NASIHAT AL-MULUK

NASIHAT AL-MULUK

Menurut  salah satu kemunduran umat Islam berpunca daripada kelemahan ulama. Ulama yang tidak lagi berperanan sebagai pewaris Nabi yang gigih berjuang untuk Islam di atas landasan menegakkan kebenaran. Sebaliknya, ulama yang menyibukkan diri dengan agenda peribadi dan sebahagian yang lain tenggelam dengan nikmat duniawi. Melalui ungkapannya yang terkenal,  mengkategorikan ulama jenis ini sebagai ulama su’ iaitu yang tujuan mereka hanya mencari pangkat dan kedudukan. 
 
Kategori ulama lain yang menjadi punca kepada kemunduran umat Islam menurut sarjana terkemuka Abu Hasan Ali An Nadwi ialah ulama yang mengasingkan diri daripada kancah kehidupan sosio-keagamaan. Menurut pengarang buku terkenal Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam (terjemahan dalam bahasa Indonesia), ulama jenis ini tidak mempunyai keberanian dan jiwa perjuangan yang kukuh mendepani cabaran yang terjadi. Mereka mengasingkan diri kerana ingin mencari ketenangan, melarikan diri daripada tugasan dan tanggungjawab serta tidak yakin kepada kemampuan dirinya sendiri.
 
Lantaran itu, Al Ghazali menyarankan kepada umat Islam untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan moral dan kefahaman keislaman bagi mengelak perpecahan dan kemunduran umat Islam. Menurut , tujuan pendidikan mestilah menjurus kepada tujuan agama dan akhlak, di mana penekanan haruslah ditumpukan kepada penguasaan keutamaan dan taqarrub kepada Allah. Oleh sebab itu, tujuan utama pendidikan ialah bukan mencari kedudukan tinggi atau membina status.
 
Dalam hal ini, Al Ghazali mencontohkan institusi pendidikan yang diasaskan Nizam Al Mulk pada pemerintahan Saljuk dan yang pernah diketuai oleh  sendiri, sebagai tapak par excellence bagi menghasilkan pemikir dan ulama yang handal dalam menangani gejala kemunduran dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Tautan ilmu yang terdapat dalam  Nasihat al-Muluk banyak memaparkan kesukaan raja dan pembesar yang sentiasa mencintai majlis ilmu. Contohnya perbincangan ilmu mengenai peranan akal semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun. 
 
Dari segi sosial, kedudukan seorang yang berilmu akan dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat. Bagaimanapun, bagi seorang yang hanya mencintai ilmu dunia dan perutnya tetap  dipandang hina oleh masyarakat. Manakala manusia yang tidak berakal dan berilmu dipinggirkan masyarakat dan ini berbeza dengan mereka yang berakal, berilmu dan sentiasa berbuat kebaikan.  Ilmu berupaya memandu akal ke arah kebaikan dan menjauhi diri dari melakukan kejahatan. Akal pula dapat membezakan seorang yang beriman dengan orang yang jahil, bertuankan nafsu, bermegah-megah, zalim dan sentiasa menjauhi kebaikan. Dalam Islam, akal dapat mengangkat kedudukan dan kemuliaan seorang, karena itulah seorang yang berilmu dan berakal mempunyai kedudukan yang tinggi.
 
Secara keseluruhannya, Nasihat al-Muluk merupakan satu sumbangan besar  dalam bidang pemikiran politik karena ia menjadi panduan adab tatanegara dan membentuk pemimpin yang baik.Tentunya, pengaruh dan kesan Nasihat al-Muluk menjadi pedoman bernegara oleh raja-raja Melayu sejak ianya mula diperkenalkan kepada mereka, dan atas pengaruh itulah maka kitab-kitab ketatanegaraan yang lahir kemudiannya, berusaha menyadurkan sebanyak mungkin idea  sebagai asas panduan mentadbir dan memimpin. Keupayaan Imam menggabungkan tanggungjawab raja, menteri, ilmu, akal dan wanita menjadikannya sebagai salah sebuah karya yang dapat menuntun raja menjadi seorang pemimpin yang baik.Kitab klasik ini sarat dengan etika politik yang berharga.Bagi alghazali penguasa dan ulama merupakan dua pilar penting untuk memakmorkan masyarakat.Seorang peminpin adil katanya lebih utama daripada ahli ibadah seratus tahun.Sebab keadilan peminpin merupakan prasyarat untuk kesejahteraan masyarakat didunia dan akhirat.
 
