Ketika melihat video apa yang berlaku seminggu lalu di Sumatera, hati kecil saya cukup sayu dan pilu. Sayu dan pilu kerana kerosakan yang berlaku amat dahsyat sekali. Sedihnya begitu mendalam, apatah lagi bagi mereka yang menjadi mangsanya. Bayangkan dalam sekelip mata, empat buah kampung hilang terus di Aceh sehingga penduduknya menamakan banjir kali ini seumpama tsunami kedua. Antara kampung yang hilang ialah Sawang dan Jambul.
Walaupun jumlah mereka yang terkorban tidaklah sebesar korban tsunami di akhir tahun 2004 yang menimpa bumi Aceh, kesedihan terus menyebabkan saya mula bertanya: di manakah sikap kita terhadap kelangsungan ekologi yang sejak kita lahir lagi sudah memberikan kita kehidupan. Hentikanlah sikap tamak dan kegilaan meratah semua yang ada sehingga terlupa, kita juga diamanahkan untuk mewariskan bumi ini kepada generasi akan datang, bukan hanya untuk kita sekarang.
Sedih juga bila kedengaran, ada kawasan yang dilanda malapetaka masih belum dapat dimasuki, biarpun sebahagian besar air telah surut. Misalnya di Tamiang, Aceh sudah tujuh hari penduduk berada dalam kesulitan yang cukup parah, terutama dalam kalangan bayi dan orang tua. Hubungan jalan raya terputus, dan hanya boleh diakses menerusi perkhidmatan helikopter.
Saya teringat pada banyak kata-kata bijak pandai yang memerihalkan tentang kerakusan manusia menggondol dan memusnahkan alam atas kepentingan tertentu, dan paling lazim kita dengar ialah atas alasan pembangunan. Antaranya, Martin Hedegger, seorang ahli falsafah yang sangat berpengaruh, : "jika manusia memperlakukan alam seperti alat, maka jangan mengharapkan akan adanya keseimbangan. Apa yang manusia akan dapat ialah kehancuran."
Sedih atas kehilangan: ahli keluarga, pemimpin keluarga, tetangga adalah lebih meruntun berbanding kehilangan harta benda. Saya cukup terharu bila membaca coretan seorang isteri yang kehilangan suami akibat banjir yang melanda. Ketika air mulai naik, si suami mengarah isteri dan anak-anak berpindah, agar mereka selamat. Si suami tidak ikut sama, alasannya untuk memantau keadaan air yang naik mendadak, demi pertahankan apa yang ada sebelum berpindah. Beliau akan berpindah bila keadaan menjadi terdesak. Namun, si suami tidak mampu bertahan, akhirnya dia tewas juga.
Memang Tuhan sediakan segala keperluan manusia di bumi sebagai tempat tinggal, membina kehidupan dan juga meneruskan kelangsungan generasi. Tetapi, Tuhan tidak pernah mengatakan bahawa setiap daripada kita wajib mengeksploitasi bumi semahunya, kerana bumi itu bukan milik kita yang sesungguhnya. Tuhan memberikan kita bumi untuk dijaga, maknanya kita wajib menjaganya dengan rasa tanggungjawab dan amanah. Amanah itu bermakna kalau kita berusaha untuk menghuni atau menjadikan tanah sebagai sumber rezeki, jadikanlah ia dengan penuh keimanan dan tidak melampaui batas.
Namun, oleh kerana manusia semakin sehari semakin lupa dengan amanah, maka muncullah sikap tamak dan rakus. Manusia mula melihat apa yang ada di bumi itu sebagai sumber kekayaan dan berlumba-lumbalah untuk menguasainya, sehingga berlaku pergaduhan besar dan juga penerokaan tanpa batas. Sikap itulah sebenarnya yang membawa kehancuran kepada kehidupan manusia sendiri, apabila pokok yang memasak bumi, mengukuhkan struktur tanah diambil sewenang-wenangnya atas kepentingan material, hasil hutan untuk menjayakan diri, tanpa ada hasrat untuk menggantikannya kembali agar ekologi kembali terpelihara.
