MASIH ramai di kalangan umat Islam sendiri yang memberi ukuran dan menilaikan Islam itu cuma dari aspek zahir semata-mata, iaitu melalui mata kasar yang ada pada mereka. Mereka melihat Islam tentang binaan masjidnya yang besar-besar dan agung, tentang banyaknya agensi agama dengan ramai pegawainya, tentang madrasah atau sekolah-sekolah agama yang ramai mahaguru dan muridnya atau tentang program-program agama yang diadakan.
Ada juga yang melihat dari segi penunaian rukun Islam dan keyakinan rukun iman semata-mata. Islam bagi mereka hanya terbatas kepada penyempurnaan sembahyang, puasa, haji dan lain-lain ibadah termasuk yang berhubung dengan akidah. Jika perkara-perkara lain hendak diislamkan maka perlulah diberi nama Islam atau dilogokan dengan mengguna istilah-istilah yang berunsur Islam, atau dilabelkan dengan perkataan Islam.
Paling anehnya ada yang memberi nilai cuma kepada penampilan pakaian. Islam itu diletak pada janggut dan misai yang disimpan, serban dan jubah yang dipakai, purdah dan telekung dan sebagainya. Bertambah hebatlah imejnya apabila dia boleh berpidato dengan menyebut ayat-ayat dan hadis dengan fasih.
Mereka ini apabila menyebut pelaksanaan Islam dalam masyarakat maka tergambarlah dalam fikiran mereka bahawa Islam itu hendaklah memperbanyakkan agensi agama, hendaklah melabelkan segala kegiatan masyarakat dengan nama Islam dan hendaklah menggalakkan orang ramai berpakaian serban dan jubah.
Maka ramailah mereka yang ingin menyatakan dirinya lebih Islam dengan cara penonjolan demikian. Anggapan seumpama ini tidak betul sama sekali dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
Islam mempunyai konsep menyeluruh sesuai dengan agama Islam sebagai agama yang mencakupi (syumul) seluruh bidang kehidupan manusia bermula dari diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, negara dan seterusnya perhubungan antarabangsa dari pelbagai aspek, iaitu politik, ekonomi, pelajaran dan lain-lain. Pelaksanaannya hendaklah dengan niat dan cara yang betul juga menurut garisan boleh dan tidak boleh sebagaimana yang telah ditetapkan. Soal nama, label, logo, dan pakaian tidak timbul. Yang pentingnya ialah kesungguhan bekerja dan matlamat pelaksanaan itu ke arah pencapaian keredaan Allah.
Islam telah pun menggariskan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh (dos and donts) dilakukan berasaskan kepada hukum yang lima; haram, makruh, wajib, sunat dan harus. Perkara-perkara yang boleh dilakukan adalah jelas iaitu perkara-perkara makruf dan perkara-perkara yang jangan dilakukan ialah perkara-perkara mungkar, sesuai dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada umat Islam.
Firman Allah (Ali Imran 110) bermaksud: Kamu sekelian adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan kepada manusia umum untuk bertugas mendorong kepada perkara-perkara yang baik (makruf) dan mencegah perkara-perkara buruk (mungkar) dan beriman kepada Allah.
Makruf dan mungkar adalah nilai-nilai universal yang diterima dan diakui oleh semua masyarakat sejagat. Pengertian makruf adalah semua perkara baik yang sepanjang masa telah diterima sebagai baik oleh hati nurani umat manusia, seperti hormat-menghormati, mewujudkan kemakmuran, tolong-menolong, menegakkan keadilan, melahirkan keamanan dan sebagainya. Dalam istilah hukum Islam, perkara makruf ini termasuklah semua perkara wajib, sunat dan mubah.
Pengertian mungkar pula adalah semua perkara buruk yang telah ditetapkan oleh syarak dan disepakati oleh manusia sejak dahulu hingga sekarang. Antara lainnya ialah kemiskinan, kejahilan, kezaliman dan lain-lain perkara yang membawa kepada kemunduran, kemerosotan, kehinaan, kedurjanaan, kecemaran dan kekejian.
Perkara-perkara ini telah dikutuk dan dicerca oleh manusia kerana ia bersifat keji dan boleh menimbulkan perasaan gelisah orang ramai dan sebagainya. Dalam hukum Islam perkara mungkar ini termasuklah semua perkara haram dan makruh.
Perkara makruf ini apabila dilaksanakan dengan sempurna maka kebajikan dan faedahnya akan dinikmati oleh setiap orang. Antara acuan dan modelnya ialah memberi perlindungan kepada semua golongan yang lemah, menyediakan makanan kepada mereka yang lapar dan pakaian kepada yang bertelanjang, mendorong ke arah bekerjasama dalam perkara-perkara kebajikan, tidak merampas kebebasan sesiapa pun melainkan untuk menegak keadilan dan mencegah kezaliman.