Politik moral yang diistilahkan oleh Al-Ghazali dengan siasah al-akhlaq menjadi garis sempadan kepada pemimpin negara untuk menjunjung tinggi nilai-nilai moral dalam setiap perilaku dan dasar pemerintah. Pada masa yang sama, moral menjadi musuh utama kepada berlakunya segala penyelewengan politik, rasuah, khianat dan amalan negatif lainnya. Moral politik juga menjadi pegangan yang perlu dipatuhi bersama dalam menjalankan peraturan baik yang tertulis mahupun tidak tertulis untuk kepentingan seluruh manusia. Kedaulatan undang-undang dan bahkan institusi negara tidak akan bertahan lama sekiranya pemimpin bangsa mengalami defisit moral.
 
Berbeza dengan konsep moral dalam fahaman Barat yang lebih menekankan kepada aspek kebebasan individu dan cenderung mengabaikan prinsip agama, Al-Ghazali mensyaratkan moral politik berdasarkan kepada prinsip agama. Sungguhpun Al-Ghazali bersetuju dengan pendapat ahli falsafah Greek Aristotales bahawa moral bertujuan untuk mencapai kebahagiaan, akan tetapi moral yang terbaik ialah yang berdasarkan kepada agama (Islam). Dalam hal ini, Al-Ghazali menyarankan kepada para pemimpin untuk menjiwai tasawuf sebagai tunjang utama moral politik bagi mengelakkan sebarang tindakan negatif.         
 
Pentingnya nilai moral dalam pengurusan negara dan pentadbiran turut menjadi elemen pembeza kepada pemimpin yang baik atau pemimpin yang jahat. Hal ini disentuh dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Ketua negara yang baik ialah seorang yang dicintai oleh rakyatnya dan dia (ketua) mencintai rakyatnya, dan antara keduanya saling menjalin hubungan yang baik. Ketua negara yang jahat ialah yang dibenci oleh rakyatnya dan dia membenci pula rakyatnya, rakyat mengutuk dia dan dia (ketua) pun mengutuk rakyatnya” (Riwayat Awf Malik). 
 
Hadis di atas menjelaskan bahawa menjalin hubungan baik atau mencintai rakyat dan sekaligus dicintai rakyat menjadikan seorang pemimpin tersebut dapat dikategorikan sebagai pemimpin yang mempunyai moral yang terpuji. Sebaliknya, seorang pemimpin yang mempunyai moral yang buruk disebabkan terpalit dengan skandal, menyeleweng dan terbabit dengan rasuah disifatkan sebagai pemimpin jahat yang tidak mempunyai moral. Jenis pemimpin yang sebegini akan dibenci oleh rakyatnya sendiri dan tidak lagi layak memimpin negara. 
 
Ketika berdepan dengan asakan pasukan Muawiyah, khalifah Ali bin Abi Talib berpidato di hadapan pasukan tenteranya “Demi Tuhan, sesungguhnya musuh-musuh itu (tentera Muawiyah) akan menewaskan kamu kerana mereka mempunyai moral yang baik iaitu mereka bersatu padu dalam kesesatan, sedang kamu berpecah belah dalam kebenaran. Kamu menderhaka kepada pemimpin kerajaan yang berada dalam kebenaran, sedang mereka mentaati ketua mereka walaupun mereka berada dalam kesalahan”. Ucapan Ali bin Abi Talib ini memberi isyarat jelas bahawa moral menjadi faktor penting kepada ‘survival’ dalam sesebuah entiti kehidupan bernegara. 
 
Mencermati perkembangan sosio-keagamaan belakangan ini, ada kecenderungan di kalangan elit agama di negara ini untuk cuba menonjolkan ego masing-masing dan bersifat terlebih keyakinan diri. Secara zahir, tidak dapat dipastikan sama ada penonjolan itu bagi memenuhi kepentingan umat atau sebaliknya diselubungi nafsu dan cita-cita peribadinya. Tercetus keraguan adakah perkara itu menjadi sebahagian daripada tugasan negara yang terletak di bahu mereka ataupun hanya merupakan jelmaan kepada sikap takbur yang sepatutnya dielakkan.
 
