SEORANG PENGAMAL psikiatri British mentafsir manusia yang dijadikan sebagai modal dalam ragam pengeluaran sedang menghadapi sejenis penyakit yang dikenali sebagai selesema (influenza). Oliver James mengkaji hubung kait tekanan disebabkan ingin memiliki keperluan material dan kesejahteraan hidup menjadikan manusia semakin kalut dan resah. Ragam pengeluaran yang bersandarkan prinsip bahawa manusia adalah selari dengan sumber-sumber lain seperti model, mesin dan metode, telah menyebabkan suasana mental yang resah, tidak tenteram dan seterusnya menyumbang kepada penyakit.
Pendedahan pernah dibuat bahawa berlaku peningkatan penjawat awam yang bermasalah – prestasi rendah, berpenyakit dan disiplin – tidak ramai yang melahirkan rasa terkejut ataupun gelisah. Mereka sudah faham bahawa akibat terlalu menekankan kepada penghasilan dan memenuhi tekanan luaran, penjawat awam seolah-olah sedang dilanda virus influenza.
Sebahagian besar mereka yang menghadapi masalah kesihatan didapati ada hubung kait dengan tekanan pekerjaan yang diterima, termasuk iklim dalam pejabat, dan hubungan dengan rakan sepejabat yang bermasalah.
Sistem pengurusan yang sedang dibudayakan lebih menumpu kepada peningkatan produktiviti sehingga melupakan nilai-nilai keinsanan yang sepatutnya dijadikan landasan melunaskan tanggungjawab sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang terbaik. Manusia hanya sekadar alat atau modal dalam menghasilkan produk, manusia tidak dianggap sebagai rakan kongsi yang ikut bersama-sama membangunkan kelangsungan organisasi.
Sifat manusia sebagai alat menghasilkan produk telah menimbulkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Susun lapis pekerjaan menjadi terlalu berhieraki dan berlapis-lapis sehingga menampakkan bahawa pengurusan atasan lebih penting daripada mereka yang benar-benar menghasilkan produk (pekerja bawahan). Pekerja bawahan kurang mempunyai mobiliti dan peningkatan kerjaya berbanding pengurusan atasan. Inilah faktor yang menambah tekanan sesetengah penjawat awam.
Dasar perkhidmatan awam yang memberikan pengiktirafan berlebihan kepada satu skim perkhidmatan menyebabkan skim-skim perkhidmatan lain tawar hati. Mereka masih tetap merupakan aset produktiviti tetapi hanya pada kadar memadai.
Masalah berpunca daripada sistem itu sendiri. Sistem yang mengamalkan pelbagai konsep pengurusan moden yang dipinjam daripada budaya pengurusan Barat tidak berupaya menjadikan pekerja sebagai insan. Walaupun pernah dicuba untuk mendefinisikan semula falsafah perkhidmatan awam, ia tetap menerima tolakan yang berganda kerana konsep pengurusan berasaskan falsafah Islam tidak dapat menepati kehendak antarabangsa.
Maka beberapa teori dan penemuan dalam organisasi, dorongan manusia (daripada sifat semula jadinya yang malas kepada berprestasi tinggi) melalui pengiktirafan kewangan, kehendak ‘pemegang saham’ yang sukar menerima teguran dan pendapat, tidak hairan yang hanya menjadi mangsa keadaan ialah penjawat awam. Ketidakselarasan kehendak dan peraturan menyebabkan penjawat awam adakalanya tersepit antara kehendak yang bercanggah itu.
Dalam pengurusan Islam, konsep pengurusan adalah menjurus kepada hasrat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Manusia, hanyalah disebut dengan istilah an-Nas di dalam al-Quran adalah bersifat umum. Sifat insan yang digambarkan oleh al-Quran lebih mengarah kepada nilai-nilai keimanan dan ketakwaan dalam setiap tindak-tanduk, termasuk cara berfikir dan perhubungan sesama manusia.
