SYARIAT Islam merupakan syariat terakhir yang membawa petunjuk Ilahi bagi seluruh umat manusia. Di antara keistimewaannya, ia bersifat umum, abadi dan meliputi segala lapangan kehidupan. Di dalamnya, di samping diletakkan dasar-dasar dan hukum-hukum yang mampu memenuhi keperluan umat manusia di sepanjang zaman, juga diberikan pula beberapa faktor kelapangan dan keluasan serta hak untuk berijtihad, terutama bagi para ulamanya, dalam masalah-masalah yang tidak ditetapkan oleh dalil qath'i (pasti).
Dengan ijtihad ini, syariat Islam akan mampu menghadapi persoalan-persoalan baru yang semakin kompleks yang belum diputuskan seperti pemindahan organ badan dari orang yang mati kepada yang masih hidup. Justeru sesuai dengan perkembangan zaman, banyak masalah yang memang menuntut kehadiran ijtihad khusus dalam mencari pemecahan hukum yang sesuai dengan nilai-nilai ajaran Islam.
Hal ini perlu dilakukan demi memelihara kehidupan manusia. Prinsip ijtihad, selama tetap dipraktikan akan merupakan elemen yang dinamis dalam hukum Islam. Ijtihad memang perlu dilakukan sekalipun syarat dan tentangan yang berkembang semakin berat dan kompleks.
Menderma organ telah lama dijelaskan oleh ulama kita untuk menghilangkan keraguan yang timbul dalam masyarakat. Walau bagaimanapun ia hanya pandangan ijtihadiah semata-mata. Dan setiap pandangan ijtihadiah itu pastilah memerlukan perbincangan daripada ulama hari ini. Ini terutamanya mengenai masalah-masalah yang baru timbul yang belum didapati dari pandangan ulama yang terdahulu.
Umumnya kita mengetahui bahawa seseorang itu didalam sesuatu masalah ijtihadiah (khilafiah) tidak boleh mengakui pendapatnya sahaja yang betul dan tepat. Justeru Imam Syafii pernah menegaskan terhadap pandangannya dalam masalah khilafiah ini dengan mengatakan bahawa pandanganku betul dan tepat tetapi berkemungkinan silap, sedangkan pendapat orang lain adalah salah tetapi berkemungkinan adalah betul.
Umumnya juga bahawa pendapat seseorang itu boleh diterima pakai sekiranya ia bertepatan dengan dalil-dalil dan kalau tidak pendapatnya juga boleh kita tolak kalau tidak bersesuaian dengan dalil atau nas-nas yang ada. Rasulullah s.a.w. dalam hal ini telah memberi garis panduan dalam masalah ijtihadiah dengan sabdanya yang bermaksud: Setiap mereka yang berijtihad sekiranya betul dan tepat dalam memberi pendapatnya akan beroleh dua pahala tetapi sebaliknya jika tidak tepat ia cuma mendapat satu ganjaran sahaja.
Dalam persoalan menderma organ ini para ulama berselisih pendapat di mana ada yang mengatakan tidak harus seperti pandangan ulama Sheikh Al-Mutawali. Pendapat ini berdasarkan fahaman dan pandangannya sendiri. Manakala Sheikh Yusuf Al-Qardhawi mengatakan ianya harus dan ini semua berdasarkan pandangan masing-masing. Menurut beliau, anggota manusia juga merupakan barang miliknya yang dikurniakan Allah kepadanya seperti juga barang dan harta miliknya yang lain. Sebagaimana harus bagi seseorang itu menderma dengan sebahagian dari hartanya untuk faedah orang lain, begitu juga harus baginya menderma dengan sebahagian daripada anggota tubuh badan kepada mereka yang memerlukannya. Ini bergantung kepada keperluan hidup seseorang itu sendiri sebagaimana seseorang itu tidak boleh membinasakan dirinya untuk menyelamatkan orang lain seperti masuk ke dalam api (untuk menyelamatkan orang lain) yang boleh membinasakan diri. Ini berdasarkan sebuah hadis nabi yang bermaksud: Sesuatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang sama atau lebih besar lagi.
Persoalanya sekarang apakah harus seseorang menderma (wasiat) anggotanya selepas mati. Apa yang jelas bila perkara itu boleh dilakukan semasa hidup dengan kemungkinan boleh membahayakan nyawa maka apa lagi pastilah ia boleh berwasiat untuk menderma anggotanya selepas mati.
Sebenarnya niat untuk membantu orang lain untuk meneruskan hidup sesungguhnya mereka ini akan diberi pahala yang cukup tinggi. Amalan dan niat untuk membantu sesama manusia demi kesejahteraan hidup amat dituntut oleh agama. Boleh jadi mitos yang dikaitkan dengan pendermaan organ yang dikatakan bertentangan dengan ajaran agama ialah mereka yang berpegang dengan hadis yang mengatakan mematahkan mayat itu sama dengan mematahkan tulang orang yang hidup (maksud hadis). Memang benar jika ia dilakukan tanpa tujuan yang dibenarkan oleh agama iaitu melakukan sesuatu yang dapat menyakiti mayat tersebut.