Di satu pihak, ada sebahagian kalangan elit agama menggunakan ‘pentas’ yang tersedia dan disediakan oleh negara bagi tujuan untuk mempertahankan segala tindak tanduk orang yang melantiknya. Meskipun mengetahui bahawa orang yang melantiknya telah mengeluarkan keputusan yang bertentangan dengan prinsip agama dan kepentingan negara, seolah-olah mereka tidak ambil tahu dan tidak bersikap sewajarnya. Mereka lupa bahawa sebagai orang yang ‘arif’ dalam masalah agama dan diberi tanggungjawab hal ehwal keagamaan, sepatutnya mereka bertindak dan bersikap di atas kebenaran ilmu yang mereka miliki.
 
Justru, perlantikan golongan ini sebahagian besarnya dimotivasi bagi menggalas tugasan untuk mempertahankan pemimpinnya walaupun terpalit dengan kontroversi dan seterusnya menjadi ‘lialibiliti’ yang terpaksa ditanggung oleh keseluruhan umat. Berikutan itu, kita dapat menyaksikan di antara mereka menjadi ‘jurubicara’ tidak rasmi di atas senario dan konflik yang berlaku. Pada masa yang sama, ada di antara mereka yang berlumba-lumba menggunakan ‘pentas’ agama seperti khutbah Jumaat untuk mencipta legasi dan wibawa di mata orang ramai sehinggakan tugasan mereka yang lebih utama dan mencabar pada era pancaroba ini terpaksa ditinggalkan demi meraih cita-cita peribadi.
 
Di pihak lain, ada di kalangan elit agamawan lain yang berlagak menjadi wira agama. Di atas ‘pentas’ yang sama tetapi dengan tajuk lain, golongan ini mahu menonjol dan mengenalkan apa yang dislogankannya sebagai ‘pengamal ajaran Islam yang sebenar’. Kemunculan kumpulan dan individu ini secara sedar dan sistematik cuba untuk merombak dan merubah corak atau pegangan yang sudah mampan kepada corak keagamaan yang didakwa sebagai mengikuti manhaj yang sahih dan paling autoritatif.
 
Rentetan itu, mereka cuba dengan segala daya mempromosikan cara pandang ini dengan beragam cara. Ada sesetengahnya dengan menguasai jabatan agama dan institusi ‘think thank’ yang diasaskan oleh kerajaan. Sesetengahnya pula cuba menguasai tapak intelektual di universiti dan wacana umum (public discourse) melalui forum-forum ilmiah, diskusi, seminar dan sebagainya. Dan yang tak kalah pentingnya, menerusi senjata coretan pena sama ada di tapak laman sosial, portal berita sehingga dalam ruang yang disediakan di media arus perdana. 
 
Apabila golongan pertama memainkan peranan sebagai agamawan rasmi dan ianya sering dilabel sebagai ulama kerajaan, golongan kedua pula syok sendiri disebabkan ketaksubannya terhadap pandangannya yang ‘paling benar’. Tanpa segan silu, kumpulan ini tidak hanya mempertikai dan menyalahkan corak keagamaan arus perdana yang telah dibina secara susah payah oleh ulama-ulama terdahulu tanpa menimbulkan huru-hara, lebih daripada itu kalangan ini mempertontonkan ‘keangkuhan intelektual’.
 
Sepertimana yang boleh dibaca dan diakses dalam ruang yang tersedia terutama di laman web, idea-idea tajdid (pembaharuan) yang mereka tawarkan menyerlahkan pandangan yang kurang bijaksana. Pada asasnya, idea pembaharuan itu merupakan idea yang baik dan perlu dialu-alukan. Akan tetapi, ia perlu disampaikan dengan cara yang betul dan mengambil berat adab dan sopan santun dalam berhujah. Ia sekaligus menjaga keutamaan berdakwah daripada membangkitkan perkara khilafiah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.