani.

Tubuh badan manusia juga boleh berbahasa melalui gerak tubuh dan beberapa pergerakan berulang yang diakui sendiri oleh pakar-pakar psikologi. Bahasa rohani dikesan melalui penglihatan mata hati. Respons jiwa terhadap penciptaan ayat-ayat maqru’ah dan manzurah menjadi medium tadabbur penting sebagai seorang yang beriman mahu pun yang masih mencari keimanan.

Tuhan mengirim bahasa cinta-Nya supaya kita sentiasa melihatnya sebagai pengajaran untuk menghidupkan bahasa cinta sesama insan. Cinta dan kasih sayang adalah punca kewujudan dan asas pada sebuah kerukunan individu, masyarakat dan negara. Cinta dan kasih sayang melewati batas usia, rupa, warna dan sifatnya alamiah atau universal. Setiap makhluk memerlukannya dan perlu pula memberi serta menebarkannya kepada yang lain.

Bayangkan kehidupan tanpa cinta. Merebaklah apa yang menjadi lawan cinta iaitu benci. Daripada benci akan muncullah pelbagai penyakit lain seperti iri dan dendam. Dunia akan menjadi gelap, peperangan dan pergaduhan sentiasa meletus di mana-mana, dan tiada ceruk di muka bumi ini akan terlepas dari menjadi sengsara dan derita.

3 Bahasa Cinta

Insan adalah makhluk yang saling berhubung dan bahasa menjadi medium komunikasi supaya perhubungan berlaku. Menyukai untuk keseorangan dan bersendirian hakikatnya adalah kegilaan dan ia adalah ciri mereka yang mempunyai penyakit psikologi. Amat mudah untuk kita mengatakan bahawa setiap orang termasuk yang membaca esei ini memiliki perhubungan dengan insan-insan lain di sekelilingnya. Namun, bagaimanakah mewujudkan hubungan yang berkualiti sentiasa menjadi dilema.

Perhubungan yang positif dan teguh akan menimbulkan kegembiraan manakala perhubungan yang negatif dan lemah akan mencetuskan kesakitan yang dalam. Apa yang paling menggembirakan tentulah kebahagiaan yang diperoleh dalam sebuah perhubungan. Secara internalnya apabila seorang anak berasa dikasihi oleh ibunya maka secara eksternalnya dia akan selesa berada di rumah dan sentiasa terdorong.

Kekurangan kasih sayang dari ibu bapa selalunya akan menyebabkan anak-anak pergi mencari kasih sayang dalam perhubungan yang lain. Dulu, meski bagaimana garangnya seorang ayah, tidak ada yang akan mengganggu paradigma kita tentang kasih sayang ibu bapa. Namun, pada zaman teknologi tanpa sempadan, media sosial sentiasa berperanan menjadi gangguan dalam sebuah perhubungan. Sayang sekali, kadang-kadang ibu bapa sendiri hanyut dan lemas dibawa arus tersebut. Hasilnya dapat dilihat melalui remaja yang memilih rakan-rakan dan dunia motosikal sebagai dunia kecintaan. Rakan-rakan akhirnya lebih dipercayai daripada ibu bapa sendiri.

Tidak ada yang terlambat dalam sebuah perhubungan. Apa yang penting, sebaik sahaja kesedaran timbul, maka segeralah bermuhasabah mencari punca keretakan dan kembali membinanya semula. Better late than never!

Saya teringat tips Dr. Gary Chapman tentang bagaimana memupuk cinta dan tips tersebut sangat berguna sebagai bekal dalam mendepani arus modenisasi serta gangguan yang selalu berlaku terhadap fokus dalam perhubungan dan kerenggangan yang berlaku bersama anak-anak dan remaja. Saya simpulkannya kepada tiga bahasa cinta.

1. Kata-kata peneguhan yang positif 

Kita perlu membesarkan anak-anak dalam suasana perkataan yang baik dan positif. Anak kecil khususnya, membesar melalui apa yang didengar dan dilihat yang akhirnya akan tertanam dalam ingatan bawah sedarnya. Kata-kata yang positif akan memberi kesan besar ke atas tumbesaran emosi. Seorang dewasa yang membesar dengan perkataan yang negatif sangat sukar untuk menghasilkan kata-kata peneguhan yang positif. Apapun, segalanya boleh bermula dengan mendengar kata-kata positif daripada orang lain seperti mendorong, memuji perkataan yang jujur, sebelum segala perkataan yang negatif di minda dan selalu meluncur di lidah akan terhapus.

2. Layanan yang baik 

Albert Einstein salah seorang saintis terkemuka di kemuncak pencapaiannya pernah menggantikan potret Maxwell dan Newton di dindingnya dan menggantikannya dengan gambar Schweitzer dan Gandhi. Ketika ditanya oleh rakannya kenapa dia berbuat demikian, dia berkata bahawa sudah tiba masanya menggantikan simbol sains dengan simbol kebaktian.

Memberi layanan kepada anak-anak perlu kembali menjadi fokus ibu bapa. Rumah perlu dijadikan ‘tempat berbakti’ dan memberi khidmat kepada anak-anak. Sebagaimana sebuah pekerjaan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sehabis daya, maka bersama anak-anak tuntutan memberi layanan yang baik tentulah melebihi batas konotasi ‘pekerjaan’, kerana anak-anak merupakan aset Akhirat. Layanan yang baik seperti bermain bersama mereka, berbual-bual, eye contact, makan bersama merupakan bahasa-bahasa cinta bersama anak-anak dan itulah makanan terbaik buat emosi atau perasaan mereka.

3. Masa berkualiti 

Sebuah keluarga berada di ruang tamu. Ibu membaca aplikasi media sosial di telefon pintarnya bersebelahan bapa yang juga sedang melakukan perkara yang sama. Anak-anak ada yang bermain ipad, menonton televisyen dan bermain permainan video. Semua aktiviti berlaku di ruang tamu dalam rumah itu.

Situasi berikut merupakan gambaran mudah untuk menjelaskan lawan pada masa berkualiti. Apa yang berlaku ialah keluarga tersebut menghabiskan masa bersama-sama di ruang tamu, tetapi hakikatnya hanyalah jasad mereka yang bersama-sama sedang hati tidak saling berhubung.

Masa berkualiti itu bermaksud memberikan sepenuh perhatian tanpa berbelah bahagi. Kita tentu biasa mengalami situasi dengan anak-anak apabila mata dan telinga mendengar mereka berkata-kata tetapi hati dan minda masih di tempat kerja. Justeru, fokus masa berkualiti yang dimaksudkan ialah memberi sepenuh hati dan perasaan melalui tindakan seperti mendengar dan menumpukan perhatian terhadap orang lain.

Selanjutnya selalulah mempersoal kebiasaan-kebiasaan yang kita lakukan di rumah dan ketika bersama keluar. Apakah yang kita lakukan itu betul? Apakah pilihan tindakan yang kita lakukan itu tepat? Jika anak-anak sudah dewasa, apakah boleh diulang masa untuk ditebus kesilapan lalu?

Ambil masa untuk berehat dan berlibur bersama keluarga dan pastikan gajet dimatikan semasa proses memperkukuh bahasa-bahasa cinta sedang dilakukan. Terma ‘bahasa cinta’ yang digunakan sangat mudah memberi makna bahawa tanpa berusaha memahaminya, mana mungkin datangnya bahagia.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

032686
Hari ini: 14
Minggu Ini: 255
Bulan Ini: 6,482
Tahun Ini: 32,686
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.