KEWAJIPAN MAKANAN HALAL

Isu makanan yang mengandungi bahan haram dan cara menyediakan yang tidak bertepatan dengan Islam terus berlaku dalam masyarakat Malaysia meskipun peraturan mengenai telah lama ada. Sebelum ini dua jenis cokelat keluaran sebuah syarikat antarabangsa sah mengandungi bahan yang haram iaitu DNA babi. Kes ini benar-benar menyentak naluri makan umat Islam kerana cokelat tersebut begitu mudah diperoleh dan digemari oleh sebahagian besar penggemar cokelat.Inilah akibatnya apabila penguatkuasaan yang longgar dan acuh tidak acuh dan sudah tentu boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan pembinaan akhlak masyarakat Islam.


Umumnya, orang Islam yakin kesahsiahan yang baik banyak disumbangkan oleh apa yang dimakan dan kerana itulah Islam tidak boleh berkompromi dengan bahan-bahan yang diperlukan dalam penyediaan makanan bersama proses penyediaannya. Antara bahan yang diharamkan ialah apa sahaja yang berkaitan dengan bahan haram seperti daging, lemak, tulang ataupun enzim babi, kerana babi adalah salah satu binatang yang haram dimakan oleh umat Islam. Selain babi, kandungan alcohol juga menjadi bahan terlarang. Begitu juga dengan bahan yang asalnya halal tetapi kerana kaedah memprosesnya tidak mematuhi garis panduan, ia tetap dilarang bahkan jika ternakan disembelih dengan cara salah, ia tetap dianggap sebagai bangkai walaupun daging itu adalah lembu, kambing atau ayam.


Larangan memakan daging tertentu seperti khinzir adalah disebabkan binatang tersebut merupakan spesies yang banyak mengandungi cacing kerana sifatnya gemar menyodok untuk mendapatkan makanan daripada tanah lembab, dan cacing serta anai-anai adalah makanan kegemarannya. Suatu ketika, babi digunakan oleh pihak perbandaran untuk membersihkan longkang dan lorong yang berlumut atau berminyak sebelum babi diternak secara komersial.


Memakan daging babi, termasuk menyentuh kulitnya adalah haram di sisi Islam kerana dikhuatiri akan menyebabkan penyakit. Beberapa tahun lalu, masyarakat Malaysia gelisah dengan kematian akibat diserang wabak JE, yang merebak kepada manusia yang bersentuhan dengannya sehingga menyebabkan Kg Bukit Pelanduk dan Kg Sawah di Port Dickson menjadi kawasan larangan.

Rasullullah SAW bersabda: Daripada Salman al-Farisi semasa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hukum lemak, keju dan keldai hutan, Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan bahawa apa yang dihalalkan di dalam kitab Allah adalah halal dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram, manakala apa yang didiamkan, ada kemaafan bagi kamu.


Makanan mempunyai pengaruh yang besar dalam kemenjadian fizikal dan kesihatan.Seorang ulama Islam yang tersohor, al-Harali mengatakan bahawa jenis makanan dan minuman mempengaruhi jiwa dan sifat mental seseorang yang memakannya. Berdasarkan maksud  perkataanrijs yang disebutkan dalam al-Quran adalah minuman beralkohol (surah al-Maidah, ayat 90); bangkai, darah dan daging babi (surah al-An am, ayat 145).


Menurut al-Harali, kata rijs membawa maksud buruk budi pekerti dan moral.Selaran dengan rumusan itu, Syeikh Taqi Falsafi dalam kitabnya yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Child between Heredity and Education, berdasarkan pandangan Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel dalam bidang perubatan yang masyhur dengan buku Man the Unknownseperti maksud berikut: Pengaruh dari campuran (senyawa) kimiawi yang dikandung oleh makanan terhadap aktiviti jiwa dan fikiran manusia belum diketahui secara sempurna, kerana belum diadakan eksperimen secara memadai. Namun tidak dapat diragukan bahawa perasaan manusia dipengaruhi kualiti dan kuantiti makanan.


Makanan mempunyai kaitan dengan kesihatan masyarakat dan kesejahteraan negara, kerana itulah pakar-pakar perubatan dan pemakanan menasihat setiap mengambil makanan berkhasiat. Makanan tanpa khasiat boleh membawa kemudaratan, misalnya makanan yang diistilahkan sebagai makanan ringan atau junk food, makanan segera atau fast food, makanan yang diawet dan makanan yang diproses dalam bentuk sejuk beku atau frozen dan  yang disimpan dalam tin jika diambil secara berlebihan atau kerap boleh menjejaskan kesihatan.


