ILMU ASAS KEKUATAN UMMAH

ILMU ASAS KEKUATAN UMMAH

Manusia menurut al-Quran memiliki potensi untuk meraih ilmu dan mengembangkannya dengan izin Allah s.w.t. Berkali-kali pula al-Quran menunjukkan betapa tingginya darjat orang yang berpengetahuan. Perintah penggunaan akal sebagai dasar kerasionalan ilmu dengan perintah untuk mengamati keadaan alam menjadi landasan empirik ilmu yang sering beriringan antara satu sama lain. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;” Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar tanda bagi orang yang mengetahui.” (surah ar-Rum: 22). 


Perintah al-Quran itu kemudiannya diperkuatkan oleh hadis-hadis Nabi yang mewajibkan umat Islam untuk menuntut ilmu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Menuntut ilmu itu wajib bagi kaum lelaki dan perempuan” (riwayat Bukhari dan Muslim), “Tuntutlah ilmu dari ayunan buaian hingga ke liang lahad, (riwayat Bukhari) dan pelajarilah ilmu walaupun sehingga ke negeri China (riwayat Bukhari dan Muslim).


Rasulullah juga bangkit di tengah-tengah kaumnya serta menganjurkan mereka agar terus menuntut ilmu yang pada hakikatnya akan menjadi kayu ukur peradaban dan kemajuan. Seperti apa yang diungkapkan hadis ketiga di atas, maka Rasulullah melihat ilmu itu bersifat universal, maka baginda pun menanam semangat kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha dalam menuntut ilmu. 


Lebih jauh lagi Islam telah menempatkan kedudukan ilmu pada tingkat yang lebih tinggi seperti sabda Rasulullah yang bermaksud; Manusia yang mulia adalah seorang mukmin yang berilmu (hadis riwayat bukhari).


Dalam hal ini kita dapat mengambil pelajaran, sekali gus memperoleh contoh yang menarik, iaitu ``persaingan'' antara Adam dengan malaikat yang pada akhirnya Adam dinobatkan sebagai pemenang kerana ilmunya. Dan dengan ilmu itulah juga, maka Allah memerintahkan malaikat untuk bersujud kepada Adam (surah al-Baqarah: 31-34). Persaingan yang dimenangi oleh Adam kerana berilmu ini didahului dengan pemberitahuan Allah kepada malaikat untuk menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. 


Namun malaikat membantah dan menonjolkan dirinya sebagai makhluk Allah yang lebih suci, sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud; Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. 


Mereka berkata; Mengapa Engkau hendak menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan Engkau? 
Allah berfirman lagi yang bermaksud; sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. Lalu malaikat dimalukan oleh Adam dengan ilmunya itu, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 31-34 yang bermaksud; Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama benda seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada malaikat, lalu berfirman; Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar! Lalu malaikat menjawab; Maha Suci Engkau. Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau ajarkan pada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.


Allah berfirman yang bermaksud; Hai Adam, beritahukanlah kepada malaikat nama benda-benda itu, Allah berfirman; Bukankah sudah Kukatakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu nampakkan dan apa yang kamu sembunyikan? Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat; sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takbur, ia termasuk mereka yang kafir. 


Pengetahuan ilmu yang diperoleh oleh Adam daripada Allah telah memunculkan kekuatan yang luar biasa untuk mengalahkan malaikat. Dengan kata lain, kekuatan Adam adalah dengan keunggulan ilmu yang dimilikinya itu. Ini bererti Adam merupakan susuk peribadi yang lebih unggul daripada malaikat.


Dalam konteks persaingan antara Adam dengan malaikat ini dan apa yang lebih menarik lagi untuk kita renungkan adalah bahawa peristiwa ini semuanya didahului dengan pernyataan Allah bahawa bumi dan seisinya ini diciptakan Allah untuk manusia. Huwa al-ladzi khalaqa lakum ma fi al-ardh jamian (al-Baqarah: 29). Ini seiring dengan ayat lain yang menegaskan bahawa bumi diciptakan untuk dimakmurkan oleh manusia. Huwa ansya'akum min al-ardh wa ista'marakum fiha (Hud: 61). Kedua-dua ayat ini memberi penjelasan kepada kita tentang posisi dan peranan manusia terhadap dunia serta seisinya yang kemudiannya dimakmurkan demi kepentingan dan keperluan umat manusia itu sendiri, dalam konteks ibadah secara umum. 


Sesuai dengan peranan manusia terhadap alam dan seisinya, telah ditegaskan bahawa Allah telah memberi Daud dan Sulaiman akan ilmu yang mereka itu lebih mulia daripada yang lain, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nam ayat 27 yang bermaksud; dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman, dan keduanya mengucapkan; segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman. Ayat ini secara langsung menegaskan bahawa ilmu merupakan alat yang menjadikan martabat Daud dan Sulaiman lebih utama daripada yang lain. Ini benar-benar menjadi bukti bahawa ilmu adalah kekuatan, juga kekuasaan. 


Ini bererti bahawa kemampuan ilmu itu berupaya mengangkat manusia pada kedudukan lebih tinggi daripada mereka yang rendah ilmunya, apatah lagi mereka yang tidak memiliki ilmu. Seiring dengan ini, Al-Ghazali menjelaskan bahawa ilmu itu mampu menjadi kekuatan yang dahsyat bagi umat manusia. Lebih daripada itu juga ayat ini mampu memberi inspirasi kepada umat Islam bahawa jika seseorang, sesebuah masyarakat, atau sesuatu bangsa ingin maju, maka mereka harus mengembangkan ilmu dan teknologi seperti contoh Nabi Daud dan Sulaiman di atas. Secara tegas disebutkan bahawa Allah mengangkat darjat lebih tinggi bagi orang yang berilmu seperti dalam firman-Nya di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud; "Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."


