Isu Seni vs. Sensitiviti Agama
Industri hiburan, terutama dalam era digital hari ini, sering berhadapan dengan garisan yang sangat halus antara ekspresi seni dan sensitiviti moral serta agama masyarakat. Baru-baru ini, isu video muzik kumpulan pop wanita DOLLA telah mencetuskan perdebatan hangat yang memuncak di kalangan umat Islam dalam negara. Kandungan video itu, secara keseluruhan, dianggap tidak bermoral dan melanggar sensitiviti awam.
Di saat kontroversi memuncak, peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar, menjadi sangat kritikal. Tindakan pantas dan berhemah beliau dalam isu ini membuktikan Kerajaan MADANI komited untuk melindungi akidah umat, namun melalui kaedah dialog, dan bukannya paksaan.
Tindakan Proaktif & Penyelesaian Harmoni
Berdepan dengan isu yang sebegitu sensitif, Dato' Dr. Mohd Na'im Mokhtar tidak mengambil jalan mudah. Beliau segera mengambil tindakan proaktif yang berfokus kepada komunikasi dan kerjasama dengan pihak industri. Tujuan beliau, jelas, iaitu bukanlah untuk menghukum, tetapi untuk memastikan industri hiburan di Malaysia menghormati nilai-nilai budaya dan sensitiviti agama masyarakat majoriti.
Pendekatan dialog ini membuahkan hasil yang pantas. Syarikat rakaman kumpulan DOLLA, Universal Music Malaysia (UMM), bertindak untuk menarik balik siaran video muzik tersebut. UMM mengesahkan bahawa langkah ini diambil atas dasar menghormati nilai-nilai budaya dan sensitiviti agama. Tindakan UMM ini dilihat sebagai cerminan kepekaan industri hiburan terhadap isu-isu sebegini.
Malaysia Madani Mementingkan Adab & Akhlak
Tindakan dan nasihat yang diberikan oleh Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar ini adalah selari dengan visi yang lebih besar, iaitu Malaysia MADANI. Kerajaan MADANI secara konsisten menekankan kepentingan Adab dan Akhlak yang berlandaskan ajaran Islam.
Nasihat YB Menteri Agama kepada industri hiburan, terutamanya personaliti Muslim, adalah satu langkah proaktif untuk memastikan bahawa kandungan yang disajikan di ruang awam tidak menggugat teras moral dan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat MADANI yang berintegriti dan beretika. Kita perlu kembali kepada asas. Keunikan Malaysia terletak pada kedudukannya yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kedudukan ini menuntut agar segala tindakan dan ekspresi, terutamanya daripada personaliti awam dan selebriti, mestilah mencerminkan adab dan nilai-nilai yang diajar oleh Islam. Ini termasuklah garis panduan syarak yang terperinci mengenai batas aurat. Dalam Islam, konsep aurat bukan sekadar isu berpakaian, tetapi mencerminkan nilai kesopanan, maruah dan ketaatan seorang Muslim terhadap perintah Allah SWT. Bahkan dalam interaksi sesama wanita Muslimah, atau antara Muslim dan bukan Muslim pun wujud had dan batasan yang perlu dipatuhi demi menjaga kehormatan diri.
Apabila seseorang itu berada di mata atau ruang awam, pakaian, simbol, dan mesej yang dibawa secara tidak langsung mewakili masyarakat. Ia bukan lagi sekadar isu peribadi, tetapi isu yang berkaitan dengan sensitiviti kolektif. Inilah sebabnya, sebagai peneraju Hal Ehwal Agama, tanggungjawab Dato' Dr. Mohd Na'im adalah untuk memelihara kesucian Islam (Hifz al-Din) dan memastikan garis panduan ini dipatuhi.
Namun begitu, terdengar suara-suara yang mengkritik teguran dan nasihat Dato Dr. Naim, dan mendakwa beliau “mengugut” kumpulan itu. Sebenarnya dakwaan ini tidak berasas, kerana sudah tentu semua pihak berkebolehan untuk membezakan antara nasihat dan ugutan. Kejayaan mencapai persetujuan dengan UMM membuktikan pendekatan yang diambil adalah berbentuk kerjasama, satu bentuk nasihat berautoriti yang dihormati, dan bukannya konfrontasi atau tindakan penguatkuasaan secara terus.
Nasihat atau teguran Dato Dr. Naim merupakan usaha memperbetulkan keadaan agar ia tidak menjadi sesuatu yang akhirnya membawa kepada krisis moral umat Islam. Menteri Agama mempunyai prerogatif untuk meminta sesuatu siasatan dilakukan oleh pihak yang diberikan peranan sebagai penyiasat bagi pembelaan salah laku, berdasarkan peruntukan undang-undang. Hasil siasatan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbang dakwaan, jika hasil siasatan itu layak untuk dituduh melanggar undang-undang syariah.
Mesej Harmoni: Kunci Kejayaan UMM
Nasihat YB Menteri Agama serta respons pantas dan positif daripada Universal Music Malaysia adalah kunci kejayaan dalam meredakan isu ini, dan ia diterima baik oleh masyarakat Islam dalam negara. Tindakan UMM ini bukan sahaja mencerminkan kepekaan industri hiburan, tetapi ia menghantar mesej yang sangat kuat: Hormat adalah kunci kepada keharmonian dalam negara majmuk ini. Apabila institusi dan syarikat menunjukkan kepekaan terhadap nilai-nilai agama masyarakat, ia akan membina jambatan persefahaman yang lebih kukuh. Ini adalah bagaimana ekspresi seni dapat wujud secara beretika, tanpa menjejaskan nilai-nilai teras negara.
Tindakan segera Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar telah berjaya meredakan kontroversi ini dengan penyelesaian win-win. Beliau menunjukkan bahawa kepimpinan yang berhemah adalah kunci untuk mengimbangi kebebasan berseni dengan perlindungan akidah umat, sekali gus menjaga keharmonian Malaysia.
