GLOBAL SUMUD FLOTILLA VS THE ENEMIES OF GOD

GLOBAL SUMUD FLOTILLA VS THE ENEMIES OF GOD

“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mengasihi, mencintai, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga dan panas (turut merasakan sakitnya).” - (HR Bukhari: 6011 dan Muslim: 2586)

Sejak bermulanya kekejaman Israel ke atas penduduk Gaza pada tahun 2023, lebih 65,000 rakyat Palestin telah terkorban, kebanyakannya dari golongan wanita dan kanak-kanak. Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat, dengan lebih 2 juta orang kehilangan tempat tinggal, dan sistem perubatan yang hampir lumpuh sepenuhnya. Di saat pintu-pintu bantuan melalui jalan darat dikunci rapat, mata seluruh dunia kini tertumpu kepada lautan, di mana sebuah kisah keberanian sedang dilakarkan.

“Sumud” adalah perkataan Arab yang bermaksud ketabahan. Global Sumud Flotilla ini adalah bahtera amanah, sebahagian daripada misi yang disertai lebih 600 sukarelawan dari 43 buah negara, dengan sukarelawan Malaysia memainkan peranan koordinasi utama.

Penting juga untuk kita memahami bahawa GSF ini adalah gelombang pertama dalam sebuah strategi yang lebih besar di bawah payung Freedom Flotilla Coalition. Gelombang pertama ini adalah untuk mencipta perhatian global, yang sangat penting dalam dunia media sosial hari ini. Matlamatnya adalah untuk membina satu tekanan kuat ke atas Israel oleh masyarakat antarabangsa, yang akan memaksa rejim Zionis dan penyokong utamanya untuk membuka sekatan haram mereka ke atas Gaza.

Mengapa GSF sanggup mengambil risiko ini? Kerana ia berakar dalam akidah kita. Ia adalah usaha menunaikan Fardhu Kifayah, gabungan antara ikhtiar dan tawakal, dan satu penegasan untuk melawan kezaliman. Surah Al-Ahzab ayat 21 dan 22 merupakan seruan Allah SWT kepada umat Islam yang wajib bangkit untuk berjihad menghadapi musuh yang menceroboh tanah air dan saudara seagama mereka, di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa. Allah SWT mewajibkan umat Islam agar turut serta berjihad mengikut kemampuan masing-masing. Terdapat negara yang boleh menghantar bekalan senjata dan pasukan pakarnya, pada masa yang sama terdapat juga mereka yang menyumbang dari sudut kewangan dan tenaga pasukan perubatan serta kebajikan. Sejarah misi laut seperti yang dilakukan kini penuh dengan bahaya, seperti tragedi ke atas Mavi Marmara pada tahun 2010.

Dan kini, ujian getir itu telah tiba. Pada pagi 2 Oktober 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang memintas Global Sumud Flotilla. Beliau menegaskan bahawa kapal-kapal ini membawa orang awam tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan.

Menurut laporan sebelum ini, dua buah kapal iaitu Alma dan Sirius telah ditahan oleh tentera Israel di Zon R3. Di atas kapal-kapal ini, 23 wira-wira kemanusiaan dari Malaysia turut menjadi tawanan haram oleh pengganas Israel.
Terkini, Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kesemua 23 aktivis dari Malaysia telah berjaya dikeluarkan dari cekaman negara teroris Israel, dengan kerjasama kerajaan Turkiye.

Tindakan zalim ini berlaku ketika Israel semakin dipulaukan di pentas dunia. Baru-baru ini di Perhimpunan Agung PBB ke-80, lebih 77 perwakilan antarabangsa telah keluar dewan ketika ucapan Benjamin Netanyahu. Tetapi mengapa Israel tidak peduli? Kerana di belakang mereka, wujud sebuah perikatan yang amat kuat, yang dikenali sebagai perikatan Judeo-Christian, terutamanya dari golongan Kristian Zionis di Barat. Dari sudut pandang sejarah dan agama, perikatan ini sebenarnya penuh dengan kepincangan dan ironi. Fahaman Kristian Zionis ini adalah satu ideologi yang agak moden dan pelik dari sudut Teologi, yang percaya bahawa penubuhan negara Israel adalah satu syarat untuk memenuhi ramalan kitab mereka tentang akhir zaman dan kedatangan semula Jesus. Mereka menyokong Israel bukan kerana kemanusiaan, tetapi kerana agenda eskatologi atau 'end-times prophecy' mereka sendiri. Dan sudah tentunya kepercayaan ini menjadi topeng kepada sikap anti-Islam yang tertanam dalam jiwa mereka.

Di sinilah letaknya kepelikan dan hipokrasi yang besar. Dari sudut teologi, penganut Kristian secara tradisinya percaya bahawa kaum Yahudi menolak kenabian Isa. Namun, golongan Kristian Zionis ini mengenepikan perbezaan aqidah yang fundamental ini demi sebuah agenda politik. Bagi kita sebagai umat Islam, ia lebih tidak masuk akal. Kita mengimani Nabi Isa A.S. sebagai seorang Rasul ulul azmi yang akan kembali untuk menentang Dajjal dan menegakkan keadilan, bukan untuk merestui sebuah negara yang dibina di atas penindasan dan pembersihan etnik terhadap orang lain. Inilah penyimpangan teologi yang memberikan lesen 'blank cheque' kepada rejim Zionis untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

Maka inilah, saatnya yang paling tepat dan paling mustahak untuk kita menadah tangan membaca Qunut Nazilah. Inilah maksud sebenar 'Nazilah' itu, yang merupakan musibah besar yang menimpa umat Islam. Dengan saudara-saudara kita kini berada dalam cengkaman musuh, doa kita adalah senjata paling ampuh. Namun, marilah kita melakukannya dengan hati yang ikhlas. Sangatlah malang apabila ada pihak-pihak sebelum ini yang begitu mudah menggunakan Qunut Nazilah untuk kepentingan politik kepartian. Peristiwa hari ini seharusnya menyedarkan kita semua tentang kesucian dan beratnya doa ini. Mari kita bersihkan niat kita, satukan hati, dan gunakan senjata doa ini untuk tujuannya yang sebenar.

Semoga Allah melindungi para pejuang kemanusiaan ini. Semoga usaha mereka menjadi saksi di hadapan Allah bahawa kita, sebagai satu Ummah, tidak pernah melupakan Palestin.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

030710
Hari ini: 163
Minggu Ini: 1,498
Bulan Ini: 4,506
Tahun Ini: 30,710
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.