Demikian juga kejayaan tamadun Islam terdahulu adalah kerana mereka menjunjung tinggi ilmu pengetahuan. Dengan ini lahirlah sarjana-sarjana Islam dalam segala bidang, sama ada dalam bidang agama mahupun dalam bidang umum. Kita kenal akan Imam Syafie, Hanafi, Hambali, dan Imam Malik. Mereka terdiri peneraju daripada ``mazhab empat'' dalam bidang hukum. Dalam bidang tauhid, muncul ulama terkenal Abu Hassan Al-Asyari dan Abu Manshur Al-Maturidi. Dalam bidang ilmu pengetahuan pula, kita berbangga dengan pakar bidang perubatan iaitu Ibnu Sina, begitu juga Al-Khawarizmi ahli dalam ilmu matematik dan astronomi, dan Ibnu Hayyan ahli dalam ilmu kimia. 


Ibnu Khaldun pula merupakan ahli dalam bidang sejarah, Ibnu Rusyd seorang filsuf Islam yang sangat berpengaruh di Eropah dan dunia Kristian. Ilmu Al-Jabar yang amat berguna bagi kemajuan dunia, ditemukan oleh Jabar Al-Isbili. Penemuan angka mulai dari 1-9, juga angka no (0) adalah dari tamadun dan peradaban Islam. Begitulah Islam zaman dahulunya yang telah mencapai kemajuan berkat ilmu pengetahuan yang dikuasai oleh umatnya.


Peradaban Islam telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam sejarah kemajuan umat manusia dengan meninggalkan pengaruh yang besar baik dalam akidah, ilmu, hukum, falsafah (hikmah), seni, sastera dan sebagainya yang begitu jauh jangkauannya dan kuat pula impaknya terhadap hasil yang dicapai oleh peradaban moden. Pengaruh ini tidak hanya dari sisi bidang sains, tetapi juga akidah. 


Dasar-dasar prinsip peradaban Islam mempunyai pengaruh besar terhadap gerakan-gerakan reformasi keagamaan yang berlaku di Eropah sejak abad ke-7 hingga kebangkitan Rennaisance. Jackson J. Spielvogel `mengakui' peranan dan keutuhan kaum muslim dalam bidang budaya dan ilmu pengetahuan begitu hebat sehingga menyerap masuk ke dalam peradaban Barat. Beliau menjelaskan: ``Umat Islam telah menciptakan budaya kosmopolitan yang sangat hebat. Pada waktu Eropah Barat masih berada dalam kehidupan desa dengan kampung-kampung kecilnya, sepanjang abad-abad awal didominasi kerajaan Arab. 


Dunia Islamlah yang menyelamat dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan karya-karya besar Plato dan Aristoteles kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Karya-karya itu kemudiannya dijaga di dalam perpustakaan yang dipanggil sebagai House of Wisdom (Bait al-Hikmah) di Baghdad, di mana karya-karya itu dibaca dan dipelajari para ilmuwan Muslim. Perpustakaan itu juga memuatkan buku-buku matematik yang dibawa dari India. Pengkajian ke atas teks-teks kuno itu juga dibantu dengan penggunaan kertas. Pembuatan kertas-kertas sudah lama dikenal oleh Cina pada abad ke-8 dan pada akhir abad itu juga, fabrik kertas sudah terdapat di Baghdad, penjual buku dan perpustakaan-perpustakaan dapat mengambil manfaat ilmu pengetahuan Islam setelah karya-karya tersebut diterjemahkan ke bahasa Latin dari bahasa Arab. 


Ilmuwan Muslim bukan hanya dipuji kerana menyumbangkan banyak ilmu pengetahuan ke Barat, tetapi juga kerana mereka sudah memajukan dunia mereka sendiri. Lebih-lebih lagi pada masa ini, penglibatan Muslim dalam bidang ilmu pengetahuan, ilmu alam masih dapat dibuktikan di mana jua pun. Daftar pencapaian umat Islam dalam bidang matematik dan astronomi amat mengagumkan. Avicenna (Ibnu Sina) adalah salah seorang daripada sedemikian ramai ilmuwan Muslim yang karya-karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sehingga dapat membantu kehidupan intelektual di Eropah pada abad ke-12 dan 13.


Dari sisi yang lain, kekuatan politik dan kemakmuran ekonomi merupakan tunjang utama kepada kemajuan dan kekuatan peradaban Islam pada abad pertengahan. Kebangkitan kekuasaan khalifah Abbasiah yang bersifat kosmopolitan dibendung menerusi khalifah-khalifah Umaiah yang telah memberi ruang yang pesat dan terbuka kepada proses perkembangan ilmu pengetahuan. Pada waktu ini, lahirlah para intelektual Muslim dalam meneruskan percambahan ilmu dalam pelbagai bidang daripada intelektual, ekonomi, perubatan, sastera, falsafah, pertanian, pelayaran, biologi sehinggalah mencakupi bidang humaniora.


Umat Islam zaman dahulu dipandang mulia dan tinggi martabatnya disebabkan kekuatan ilmunya. Cahaya ilmu mereka telah terbukti berjaya menyinari lorong-lorong gelap peradaban dunia. Bagaimanapun, sekarang ini, apakah kita hanya dapat berbangga dengan kejayaan masa silam tanpa mengorak langkah bagi mencipta kecemerlangan masa kini?

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.