Apabila rempuhan balak atau kayu ke atas bangunan yang dilaluinya, cukup sedih sekali kerana ada pihak seolah-olah sedang menafikan bahawa gelondongan kayu itu terjadi sendiri dihanyutkan air yang menerjah ganas turun daripada daerah-daerah yang lebih tinggi. Hujan lebat yang melanda, menyebabkan kadar serapan air oleh tanah sudah melebihi kapasiti maksimum, maka air-air itu mengalir deras tanpa pedulikan lagi rumah, pokok-pokok, haiwan sehingga semuanya menjadi libasan yang ngeri.
Namun, ketika memegunkan video seketika dan membesarkan imejnya beberapa kali, kelihatan gelondongan kayu yang hanyut dan membadai bangunan, bukan sahaja di hujungnya boleh dianggap tumbang ditempuh, tetap banyak juga batang kayu yang besar di hujungnya seperti digergaji. Ada seperti kelihatan masih baharu, Namun ada juga bekas potongannya kelihatan seperti sudah lama. Lalu, saya membuat kesimpulan, ia mungkin balak yang ditebang secara haram, tetapi disimpan sementara waktu sebelum selamat diangkut keluar.
Apakah tidak berlaku penebangan hutan berlaku dalam tempoh beberapa bulan sebelum tragedi banjir, tanah runtuh (longsor), hujan lebat dan taufan senyar melanda? Jawabnya ada, kerana kita tahu pada lazimnya, antara bulan Julai hingga Oktober setiap tahun sebelumnya seringkali kita turut menerima asap-asap sehingga langit Malaysia berjerebu. Ia berlaku kerana aktiviti pembakaran sebagai cara termurah untuk membersihkan hutan bagi tujuan penanaman kelapa sawit, yang dianggap tanaman komersial paling berharga ketika ini.
Indonesia merupakan negara pengeksport minyak kelapa sawit terbesar dunia, setelah berjaya mengambil alih kedudukan Malaysia yang berpuluh tahun mendominasi industri itu. Namun, kita perlu ingat, sebahagian aktiviti penanaman sawit itu turut digerakkan oleh beberapa syarikat perladangan daripada Malaysia, bahkan secara sejarahnya, Indonesia belajar daripada Malaysia bagaimana untuk membangunkan industri terbabit.
Malaysia telah memulakan industri sawit setelah PM 2 berusaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan mempelbagaikan sumber ekonomi negara kerana industri timah semakin mengecil. Bermula pada tahun 1971, penerokaan tanah yang lebih bersistematik dan berorganisasi dimulakan di beberapa buah negeri, terutamanya di Pahang, yang mempunyai tanah hutan yang luas.
Setelah sekian lama Malaysia menunjukkan kejayaan, Indonesia mula belajar daripada Malaysia bagaimana untuk memulakan pembukaan ladang sawit, yang dapat memberikan pekerjaan dan sumber ekonomi negara. Saya cukup ingat, sekitar pertengahan tahun 1990-an, beberapa orang usahawan kecil dari Sumatera berkunjung ke Malaysia dan berusaha untuk membeli baka anak kelapa sawit terbaik di beberapa pusat pembiakan anak benih. Kebetulan, beberapa orang yang saya kenal itu kini menjadi pengusaha tanaman sawit di Sumatera Barat dan Sumatera Selatan.
Walaupun tragedi banjir di Malaysia tahun ini tidaklah separah tahun 2014, kemungkinan akan berlaku banjir terburuk pada masa hadapan akan tetap ada. Kita tahu, ratusan ribu ekar di kawasan yang menjadi keseimbangan ekologi sudah diteroka untuk tanaman komersial bernilai tinggi secara substantifnya, Musang King. Sayangnya, ketika projek itu dimulakan, tidak pula diambil pandangan daripada para pakar, atau dalam bahasa teknikalnya ialah Laporan Kajian atau Penilaian Alam Sekitar.
Ketika ini, muncul keperluan baharu terhadap sumber mineral yang banyak kedapatan di hutan raya Malaysia, yang sebahagian besarnya dalam jajaran hutan ekologi. Kita menyimpan kawasan itu bagi tujuan keseimbangan iklim, sebagai ruang penghasilan udara bersih dan oksijen untuk kelangsungan hidup. Namun, apabila bahan mineral itu dikenali sebagai bahan yang amat diperlukan, bahan utama industri teknologi, sudah mula digugat oleh perlombongan haram. Ia telah menyebabkan sebahagian kekukuhan tanah mula terancam, dan agen pengeluaran oksijen terganggu.
