MEMBANGUNKAN PERADABAN: TANGGUNGJAWAB SIAPA?

MEMBANGUNKAN PERADABAN: TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Perbalahan politik. Pemujaan status sosial. Mengejar kemewahan. Gejala moral dan sosial. Kecelakaan rasuah. Salah guna kuasa. Keruntuhan adab dan akhlak.

Saban hari, isu-isu seperti yang dikatakan, telah mendominasi arena media yang disajikan kepada masyarakat. Baik di media arus perdana, juga di media sosial. Algoritma yang mengawal sajian berita dan isu melalui media sosial, meluaskan capaian berita dan perbincangan isu-isu ini. Maka cukup untuk kita persoalkan, bagaimana coraknya fabrik sosial malaysia zaman ini?

Apakah pendidikan kita berhasil menanam didikan adab dan akhlak? Apakah nilai dan norma masyarakat sudah melupakan adab dan akhlak, dan diambil-alih oleh pencapaian material semata-mata? Masyarakat seringkali meletakkan seluruh tanggungjawab dalam pembangunan peradaban dan akhlak ke atas bahu para penguasa dan pemimpin. Pemimpin disalahkan dalam banyak perkara seperti perpecahan politik, rasuah, keruntuhan moral dan sebagainya. Kita menyalahkan ahli politik, para barisan menteri dengan segala isu yang timbul di dalam masyarakat.

Sedangkan jika kita meneliti dan mengkaji, tujuan ahli politik adalah untuk akhirnya menjadi ahli dewan undangan negeri atau pun ahli dewan rakyat. Tanggungjawab mereka adalah untuk membahas dan menggubal undang-undang. Apakah masyarakat moden hari ini, hanya bergantung kepada ahli politik yang menggubal undang-undang, supaya menyelesaikan masalah-masalah sosial rakyat? Adakah sebagai seorang awam, maka kita terlepas dari tanggungjawab dalam pembangunan peradaban negara?

Tidak dinafikan besarnya pengaruh dan tanggungjawab ahli politik atau pemimpin dalam sebuah masyarakat. Setiap langkah golongan ini, baik atau buruk, memberi impak kepada pembangunan negara dari aspek ekonomi, sosial dan sebagainya.

Namun meletakkan tanggungjawab pembangunan adab atau etika masyarakat sepenuhnya kepada pemimpin dan ahli politik merupakan satu langkah yang kurang cerdik. Masalah rakyat tidak akan terubat hanya dengan undang-undang yang baru atau yang lebih tegas. Zaman-berzaman telah wujud undang-undang untuk menghukum pembunuh di seluruh dunia, tetapi jenayah ini tetap berlaku.

Begitu juga dengan penipuan, jenayah seksual, rasuah, penyalahgunaan dadah dan jenayah atau masalah sepertinya. Walaupun sudah digubal undang-undang untuk membasmikan masalah tersebut, tetapi manusia tetap terjerumus dengannya.

Adakah kita mahukan sebuah negara yang senak dengan undang-undang, atau lega dengan adab dan akhlak yang baik? Ketika terjadinya kes buli siber yang menggegar negara, orang awam meminta digubal undang-undang yang lebih tegas. Ketika terbongkar penyelewengan dana derma, juga diminta undang-undang diketatkan. Tetapi tidak pula kedengaran suara awam yang menyeru supaya dikuatkan kembali adab masyarakat, supaya perkara-perkara
seperti ini tidak berlaku pada awalnya.

Maka masyarakat awam juga memainkan peranan yang besar, dalam pembangunan peradaban berasaskan Islam. Adab didefinisikan sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang dan perbuatan lahir daripadanya dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Asas peradaban Islam adalah bersumberkan sumber ketuhanan (dalil naqli) iaitu al-Quran dan al-Hadith. Dalam masa yang sama, Islam turut mengiktiraf sumber kemanusiaan (dalil `aqli) yang terdiri daripada taakulan akal, naluri dan juga pengalaman manusia.

Akal, naluri dan pengalaman ini mestilah digunakan dengan bimbingan wahyu al-Qur’an dan al-Hadith itu sendiri. Kombinasi sumber ketuhanan dan sumber kemanusiaan ini menghasilkan peradaban Islam dan seorang muslim berakhlak yang mantap, sebagai dasar segala aktiviti kehidupan manusia. Justeru kita perlu bermuhasabah ke atas usaha peribadi dalam membangunkan adab negara. Tidak cerdik jika hanya melihat perundangan sebagai penyelesaian kepada segala masalah yang menimpa masyarakat.

Ke mana tumpuan misi-misi dakwah yang wujud hari ini? Apakah tajuk dan isuyang mendominasi perbincangan golongan agamawan? Adakah hanya dengan menjadi duta-duta kutipan dana atau produk komersial? Atau menjaja sentimen politik kepartian?

Dari sudut luaran, kita perlukan undang-undang sebagai kawalan dan juga kempen-kempen kesedaran berskala besar. Dari sudut dalaman pula, kita perlu bina jiwa, mental, ruh dan spiritual agar objek yang terpamer pada aksi, tingkah-laku atau ungkapan yang muncul sebagai realiti budaya, tidak bercanggah dengan realiti agama. Undang-undang akan memberikan garis sempadan luaran kerana hukumannya sebagai iktibar dan pengajaran, bukan dalam bentuk penghinaan. Penghinaan muncul daripada pergeseran antara realiti budaya, realiti politik dan realiti agama.

Pengukuhan realiti agama inilah yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat, ulama ukhrawi seperti Imam al-Ghazali, Abdul Qadir Jailani, Jalaluddin Rumi, Ibnu Athaillah, Abu Hasan an-Nadwi, Hamka dan sebagainya. Itulah sebabnya Imam al-Ghazali membongkar perihal manfaat ilmu, sebagai benteng seseorang dari terpegun dengan ulama suu’, dan bermaya untuk melawan mereka.

Imam al-Ghazali menyeru supaya seseorang perlu mencari guru yang mursyid, bukan guru yang mengejar nikmat dunia. Guru yang mengejar nikmat dunia seumpama keldai yang menanggung muatan yang berat, dia tidak tahu apa yang membuatkan muatan yang dipikulnya sangat berat. Guru sedemikian adalah liabiliti kepada manusia, agama dan masyarakat. 

Untuk menjadi pelajar yang baik ada adabnya Ya Ayyuhal Walad, hormati guru, hormati ilmu dan hormati masa, persekitaran dan suasana sepanjang belajar. Kesemua ramuan dan wasilah itulah yang akan membangun insan, bukan hanya sekadar manusia dalam perspektif kendiri, kemasyarakatan dan kenegaraan, tetapi, insan yang mampu membangun peradaban, susunan politik dan pemerintahan yang mencerminkan Bai'atul Toyyiban.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.