DUNIA hari ini telah mencapai kemajuan dengan maklumat dan ilmu pengetahuan hanya berada di hujung jari. Meskipun begitu, masih ada segelintir umat Islam yang mengamalkan ajaran-ajaran karut dan khurafat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Banyak amalan khurafat dan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam masih diamalkan dalam masyarakat Islam hari ini. Salah satunya adalah menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang atau seumpamanya dalam perubatan tradisional. Betapa kuatnya kepercayaan segelintir masyarakat Islam kepada bomoh jelas dilihat apabila mereka sering menemui bomoh ketika ditimpa sesuatu masalah, sakit atau untuk menghidupkan adat istiadat dan perkara khurafat. Mereka percaya bahawa bomoh dapat mengubati penyakit atau menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Bagi sesetengah masyarakat Melayu-Islam yang memang percayakan kebolehan bomoh atau pawang ini berpendapat bahawa perkara misteri dan mistik seperti gangguan hantu perlu diselesaikan dengan cara yang mistik dan misteri juga. Ungkapan ini menunjukkan kepercayaan masyarakat Melayu-Islam kepada bomoh masih menebal. Meskipun begitu, khidmat bomoh yang telah berakar umbi dalam masyarakat Melayu-Islam tidak boleh disalahkan secara total. Sebaliknya kegiatan mereka perlu ditinjau agar tidak bercanggah dengan Islam.
Tidak dinafikan juga, sesetengah amalan perubatan tradisional bomoh ini mempunyai unsur-unsur kesalahan dan kesesatan. Kesesatan yang dimaksudkan ini ialah kesesatan yang terdapat pada perbuatan bomoh dan orang yang meminta diubatkan itu sendiri.
Biasanya kesesatan yang sering berlaku dalam perlakuan atau perbuatan bomoh ialah mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan daripada jin-jin sebagai ‘khadam’. Semasa melakukan perubatan, jin akan menjelma masuk ke dalam badan mereka. Penjelmaan ini dipanggil ‘Tanasakhul Arwah’. ‘Menurun’ yang dilakukan untuk mengubati pesakit itu adalah bergantung kepada pertolongan dan kuasa jin bagi membantu merawat pesakit.
Berkaitan amalan ini, tidak ada sebarang nas daripada al-Quran, hadis dan pendapat-pendapat ulama muktabar yang boleh diguna pakai bagi menyokong bahawa jin dan arwah wali-wali boleh menjelma masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan. Cuma yang ada ialah nas yang menyatakan bahawa jin adalah musuh manusia. Oleh itu, kita disuruh supaya sentiasa memohon kepada Allah s.w.t agar dilindungi daripada bisikan jin yang jahat.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis manusia) dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu.” (al-An‘am: 112)
Syaitan sama ada daripada jenis jin atau manusia memang kerjanya menipu. Mereka telah berjanji dengan Allah s.w.t untuk menumpukan keseluruhan hidupnya untuk menyesatkan manusia. Jika ada manusia yang ingin berbaik-baik dengannya, maka ia sedia menerima bagi menghasilkan tujuan penipuannya. Tidak pernah wujud dalam agenda jin dan syaitan usaha-usaha untuk menyampaikan hidayah kepada manusia atau untuk bekerjasama membela Islam.
Memohon sesuatu perkhidmatan daripada jin memang terjadi dan ia akan memberikan khidmatnya, tetapi khidmatnya itu ada imbalannya seperti melakukan apa jua amalan yang menyebabkan syirik kepada Allah SWT atau berbuat sesuatu yang membawa penuturnya terkeluar daripada Islam.
Selain itu, perubatan bomoh kebanyakannya tidak menggunakan kaedah-kaedah agama seperti menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa bi al-ma‘thur (yang ada riwayat). Meskipun kadangkala sesuatu perubatan itu dimulai dengan lafaz ‘basmalah’ dan diakhiri dengan selawat namun antara ‘basmalah’ dengan selawat itu dimasukkan jampi mentera yang berbentuk seruan kepada jin bagi meminta pertolongan dalam mengubati pesakit. Ada juga bomoh yang menggunakan ayat-ayat al-Quran. Pada peringkat awalnya mereka membaca sesuatu ayat itu dengan betul, tetapi pada akhir bacaannya ada sedikit perubahan dan penambahan yang jelas boleh menjejaskan makna asalnya.