Binatang-binatang liar mula kehilangan ruang kehidupannya. Sebelum binatang-binatang itu pupus, ia kelihatan sudah mula memasuki kawasan-kawasan perumahan mencari makanan. Namun, apabila aduan dibuat, penduduk pinggir hutan resah dengan kehadiran binatang liar, ada pula yang memberikan alasan, binatang yang keluar mencari makanan itu "tersesat" atau "sudah gila".
Apa yang kita fahami, jika sumber makanan masih banyak di habitat asalnya, ia tidak memungkinkan binatang liar keluar meliar sehingga menghentam persekitaran petempatan. Gajah mengamuk, harimau berkeliaran, babi dalam kawanan besar menyerang dan beruang matahari memanjat rabung, ular kepanasan mencari tempat berteduh dan sebagainya.
Eka Kurniawan, seorang penulis hebat Indonesia mengatakan, jika kita terlalu memikirkan pembangunan, kita sebenarnya sedang menanti hasil sebuah kemusnahan. Katanya: "Dunia semestinya tidak melulu soal lebih lebih baik setiap hari, tapi juga memastikan tidak ada yang ditinggalkan.'
"Lebih baik" membawa maksud keadaan ekonominya yang memacu deras dengan pertumbuhan di mana setiap inci tanah dibangunkan dengan pelbagai premis, infrastruktur dan digarap tanpa ada ruang kosong. Semakin tinggi pertumbuhan ekonomi, maka semakin dirasakan semakin baik, sedangkan, ada kesan buruk yang cuba disembunyikan atas pertambahan angka itu.
"Tidak ada yang ditinggalkan" memberikan kita makna, ketika memikirkan kebaikan melimpah, kita memikirkan tidak ada sisa buruk yang akan ditinggalkan. Kesan buruknya, kadangkala tidak mampu kita ramakan, tetapi ia tetap terus ada dan bakal berlaku, kita juga akan merasainya. Kita tidak memikirkan apakah suatu hari nanti, bumi yang kita rancakkan pembangunan gedung mewah, tinggi dan gah, akan terasa beban beratnya.
Apabila bumi tidak sanggup lagi menanggung beban, ia mungkin tidak secara langsung berlaku di kawasan bangunan tinggi itu berada. Ia mungkin berlaku di kawasan-kawasan sekitarnya, kerana di kawasan bangunan itu ia dibina dengan pasak yang dalam dan kukuh. Jika berlaku pergerakan tanah, kawasan yang lebih mudah terkena ialah kawasan yang tidak dipasak kukuh ke dalam tanah. Ia bermakna, kekukuhan itu akhirnya ikut terancam kerana tanah yang menganggapnya sudah terlalu lemah. Contohnya, lubang besar sedalam 50 meter tercipta di hadapan sebuah hospital di Thailand (24 September 2025). Hospital Vajira, Bangkok tidak runtuh, tetapi di jalan di hadapannya, berkubang seluas 900 meter (30 x 30 meter) persegi.
Kita mungkin ingat seorang lelaki, pejalan kaki meninggal dunia ditimpa penebat kilat berhampiran Bangunan UMNO, Jalan MacAlister, Pulau Pinang pada bulan Julai 2013. Bukankah itu asalnya sebuah kemajuan, tetapi akhirnya menjadi petaka? Siapa yang patut kita salahkan, apakah pejalan kaki yang maut itu atau penebat kilat yang jatuh? Ekoran tragedi itu, saya seringkali cuba mengelak melalui bangunan tinggi yang sekarang ini dipenuhi pelbagai menara telekomunikasi, kerana potensi untuk jatuh tetap ada. Ia menghasilkan ketakutan ekologi sosial dan psikologi yang cukup besar selain kemungkinan berlakunya kesan radiasi.
Kita sangat perlukan hubungan yang seimbang dalam tata ekologi -hubungan antara benda hidup dan bukan hidup terhadap alam sekitar - kerana hubungan yang seimbang itulah akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup. Dalam masa yang sama, kita perlukan kepada pembangunan, kerana pembangunan itu memudahkan kita untuk berhubung mahupun berinteraksi, namun kita harus dapat menyeimbangkannya dengan keperluan ekologi, psikologi dan sosial, agar ia tidak membawa kita kepada kehancuran, kerugian dan malapateka.
