Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah mengadakan pertemuan dengan pihak GISB Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan isu-isu berkaitan akidah yang dikaitkan dengan organisasi itu.
Semalam menjelaskan perkara ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menberi amaran bahawa pihaknya sekali-kali tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam agama Islam yang mesti dipelihara setiap masa.
Beliau meminta dan menyaran apa-apa kegiatan yang diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam agar dilaporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
Dalam pada itu usaha harus ditekankan ke arah memberi penerangan secara jelas kepada masyarakat umum mengenai akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan akidah yang sahih merupakan suatu ketegasan dalam mempertahankan kesucian akidah dan agama Islam itu sendiri.
Oleh itu akidah yang sahih ialah mereka yang beriman kepada Allah, para malaikat dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat serta qada dan qadar. Amal ibadat yang bukan terbit dari akidah yang sahih adalah sia-sia sahaja iaitu tidak mendapat apa-apa balasan dari Allah. Akidah yang sahih dapat menjadi landasan dan pendorong bagi umat Islam dalam melaksanakan amal soleh dan memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi s.a.w. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang sebenar. Pastinya benih tanaman akidah yang suci dan bersih ini dapat melahirkan bunga-bunga perpaduan dan kasih sayang, keikhlasan dan ketakwaan serta pengorbanan.
Dalam Islam, akidah yang berunsur ketakwaan inilah yang akan melahirkan amalan yang benar-benar ikhlas, di mana amalan-amalan seseorang tidak akan diterima Allah kecuali amalan-amalan yang dilakukan oleh orang yang tidak menyekutukan atau menyerupakan Tuhannya dengan sesuatu yang lain
Ajaran sesat sebenarnya satu fenomena yang melampaui batas dalam agama. Kaedah atau jalan penyelesaian umat ialah dengan meluruskan akidah dan kembali kepada akidah Salafush-shalih, menjadikan al-Quran dan al-sunnah sebagai sumber hukum, ikhlas pada Allah dan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai teladan, menuntut ilmu syariat serta berusaha memahami agama dan mencari kebenaran mengikut dalil yang benar.