Dalam mengubati pesakit, sesetengah bomoh menyebut nama-nama ‘benda’ sebagai memuja sambil membaca-baca mentera dengan menggunakan istilah-istilah dalam bahasa yang tidak difahami. Dalam perubatan ini, seseorang bomoh kebiasaannya akan memberitahu bahawa si pesakit ‘terkena buatan’ itu dan ini, ditempat itu dan ini. Ekoran dari itu, keluarga pesakit (orang yang berubat) akan diminta menyediakan ‘sanggu’ untuk diberi makan kepada jin-jin. Apabila jin sudah dapat makan, penyakit yang dihidapi oleh pesakit tadi akan sembuh. Cara beri makan jin itu adalah dengan melepaskan ‘sanggu’ tersebut ke dalam sungai. ‘sanggu’ itu diperbuat daripada upeh pinang atau seludang kelapa. Upeh atau seludang kelapa yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Ia diambil pada waktu senja dan kemudiannya dijampikan pada tengah malam. Upeh ini pula dibentuk menjadi empat segi seperti bakul. Di dalamnya diletakkan pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Keempat-empat penjuru ‘sanggu’ itu dipasang empat batang lilin. Kemudian 'sanggu' dibawa ke sungai untuk dihanyutkan. Biasanya keluarga si pesakit akan mencari seorang pemuda yang berani dan cekal hatinya untuk membawa ‘sanggu’ itu dari rumah ke sungai untuk dihanyutkan.
Adapun kesesatan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang berubat pula seperti mempercayai ‘pengeras’ yang dibayar kepada bomoh itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh. Hal ini, samalah juga dengan mempercayai bahawa amalan ‘pemutus ubat’ semata-mata bagi mengelak penyakitnya itu berulang lagi.
Sebenarnya, semua amalan ini menyuburkan lagi kepercayaan sesetengah masyarakat terhadap khidmat bomoh. Di samping itu, timbul pula sifat dengki, khianat, persaingan tidak sihat, perbuatan syirik, syak wasangka sesama ahli keluarga atau masyarakat, kepercayaan karut dan meningkatkan lagi kisah penganiayaan yang kebanyakannya tidak diketahui orang.
Berdasarkan contoh perbuatan bomoh dan perlakuan orang yang meminta diubatkan sebelum ini, jelaslah bahawa ia adalah amalan syirik dan khurafat yang boleh merosakkan akidah seseorang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah). Dan Tuhanmu (Allah) telah memerintahkan suapaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.” (al-Isra’: 22-23)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-An‘am: 82)
Selain itu, terdapat hadis yang memberi amaran kepada umat Islam terhadap perkara ini dan menegah mereka bergantung harap kepada jampi dan tangkal semata-mata untuk sembuh daripada penyakit. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Jampi mentera dengan kata-kata yang tidak difahami adalah ditegah. Berlainan pula dengan sesuatu amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, Tuhan sekelian manusia, hilangkanlah kesusahan, sembuhkanlah dan Engkaulah yang menyembuhkan, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan apa-apa kesan kesakitan.” (Riwayat al-Bukhari)
Di dalam Islam, keimanan merupakan tunjang utama. Daripadanya pula keluar cabang-cabang Islam. Keimanan yang betul akan melahirkan perbuatan yang baik. Allah s.w.t mengatur jenis-jenis ibadat, syarat dan rukunnya, masanya dan cara pelaksanaannya. Rasulullah s.a.w pula menyampaikan, menjelaskan dan melaksanakan segala perintah Allah SWT itu melalui ucapannya, perbuatannya dan perlakuannya.
Sebelum wafat, Rasulullah s.a.w telah menegakkan agama Islam dengan sempurna. Tiada Rasul lagi sesudahnya; dan tiada lagi syariat baru yang disyariatkan oleh Allah s.w.t; dan tiada lagi ibadat lain yang diturunkan. Setelah Rasulullah s.a.w wafat, tugas ini dipikul pula oleh para sahabat. Setelah para sahabat wafat, tugas ini dipikul oleh para tabi’in, kemudian disambungkan oleh para ulama salaf. Setelah semuanya tiada lagi, tasawur akidah masyarakat Islam mulai lemah dan bercampur aduk dengan ajaran yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w. Maka wujudlah berbagai ajaran sesat dan khurafat dalam masyarakat Islam seperti yang berlaku hari ini.
Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda yang bermaksud: “Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati.” (Riwayat al-Tirmidzi).
Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, kecuali diturunkan pula dengan ubatnya. Maka berubatlah kamu dan jangan berubat dengan benda-benda yang diharamkan." (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
Menurut Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hukum menggunakan khidmat bomoh atau seumpamanya dalam perubatan tradisional terbahagi kepada dua, iaitu harus dan haram.