Makruf juga meliputi dan memenuhi kerja-kerja seperti menambah ilmu pengetahuan, menjaga nilai-nilai moral, membersihkan diri dari sangkaan jahat, membentuk peribadi yang teguh, mengawal nafsu, penglihatan dan pendengaran, mencegah keinginan yang buas, menahan kemarahan, merendahkan diri, mencontohi yang baik dan sebagainya.
Di samping itu Islam melarang membunuh diri, berbohong, menipu, berpura-pura, bakhil, membazir, angkuh, mengerjakan perbuatan keji, menyembunyikan kebenaran, mencela dan sebagainya, kerana semuanya ini adalah berada dalam kategori mungkar. Tidak ada sesiapa yang mengatakan bahawa menegakkan keadilan dan menyebarkan kemakmuran itu adalah perkara yang keji dan buruk. Begitu juga tidak ada sesiapa yang mendakwa bahawa permusuhan dan perbalahan itu adalah perkara yang boleh diterima sebagai baik. Semua mengakui dan menerima bahawa yang baik itu tetap baik dan yang buruk itu adalah keji dan cela.
Arahan yang dibuat supaya setiap pekerja dan pegawai hendaklah bersih, cekap dan amanah, menepati waktu bekerja, hendaklah dilakukan secara jujur dan bersungguh-sungguh, hendaklah bersih rohani dan jasmani, hendaklah berdisiplin dan sebagainya, semuanya ini adalah antara perkara makruf yang mesti dipatuhi. Ertinya perkara-perkara ini adalah juga suruhan Allah dan mendapat balasan syurga di akhirat kelak.
Usaha-usaha ke arah pembasmian kemiskinan, memerangi kejahilan, memperbanyakkan golongan cerdik pandai, menyediakan kemudahan awam, mengadakan berbagai-bagai kemudahan hidup bagi orang ramai dan sebagainya adalah perkara-perkara baik yang dituntut oleh Islam juga.
Setiap orang yang mempunyai fikiran waras dan hati nurani yang bersih sudah tentu dapat membezakan di antara yang makruf dengan yang mungkar. Walaupun Islam tidak menyenaraikan dengan terperinci perkara-perkara yang halal, tetapi telah pun menjelaskan dengan detail perkara-perkara yang haram berserta dengan illatnya.
Tidak timbul lagi masalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram.
Cuma dalam usaha ke arah pelaksanaan ajaran Islam ini hendaklah kita tidak semata-mata pandai menghukum, tetapi yang lebih pentingnya hendaklah melihat dari segi penyediaan tenaga, kemampuan bekerja, cara pelaksanaan dengan mengambil kira ruang masa, suasana dan keadaan sekeliling yang ada, kerana apa yang dikatakan negara Islam itu bukanlah negara yang hanya tahu menghukum, tetapi adalah negara yang dapat mendidik rakyat ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.
Matlamatnya bukan cuma mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tetapi lebih utama untuk mencipta rakyat yang mempunyai daya fikir (iman) dan daya bekerja (amal) yang cekap dan untuk merealisasikan bahawa ajaran Islam itu adalah agama sejagat yang sesuai pada waktu dan tempat mana saja.
Tetapi pelaksanaan dan penyampaian matlamat itu hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat dari satu keadaan kepada satu keadaan bergantung kepada kenyataan yang ada di sekeliling.
Sama ada diakui atau tidak umat Islam di negara ini mundur dari aspek ekonomi dan pelajaran. Di samping mereka pula ada sebilangan besar golongan bukan Islam yang telah maju dalam serba bidang, sedangkan ekonomi dan pelajaran adalah antara unsur-unsur penting bagi pengukuhan umat Islam.
Kita harus tahu membezakan di antara matlamat dengan kenyataan yang ada. Walaupun kenyataan itu bukanlah merupakan penghalang ke arah penyampaian matlamat, tetapi kejayaan suatu cita-cita adalah bergantung juga kepada kenyataan yang ada.
Kegagalan negara-negara Islam sebelum ini antara lainnya kerana terlalu emosi dan tidak tahu membezakan di antara matlamat dengan kenyataan. Maka dengan kedegilan dan kejahilan itu matlamat yang hendak dicapai hancur sama sekali.
Pemimpin yang bijaksana ialah mereka yang sedar dan insaf bahawa daya dan tenaga umat Islam hari ini amat terbatas. Masalahnya, bagaimanakah dalam keadaan yang terbatas itu mereka dapat menjamin pencapaian matlamat sehingga tidak akan berlaku apa yang dikejar tidak berhasil dan yang dikendong pula keciciran. Menyedari hakikat inilah maka mereka yang bernama pemimpin terpaksa arif dan bijaksana mencari pilihan dalam memberi pengutamaan kepada yang lebih penting dengan tidak melupakan yang kurang penting.