Seharusnya, setiap daripada kita peka dengan teori Angsa Hitam (Black Swan), yang pernah dibincangkan oleh seorang ahli statistik keturunan Lebanin-Amerika Syarikat, Nasser Nicolas Taleb pada tahun 2007. Teori ini membuktikan kepada kita bahawa banyak peristiwa yang berlaku dan nampaknya cukup ekstrem adalah di luar ramakan (prediction) manusia. Beliau menulis teori itu dalam bukunya yang mengejutkan ramai orang, The Black Swan (2007).
Misalnya, tidak siapa sangka bahawa Kesatuan Soviet Sosialis Rusia (KSSR) berlaku kerana adanya gerakan prestorika dan glassnot yang dilaksanakan oleh Mikhael Gorbachev, pemimpin tertinggi Rusia sendiri. Tidak juga ada yang mampu meramalkan dengan tepat dampak negatif penemuan internet yang kini menjadi satu bentuk sarana yang sedang memusnahkan budaya, adat, agama dan nilai-nilai hidup yang menjadi tunangan peradaban berkurun lamanya.
Walaupun pada awalnya, teori Angsa Hitam digunakan untuk meramalkan ekonomi, kini ia turut digunakan untuk melihat pelbagai dampak persilangan budaya, ekologi dalam kerangka ketidakpastian, antitesis kemapanan. Siapa sangka, kehebatan K-Pop telah melahirkan generasi yang takut dan bimbang, yakni ketika pelaku-pelakunya tidak lagi dapat beraksi sebagai artis. Ketakutan itu juga membawa kepada fenomena bunuh diri, dan tindakan ganas sesama sendiri.
Ya! Black Swan sentiasa terjadi atau muncul walaupun kita hanya tahu semua angsa yang kita temui adalah berwarna putih atau bercampur sedikit kelabu. Begitu juga dengan kemapanan sains, teknologi atau ekonomi, di suatu sisi akan muncul peristiwa tidak terduga (angsa hitam), yang bukan sahaja menimbulkan kebingungan, juga dampak yang cukup besar.
Di jalan spiritual itulah Jalaludin Rumi berkata:
"Tidak ada sehelai daun pun yang jatuh dari pohon tanpa keizinan Sang Pencipta." (Masnawi, Jilid 3, bait 1899).
"Dunia menuntut sebab akibat
tidak ad peristiwa terjadi tanpa sebab;
Maka berusaha dan bersungguh-sungguh amatlah penting." (Masnawi, Jilid 5, bait 2383).
"Dengan tegas Nabi SAW sabdakan: Tawakal hendaknya bersama ikhtiar
Wahai kamu yang enggan berusaha
Ingatlah hadis: Tuhan menyayangi orang-orang yang berusaha." (Masnawi, Jilid 1, bait 913-914).
Kita mungkin teringat pada sebuah kisah dalam sebuah hadis: Suatu hari, Nabi bertemu dengan sekelompok orang yang hidupnya sangat suka berpeluk tubuh. Nabi bertanya: Siapakah kamu? Mereka menjawab: Kami adalah golongan yang bertawakkal. Nabi kemudiannya bersabda:" Bukan, kamu adalah termasuk dalam kalangan orang-orang yang membebankan orang lain" Kenapa?
Jawabnya, kerana orang "bertawakal" itu tidak berbuat apa-apa. Tidak berusaha untuk mengatasi kerumitan hidup. Ertinya, bagaimana seseorang dapat menemukan keberkatan dan kebermaknaan dalam hidup tanpa usaha. Bertawakal sahaja tidak memadai, kerana Allah SWT menghendaki manusia berusaha, maka usaha yang keras itulah akan berhasil dalam semangat tawakal, sabar dan keyakinan.
Elok juga kita melihat apa yang dapat kita lakukan, dan apa pula yang orang lain dapat lakukan, kerana semuanya berpadu dalam satu ekologi kehidupan. Jadi, jika ada orang politik yang mendapat faedah daripada undi yang kita berikan kepadanya, jika mereka tidak pedulikan ketika kita berada dalam kesulitan, dan singkirkanlah dia. Jika dia tidak berusaha untuk atasi masalah yang setiap tahun berlaku, kita gantikan dia bila peluang untuk kita lakukan tiba.