Makanan segera dan makanan ringan dikhuatiri mempunyai kandungan garam yang tinggi dan boleh menyebabkan obesiti, akhirnya boleh mempercepatkan tekanan darah tinggi. Makanan atau minuman berkarbonit telah dikenalpasti mengandungi gula yang tinggi dan boleh mempercepatkan gejala kencing manis. Kencing manis dan darah tinggi merupakan penyakit yang semakin menggerunkan masyarakat, jumlah pengidapnya semakin bertambah dan ia bakal mempengaruhi kesihatan kardiovaskular.


Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya agar mendapatkan makanan halal dan mengambilnya secara sederhana. Larangan terhadap minuman keras bukan kerana ia hanya memberikan kesan memabukkan, bahkan alcohol boleh mengakibatkan kerosakan otak, hati dan limpa kerana kandungan bahan kimia yang dikenali sebagai spirit, mudah terbakar. Alkohol juga mendorong kepada pelbagai perlakuan jenayah termasuk kebocoran rahsia dan percakapan dengan bahasa yang kesat, kasar dan mencarut.Itulah sebabnya Allah SWT memerintahkan manusia mengambil makanan yang bersifat halal dan thayyib, bagi mengingatkan manusia tentang bahaya penyakit dan kesantunan sahsiah.


Sesuatu yang bersifat halal adalah yang terlepas dari ikatan bahaya duniawi dan ukhrawi.Maksud halal juga bererti boleh dan dalam bahasa perundangan, ia merangkumi  sesuatu yang dibolehkan agama, baik kebolehan itu bersifat sunah, anjuran untuk dilakukan, makruh (anjuran untuk ditinggalkan) mahupan mubah. Makruh bererti ia dibolehkan, tetapi tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan musibah. Misalnya, Rasullullah SAW pernah melarang seseorang yang baharu selesai memakan bawang mendekati masjid kerana baunya boleh menyebabkan bau yang tengik dan menyucuk hidung.


Seperti diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ali bin Abi Talib:  Rasulullah melarang memakan bawang putih kecuali setelah dimasak. Dalam riwayat at-Tirmizi dikemukakan bahawa seseorang bertanya: apakah itu haram?baginda menjawab: Tidak, tetapi saya tidak suka aromanya.


Kata thayyib dari segi bahasa bererti lazat, baik, sihat, mententeramkan dan paling utama. Pakar-pakar tafsir ketika menjelaskan kata ini dalam konteks perintah makan menyatakan bahawa ia bererti makanan yang tidak kotor dari segi khasiatnya  atau rosak, atau dicampuri benda najis. 


Makanan yang sihat adalah makanan yang memiliki khasiat yang cukup dan seimbang. Dalam al-Quran disebutkan sekian banyak jenis makanan halal dimakan,  misalnya padi-padian (al-Sajadah ayat 27), ikan (al-Nahl ayat 4), buah- buahan (al-Mukminun ayat 19; al-An am [6]: 141), lemak dan minyak (al-Mukminun ayat 21), madu (al-Nalh ayat 69) dan lain-lain. Penyebutan aneka macam jenis makanan ini, menuntut kearifan dalam memilih dan mengatur keseimbangannya.


Apakah jenis-jenis makanan yang disebutkan secara khusus di atas mempunyai kaitan dengan gizi? Nabi sendiri lebih menyukai makanan saperti susu, daging dan madu walaupun jarang diperolehnya kerana ia boleh menghasilkan tenaga dan protein yang diperlukan oleh tubuh,  dalam menghasilkan kudrat dan membentuk proses imuninasi menghalang penyakit asalkan ia diambil dengan cara yang betul dan tidak keterlaluan.
tamat.

Hubungi Kami

Alamat:
No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor

Telefon: +60 17-377 7732
Email: alfalahmadani2022 [@] gmail.com

Jumlah Pengunjung

028912
Hari ini: 207
Minggu Ini: 3,334
Bulan Ini: 2,708
Tahun Ini: 28,912
Tahun Lepas: 5,538
Image

Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,

Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.