YB SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Kerajaan MADANI.
Sepanjang tempoh saya menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Al-Falah telah dilaksanakan sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama. Pelan ini telah memberi impak yang nyata melalui penambahbaikan tadbir urus institusi agama, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus. Pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar.
Dalam menerima setiap amanah dan perubahan, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa segala kekuasaan dan ketetapan adalah milik Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26 yang bermaksud: “Katakanlah: Wahai Allah, Pemilik kekuasaan. Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”
Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja agensi Hal Ehwal Agama terutamanya warga Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas komitmen, profesionalisme dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan saya terutamanya. Segala pencapaian yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
Saya mengucapkan tahniah kepada YB Senator Dr. Zulkifli Hasan atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Saya mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah ini dengan sebaiknya serta menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara.
Sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri serta agenda MADANI, dan akan terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan.
Sekian, terima kasih.
16 Disember 2025
Hubungi Kami
Alamat: No.5B, Jalan 3/70 Damai Point, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi. Selangor
Alfalahmadani.my merupakan sebuah portal yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penampan bagi setiap tuduhan, fitnah, kekeliruan, ketidakfahaman dan kecelaruan yang berlegar di minda rakyat. Sama ada isu-isu yang timbul secara organik di media sosial, ataupun yang didorong sebagai naratif oleh pihak-pihak tertentu,
Alfalahmadani.my akan menjawab setiap permasalahan dengan pengetahuan, kebijaksanaan dan kebenaran. Tentunya, kehadiran Alfalahmadani.my bukan berhasrat menyatakan kesempurnaan pemikiran, tetapi sebagai wahana untuk menuju kesempurnaan pengetahuan dalam konteks pemikiran semasa, dan kebijaksanaan yang mampu diusahakan.