Manusia turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan yang sentiasa ada di sekeliling mereka. Bisikan-bisikan itu akan menjadi lebih agresif apabila seseorang itu mempunyai kuasa, terutama kuasa pemutus dan menentukan kedudukan pekerja bawahan. Antara bisikan-bisikan yang sentiasa mencabar kekentalan iman seseorang ialah bisikan hati agar melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga manusia sentiasa lalai, zalim dan resah.
Hal ini merupakan amaran yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Nas. Surah tersebut meskipun hanya terdiri daripada enam ayat yang pendek, ia merupakan peringatan yang amat besar buat manusia:
“(1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (2) Yang Menguasai sekalian manusia. (3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” (Maksud al-Quran Surah Al-Nas, ayat 1 hingga 6)
Tentunya untuk memahami dengan mendalam tentang hakikat manusia, kita perlu kembali kepada persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Allah SWT mencipta manusia sebaik-baik kejadian, lengkap dengan kuasa berfikir. Allah SWT membuka pintu rezeki kepada manusia dan mengharamkan manusia mengkhianati manusia yang lain. Di sinilah kekuatan sistem pengurusan Islam; ia memberi peringatan yang jelas bahawa dalam berorganisasi, setiap orang mesti berada dalam persekitaran yang harmoni.
Sebagai sumber rezeki yang halal, Allah SWT telah mencipta pelbagai tumbuhan, binatang ternakan dan kekuatan akal untuk manusia garap apa yang ada daripada alam. Allah melarang manusia daripada melakukan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan alam. Larangan ini pula ada kalanya bertentangan dengan falsafah pengurusan moden yang akan mengambil apa sahaja tanpa berusaha mengawal kerosakan yang bakal terjadi.
Seseorang pekerja perlu dilatih dengan pengetahuan baharu kerana perkembangan pengetahuan semakin cepat berubah. Penerokaan baharu akan menjadikan sesebuah organisasi sebagai peneraju pasaran. Peneraju pasaran itulah dilihat sebagai kelompok yang berjaya.
Sistem ini terus berkembang dalam masyarakat dengan kurang menekankan kesungguhan moral dan ketegasan falsafah agama. Moral dan agama merupakan milik individu, maka setiap perbincangan hanya difokuskan kepada persoalan yang bersifat mekanistik dan boleh diukur berdasarkan kriteria tertentu.
Percanggahan asas inilah menyebabkan terlalu banyak masukan baharu yang dicuba ke dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bukan sahaja dikehendaki mematuhi nilai-nilai ‘mendewakan’ ketua, menghormati arahan dan keputusan, malah disogokkan dengan pelbagai pendekatan teknikal bagi memberikan imej organisasi dengan lebih gah dan besar.
Ketika musim membangkitkan persoalan kualiti, agensi awam rasa ikut bersalah jika tidak mempunyai pengiktirafan piawaian kualiti. Maka berlumba-lumbalah pihak agensi awam mendapatkannya. Setelah memperolehinya, pematuhan prosedur kerja pula menjadi masalah apabila ramai lagi pekerja bawahan tidak memahami kehendak pihak pengurusan.
Komunikasi hanya bersifat atas ke bawah. Jika ada pun bentuk komunikasi bawah ke atas, ia berlaku dalam ruang yang terhad. Sedangkan dalam Islam manusia digalakkan berhubung untuk meningkatkan silaturahim dan saling bermaaf-maafan sepanjang masa. Setiap kelemahan dan kekuatan dibincang bersama agar jalan terbaik dapat dicari.
Penjawat awam yang bemasalah bukan tidak boleh dipulihkan. Selagi hayatnya masih ada, mereka masih tetap boleh menyumbang meskipun dilihat mempunyai masalah kesihatan, kecualilah yang bersifat kronik.
Islam tetap memberikan peluang kedua kepada setiap orang apabila dia tersilap atau menghadapi masalah. Dengan peluang kedua ini, seseorang itu akan berpeluang untuk menyumbang sebagai pekerja yang cemerlang. Ini perlu dibantu dengan iklim organisasi yang tidak menyumbang kepada tekanan dan paksaan yang keterlaluan. Jelasnya, pemimpin harus meneladani Nabi Muhammad SAW dalam pengurusan modal insan yang jelas memberikan semangat dan motivasi.