Keharusan menggunakan khidmat bomoh dalam perubatan tradisional tidaklah bersifat mutlak. Ia dibatasi dengan syarat-syarat tertentu seperti perubatan bomoh itu menyebutkan nama Allah s.w.t atau salah satu namanya; menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diamalkan oleh para nabi dan rasul; dan menyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah s.w.t jua.
Perubatan bomoh menjadi haram jika cara rawatannya itu bertentangan dengan syarak. Misalnya, menggunakan khidmat jin, pemujaan, jampi, mantera dan sebagainya yang tidak mengikut cara rawatan yang diharuskan oleh Islam. Menjadi haram juga apabila orang yang berubat benar-benar beriktikad bahawa bomoh itulah menyembuhkan penyakitnya tanpa bergantung harap kepada Allah s.w.t.
Kesan daripada amalan mempercayai bomoh ini amat merbahaya. Ia telah menyekutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Jika ia terus diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam ia akan mendatangkan imej buruk kepada Islam dari pandangan agama lain. Malah generasi yang bekepercayaan begini bukanlah daripada generasi yang berteraskan Islam.
Generasi yang berteraskan Islam ialah generasi yang kehidupan mereka bertunjangkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka berpegang teguh pada akidah dan syariat Islam. Sesuatu generasi itu tidak layak dinamakan bertamadun dengan Tamadun Islam jika dalam masa yang sama mereka terlepas daripada ikatan akidah dan syariat. Akidah adalah penentu berhubung kaitan seseorang itu dengan Islam, manakala syariat pula sebagai pengukur keteguhan dan kekuatan akidah itu.
Akidah Islam ialah akidah yang bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir. Mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan yang diabdikan diri adalah kemuncak keagungan ilmu dan pegangan. Maka dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah s.w.t adalah kemuncak dakwah para Rasul. Di dalamnya terkandung makna mengenali Allah s.w.t dan bertauhid untuk-Nya. Hal ini bukan sekadar mengakui keesaan Allah dan hanya Dialah Pencipta seperti yang difahami oleh sesetengah pihak, kerana itu hanya satu juzuk daripada manhaj al-Quran. Al-Quran menyeru agar ditauhidkan Allah s.w.t dan mengakui hanya Dialah Pencipta. Inilah yang dinamakan dengan Tauhid al-Rububiyyah. Namun ini tidak mencukupi kerana ia hendaklah disempurnakan dengan Tauhid al-Uluhiyyah yang memutlakkan ibadah dan tauhid hanya kepada Allah s.w.t.
Demikian pula syariat Islam. Ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi sebagai terjemahan kepada akidah yang diimani. Masyarakat yang tidak berperaturan tidak layak dinamakan generasi berteraskan Islam. Peraturan Allah SWT yang merangkumi undang-undang dan kewajipan adalah peraturan tertinggi. Syariat Allah SWT adalah syumul merangkumi segala aspek kehidupan insan. Generasi yang kehidupan mereka berteraskan Islam sentiasa berusaha mematuhi syariat ini semampunya dalam semua ruang tersebut. Syariat diamalkan dalam ibadah dan akhlak, pendidikan dan sukan, seni dan hiburan, media dan berita dan sebagainya.
Kesimpulannya, menggunakan khidmat bomoh yang mengubati dengan cara yang salah seperti menggunakan khidmat jin, jampi mentera dan pemujaan bukanlah jalan penyelesaian yang hakiki bagi semua penyakit dan masalah yang dihadapi. Usaha menyelesaikan sesuatu masalah amatlah digalakkan oleh Islam, tetapi biarlah ia bertepatan dengan fitrah kemanusiaan dan selari dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Di samping itu, setiap bomoh hendaklah merasakan bahawa setiap sesuatu yang dilakukannya itu kerana takut kepada Allah s.w.t. Pada masa yang sama, orang yang menerima rawatan daripada bomoh pula harus memastikan rawatannya tidak bercanggah dengan Islam.
Sebagai umat Islam marilah kita sama-sama keluar dan hindari daripada mempercayai amalan yang bersifat primitif atau animisme dan jumud ini. Insafilah dan jauhilah daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan pegangan akidah kita. Ingatlah peringatan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, nescaya akan memasuki neraka.” (Riwayat Muslim)
Oleh MOHD. SHUKRI HANAPI Dr. Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
